Carian
Girl Boss?
April 19, 2019 Lina Rosli

‘Girl Boss’?

Baru-baru ini, saya ada menonton filem Girl Boss di Netflix. Namun, selepas tamat satu season, cerita ini telah dibatalkan penyiarannya. Tetapi, sempat juga saya menyimpulkan beberapa nilai moral yang boleh saya kongsikan bersama anda semua. Dalam diam-diam, timbul dalam hati saya mahu menjadi seperti Sophia Amoruso. Sophia merupakan watak di Girl Boss yang merupakan pengasas kepada Nasty Gal dan juga penulis untuk buku #GirlBoss. Menerusi filem ini, saya dapati penulis cuba untuk memberi galakkan kepada wanita bagi mencapai kedudukan yang lebih tinggi, mengecapi “impian” menjadi girl boss dan mengejar cita-cita untuk membuka perusahaan.

Suka saya ingin kongsikan kata-kata dari pengasas Nasty Gal,  Sophia Amuroso, “Don’t compare your hustle to their highlight reel.”. Setiap orang mempunyai berbagai-bagai cabaran dan liku yang harus mereka lalui, dan ia tidak harus dibandingkan dengan apa yang orang lain harungi. Apabila anda cuba untuk membandingkan apa yang anda ada dengan apa yang orang lain kecapi, ia seolah-olah anda tidak bergerak ke hadapan dan hanya duduk di takuk yang sama.

Girl boss atau Lady Boss? Kedua-dua merupakan kata-kata lain bagi pemimpin wanita ataupun ketua dalam sesebuah organisasi syarikat ataupun mempunyai perusahaan sendiri. Tidak kira lelaki atau perempuan, menjadi seorang pemimpin sememangnya amat sukar. Usahawan wanita tidak kurang hebatnya seperti usahawan lelaki. Jika kita lihat, pengusaha beras tempatan di Malaysia juga seorang wanita iatu Faiza Bamuwi, yang mana beliau merupakan Lady Boss kepada syarikat Faiza Emas. Ini telah membuktikan kepada dunia bahawa usahawan wanita juga mampu berdiri setanding dengan usahawan lelaki lain.

Memilih untuk mengejar cita-cita

Sudah ramai wanita yang kini memilih untuk berdiri atas kaki sendiri, yang mana mereka lebih selesa untuk mencari duit sendiri dan mengejar cita-cita. Kalau kita lihat di Malaysia sekarang, sudah banyak usahawan muda wanita yang berjaya dengan berkat dan usaha mereka. Sebagai contoh, pemilik busana atau butik Tudung Ruffle, yang diuruskan oleh Hanis Arif. Ia bermula dari perniagaan kecil sehingga kini sudah mula menempa nama di industri fesyen. Selain Hanis, kita boleh saksikan kejayaan nama-nama besar seperti Neelofa, Vivy Yusof dan ramai lagi yang turut berjaya di persada dunia yang memegang jawatan sebagai lady boss. Namun, kejayaan tak akan datang bergolek. Oleh itu, ia agak sukar untuk berjaya persediaan mental dan strategi yang kuat perlu dilakukan mulai hari ini.

Pengurusan kewangan untuk masa akan datang

Kebanyakkan wanita tidak begitu mengambil berat mengenai pengurusan kewangan mereka. Salah satu faktor ialah berkemungkinan besar mereka tidak didedahkan dengan kebaikan mengurus wang. Menurut laporan dari Merrill Lynch, 60% wanita kurang berpengetahuan tentang mengurus kewangan dan 34% daripada mereka pula kurang keyakinan diri. “Wanita menyesal tidak melabur lebih banyak wang mereka dan mencari pendidikan dan penyelesaian kewangan yang sejajar dengan nilai dan keutamaan mereka, serta garis bawah mereka,” kata Lynch.

Belajar melalui kesalahan

Cerita Girlboss ini menceritakan tentang kisah kehidupan Sophia Amoruso, pengusaha Nasty Gal, yang mengubah kedai harian eBay menjadi industri gaya hidup yang berkembang dengan hampir $300 juta dalam jualan. Namun, syarikat pakaian internet yang dibinanya mengalami kejatuhan dan kerugian yang besar selepas beroperasi selama beberapa tahun. Ia disebabkan oleh satu siri tindakan undang-undang yang dikenakan atas kelayakan beliau sebagai seorang feminist serta peningkatan kos overhed yang terlalu tinggi menjadikan kewangan Nasty Gal jatuh merudum.

Pemikiran yang positif

‘Cuaca tak selalunya indah’ atau ‘Panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. Itulah ungkapan yang sering kita katakan apabila berlaku sesuatu yang bukan bidang kuasa kita. Walau bagaimana pun, sebagai ‘Girl Boss’, anda harus sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Setiap perniagaan pasti akan ada jatuh dan bangunnya, jadi anda harus tanam sikap positif dalam diri dan tidak mudah goyah dengan apa yang berlaku.

Konfiden dan berani dalam mengukir jalan

Selain mengamalkan pemikiran dan gaya hidup yang positif, anda juga harus konfiden dan berani dalam membuat sesuatu keputusan. Setiap langkah yang diambil seharusnya mempunyai perancangan yang teliti agar kadar risiko yang diterima adalah lebih rendah. Jika anda pandai dalam menyampaikan maklumat kepada kepada staff dengan konfiden dan kredibel akan membuat anda kelihatan berani dan tegas bahkan penerimaan staff juga akan lebih baik. Bahkan, jika arahan dapat disampaikan dengan baik, maka kerja juga dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna seperti yang diinginkan 

___________________________________________________________________

Jadi, melalui perkongsian ini, diharap ia dapat membantu anda dalam membentuk keyakinan diri selain menjadi individu yang lebih mudah didampingi serta disegani oleh orang sekeliling. Wanita yang berjaya bukan hanya sekadar pada sijil dan kejayaan, namun ia turut terletak pada penampilan, pemikiran dan tingkah laku yang diperagakan di hadapan orang ramai. 

Komen