Carian
Ubat Gigi Berfluorida Baik Atau Bahaya Untuk Gigi? 
April 18, 2019 Aida Kamalia

Ubat Gigi Berfluorida Baik Atau Bahaya Untuk Gigi? 

Anda pasti pernah lihat di kaca-kaca tv iklan ubat gigi yang mengatakan anda harus memilih ubat gigi tanpa fluorida untuk gigi yang lebih sihat? Namun ada juga iklan yang mengatakan sebaliknya. Untuk dapatkan gigi yang sihat dan bebas kaviti, anda seharusnya memberus gigi dua kali sehari dan floss gigi untuk membersihkan celah-celah gigi. Namun, jika anda memberus gigi lebih daripada dua kali, ia juga dapat memberi kesan buruk kepada gigi. Jadi adakah fluorida ini dapat melindungi gigi atau sebenarnya memberi kesan buruk pada gigi dalam masa jangka panjang?

Apakah fluorida?

Florida adalah mineral yang semulajadi yang dapat dijumpai di kebanyakan sumber air seperti tasik, sungai, dan laut. Kadar florida dalam setiap sumber air juga berbeza-beza. Ada pendapat mengatakan terlalu banyak pengambilan fluorida dapat memudaratkan kesihatan. Namun tiada bukti kukuh

Apakah kebaikan ubat gigi florida?

Ubat gigi yang mengandungi fluorida dapat membantu gigi daripada kerosakan gigi serta kaviti. Ia mampu menguatkan lapisan luar gigi dengan melambatkan proses demineralisasi. Fluorida menguatkan enamel gigi dengan membantu membina semula enamel yang telah diserang oleh asid serta mampu mencegah karies gigi.

Menurut Marinho dan Sheiham (2004) pelbagai kajian sejak separuh kurun yang lalu oleh para saintis membuktikan keberkesanan fluorida yang membantu dalam masalah pereputan gigi, gigi berlubang dan turut membantu menghalang proses awal kerosakan gigi. Fluorida terdiri daripada monofluorostat, stannous flourida atau sodium fluorida bergantung pada jenama ubat gigi yang anda beli.

Akan tetapi, terlampau banyak amaun fluorida mampu menyebabkan gigi fluorosis ketika proses pembentukan gigi sedang berlaku, terutamanya pada kanak-kanak dibawah 6 tahun. Jadi penggunaan ubat gigi dan amaun fluorida didalam ubat gigi yang patut digunakan bagi kanak-kanak haruslah 600ppm atau kurang.

Bagaimana dengan tanpa fluorida?

Terdapat pendapat mengatakan anda harus bertukar ke ubat gigi tanpa fluorida untuk pilihan yang lebih semulajadi. Ubat gigi tanpa fluorida menggunakan bahan lain seperti xylitol, ekstrak green tea, ekstrak pokok betik, baking soda dan sebagainya dengan harapan untuk menggantikan fluorida supaya dapat melindungi gigi. Tiada kandungan yang dapat menyamai fungsi seperti fluorida iaitu dapat menguatkan enamel gigi serta melindungi gigi daripada kerosakan.

Akan tetapi, ada orang yang mengatakan apabila mereka bertukar ke ubat gigi tanpa fluorida, masalah gigi mereka seperti gusi berdarah dan sebagainya berkurangan.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan untuk semua orang guna ubat gigi berfluorida serta penggunaan floss gigi untuk membersihkan kawasan celah-celah gigi   supaya dapat melindungi gigi dengan lebih baik. Tambahan pula untuk dapatkan gigi yang sihat, bukan hanya dengan memberus gigi sahaja. Anda haruslah berjumpa dengan doktor sekiranya anda perlu membuat proses scaling (membuang batu karang), sekurang-kurangnya setahun sekali.

Jadi apa pendapat anda? Adakah anda memilih untuk menggunakan ubat gigi berfluorida atau pun tanpa fluorida?

 

 

Rujukan : MyHealth KKM 

Komen