Carian
Tips Untuk Beg Tangan Anda Kekal Cantik Dan Baru
April 22, 2019 Lina Rosli

Tips Untuk Beg Tangan Anda Kekal Cantik Dan Baru

Beg tangan atau ‘handbag’ ini amat sinonim dengan diri wanita. Pernahkah anda merosakkan salah satu beg tangan kegemaran anda?  Berikut adalah beberapa petua mudah untuk menjaga beg tangan anda. Matlamatnya adalah untuk memastikan beg tangan anda kekal kelihatan cantik seperti baru.

 

Penjagaan beg mengikut jenis kulit.

Kain Suede
Kulit Jenis Suede

Kulit jenis suede adalah jenis kulit yang mempunyai tekstur yang sangat halus. ‘Suede’ berasal dari perkataan Perancis ‘Gants De Suede’ yang bermaksud sarung tangan kulit. Kebanyakkan jenis kulit ini digunakan dalam penghasilan jaket, kasut, dompet serta perabot. Namun, disebabkan tekstur kulit yang sangat halus jadi ia lebih mudah pudar jika terdedah kepada cahaya matahari yang melampau. Selain itu, kulit jenis ini juga tidak boleh terkena air atau minyak kerana kesannya agak sukar untuk dibersihkan semula. 

Bagi penjagaan barang suede, anda boleh mendapatkan berus suede atau gunakan berus gigi lembut yang mempunyai gigi berus yang halus. Anda juga boleh membersihkannya dengan menggunakan cecair semburan khas yang mana ia boleh memadamkan kotoran tanpa menjejaskan tekstur kulit.

Untuk kulit jenis Patent, ia lebih tahan lama daripada kulit tradisional. Jenis kulit Patent adalah jenis kulit yang diproses dengan dilapisi bahan protektif seperti acrylic yang menghasilkan impak berkilau dan licin. Kelebihan jenis kulit Patent Leather adalah mudah dibersihkan. Namun, ia masih perlu sentiasa di simpan di dalam ‘dust bag’ atau sarung bantal, jika tidak warna-warna beg dan barang-barang di sekeliling akan terlekat di antara satu sama lain. Jika ini berlaku, ia mungkin susah untuk menyingkirkan kotoran. Untuk menhilangkan kotoran, anda boleh menggunakan minyak jelly atau alkohol kadang-kadang dapat membantu menghilangkan kotoran.

Simpan beg tangan di dalam plastik pada jangka masa lama.

Elakkan menyimpan beg tangan anda di dalam plastik atau beg jenis vinyl pada tempoh masa yang lama. Jika ia disimpan pada jangka waktu yang lama, plastik itu akan memerangkap kelembapan. Penggunaan plastik untuk menyimpan beg anda hanya boleh menyebabkan beg tangan anda berkulat. Untuk mengekalkan ketahanan beg anda, adalah disarankan untuk anda menyimpan di tempat yang kering dan bersih seperti di dalam ‘dust bag’. ‘Dust bag’ digunakan untuk melindungi beg anda apabila anda tidak menggunakannya. Bagi saya, saya lebih gemar untuk menyimpan beg tangan kulit saya di dalam ‘dust bag’ kerana ia mampu mengekalkan kilauannya.

Tidak meletakkan beg tangan di bawah matahari untuk tempoh lama.

Meletakkan beg tangan anda di bawah sinaran matahari secara langsung akan mengakibatkan warna beg kulit anda luntur dan keadaan beg mudah merekah. Ini berikutan tindak balas terhadap haba yang melampau yang tidak sesuai dengan bahan kimia pada beg tangan, sekaligus menjadikan kondisi kulit tersebut keras dan mudah patah.

Elak Menggunakan Bahan Pewangi Pada Beg

Untuk menjadikan beg anda tampak baru, elakkan menggunakan pewangi berasaskan aerosol kerana ia boleh melunturkan warna serta merosakkan kulit beg. Jika beg anda berbau, cuba hilangkan bau tersebut dengan meletakkan soda pada dalam beg anda semalaman selama 24 jam. Hasilnya, beg anda tidak lagi berbau bahkan beg anda akan berbau harum seakan baru.

Gunakan Shampoo Kulit Bukan Saddle Soap

KIWI® Saddle Soap
Sumber: KIWI CARE

Menggunakan Saddle soap ketika membersihkan kotoran pada beg boleh menyebabkan terdapatnya kesan garis pada beg kulit. Hal ini kerana, tekstur sabun tersebut kasar yang mana ia boleh menyebabkan kulit beg anda calar dan rosak. Oleh itu, sebagai solusi, anda boleh menggunakan shampoo kulit khusus yang mana ia boleh meresap ke dalam pori-pori kulit selain membantu menghilangkan bau dan mengilatkan permukaan beg.

_________________________________________________________________________________

Bukan mudah untuk menjaga beg tambah lagi jika anda seorang yang lasak. Namun, jika betul penjagaannya sudah tentu beg anda boleh dipakai sehingga 5 tahun atau lebih. Melalui perkongsian tips ini diharap ia akan dapat membantu dalam penjagaan beg tangan anda. Dengan ini, tiada lagi beg yang kelihatan lama atau lusuh. 

Komen