Cuaca panas yang kering amat lazim di Malaysia kerana iklim negara ini sendiri. Pada tahun ini juga cuaca panas yang kering ini diramalkan akan berlanjutan hingga akhir Mac terutamanya bahagian barat Semenanjung dan Sabah. Ini disebabkan oleh penghujung  monsun timur laut yang menyebabkan suhu sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celsius.

Oleh kerana cuaca yang sangat panas ini menyebabkan kita berpotensi untuk mendapat strok haba yang mampu membawa kematian. Apa itu strok haba sebenarnya?

Strok haba berlaku apabila badan terlalu panas, dan suhu badan meningkat dengan cepat sehingga 41 darjah Celsius akibat terdedah dengan cuaca panas yang berterusan. Lebih-lebih lagi apabila seseorang menggunakan tenaga fizikal mereka di bawah cuaca yang sangat panas. Bahayanya strok haba ini kerana ia mampu membunuh dan juga menyebabkan kerosakan kepada otak dan organ dalaman badan. Ketika ini hari ini Tajria akan kongsikan apa yang korang harus lakukan sepanjang musi panas ini, lihat di bawah!

MINUM BANYAK AIR KOSONG

Sangat penting untuk memastikan badan mendapat air yang secukupnya untuk kekal hidrat. Jika korang makan di luar semasa makan tengahari, elakkan memesan air manis. Sebaliknya, minum air kosong sahaja dan lebih baagus jika korang membawa air sendiri dari rumah. Baru terjamin kualiti air yang korang minum. Bagi yang mempunyai anak kecil yang bersekolah, sediakan botol air untuk mereka dan sentiasa memesan untuk minum air yang telah dibawa. Ini kerana anak kecil sering lupa, oleh itu sebagai ibu-bapa sangat penting untuk mengingatkan mereka selalu.

 

KURANGKAN AKTIVITI LUAR

Jika korang sering membuat aktiviti di luar, cuba kurangkan aktiviti atau mengubah jadual apabila cuaca menjadi lebih baik terutamanya jika badan berasa letih. Ini kerana apabila korang berdiri di tengah panas pada waktu yang lama, kemungkinan badan akan pitam disebabkan haba yang terlalu panas. Jika terpaksa, pastikan korang memakai payung atau pun topi sebagai perlindungan.

 

PAKAI KRIM PERLINDUNGAN UV  

Krim perlindungan UV akan melindungi kulit korang daripada mendapat sunburn atau pun suntan. Pastikan korang meletakkan amaun krim secukupnya di atas muka, leher serta di tangan. Untuk kegunaan harian, krim perlindungan SPF 50 sudah mencukupi dan korang juga seharusnya memakai semula krim perlindungan UV ini setiap 2 jam.

 

PAKAI KIPAS ATAU PENGHAWA DINGIN

Semasa di rumah terutamanya pada waktu tengahari, ketika matahari tegak di atas kepala, ia mungkin memberi kesan panas yang melampau. Ini membuatkan badan berasa tidak selesa serta letih, oleh itu pastikan kipas atau penghawa dingin dipasang untuk menyejukkan badan. Jika mempunyai bayi kecil pula, pastikan bayi dalam keadaan yang selesa dan tidak meletakkan di tempat yang panas. Untuk menyejukkan badan bayi, lapkan badan bayi bersama air suam dengan tuala kecil dan perhatikan jika bayi meragam lain dari kebiasaannya.

 

ELAK MINUMAN BERGULA DAN KAFEIN

Apabila cuaca panas, pasti tekak ingin minum minuman manis yang sejuk dengan harapan dapat melegakan haus dan menyejukkan badan. Sebenarnya tanggapan ini salah. Semasa cuaca panas, korang tidak sepatutnya minum air manis seperti teh ais, milo ais dan sebagainya. Ini kerana, badan kehilangan banyak air dan dehidrasi mungkin akan terjadi kerana suhu panas yang melampau.

 

Sangat penting untuk kita mengikuti semua langkah di atas untuk mengelakkan strok haba terjadi semasa cuaca panas ini. Untuk yang berkeluarga, pastikan semua ahli keluarga mengikuti langkah yang sama supaya badan kekal sihat semasa cuaca panas. Akan tetapi jika badan menunjukkan simptom-simptom untuk jatuh sakit, segera ke klinik untuk rawatan lanjut.

Lihat profil
Aida Kamalia

139 artikel di Tajria.