Carian
Berkawan + Selesa = Cinta?
April 22, 2019 Penulis Kacak

Berkawan + Selesa = Cinta?

Saya ada satu soalan. Kenyataan di bawah adalah mitos atau realiti?

Lucky I’m In Love With My Best Friend.

Dipetik dari judul lagu nyanyian Jason Mraz. Adakah benar, dari kawan baik boleh menjadi kekasih? Adakah benar dari kawan baik, si wanita akan meletakkan si lelaki di Friendzone? Artikel cinta saya kali ini adalah bercampur kisah benar dan khayalan. Anda sebagai pembaca boleh tentukan yang mana benar dan yang mana tidak.

Sebelum saya mula bercinta dengan Rosa (bukan nama sebenar), saya hanyalah seorang lelaki yang selekeh. Saya tidak ramai kawan wanita, saya hanya rapat dengan rakan sekelas dan rakan rumah sewa. Rosa pula, hanyalah seorang wanita biasa yang langsung tidak berada dalam kategori gadis pilihan saya.

Suatu hari, saya dipadankan dengan Rosa untuk tugasan bersama-sama dengan seorang lagi gadis bernama Ima (juga bukan nama sebenar). Kerap bekerja, kerap berbincang, sehinggalah kami tubuhkan satu group WhatsApp untuk kerap bercerita dan bergosip. Lama-kelamaan, dari jumpa untuk bincang tugasan bertukar menjadi sahabat baik wanita yang kerap lepak bersama, wayang bersama, nasihat antara satu sama lain.

Perkara ini ambil masa bertahun lamanya, sehinggalah saya mula rasa selesa dengan Rosa dan Rosa selesa dengan diri saya. Saya anggap Rosa hanya sebagai sahabat sahaja. Tetapi Rosa mula luahkan perasaan kepada saya, ceritakan segala derita, masalah, gelak tawa dan akhirnya luahkan perasaan ‘suka’ lebih dari kawan.

Berminggu saya fikirkan, apabila saya mulai setuju untuk bersama, Rosa batalkan hasratnya dan membuatkan hati saya kecewa. Akan tetapi, kami bersama-sama teruskan kehidupan, lupakan apa yang berlaku dan kembali menjadi sahabat baik. Namun, kami terlanjur.

bukan terlanjur maksiat, artikel ini 100% positif

Kami terlanjur jatuh cinta. Sama-sama terima hati antara satu sama lain. Satu hingga dua minggu, kami sebenarnya belum terlewat untuk tukar keputusan kami. Malah, Rosa ada beritahu;

“Kanda, dinda tidak ingin bersama dengan kanda seperti ini. Dinda takut, jika hubungan ini tidak kekal lama – dinda dan kanda akan berjauhan. Dinda suka kanda lebih dari kawan, tetapi dinda juga adalah sahabat kanda. Kalau sudah bercinta, jika masalah tiba, dinda risau. Kanda, kita teruskan sahaja bersahabat dan tidak bercinta boleh?”.

Saat ini, ayat ini, terus membuatkan jantung berdegup kencang. Pening untuk membuat keputusan, dalam dilema. Sahabat atau kekasih. Tetapi, sebab hati saya telah lama kosong tidak berisi. Saya juga telah lama tidak bercinta, saya juga telah lama tidak mempunyai perasaan cinta (atau yang saya fikirkan ia cinta). Tanpa fikir panjang, saya yakinkan Rosa;

“Dindaku sayang. Kita berdua telah dewasa. Kanda bukan pilih dinda sebagai kekasih untuk bercinta monyet. Kanda pilih dinda kerana serius dengan masa hadapan. Dinda juga telah kenali kanda bertahun lamanya. Kanda akan jaga dinda selamanya.”

Ucapan bodoh. Terlebih yakin. Setahun kami disahkan sebagai pasangan kekasih, perasaan ingin mula putus tiba. Ini kerana, sifat Rosa ketika bercinta sangat berbeza apabila bersahabat. Rosa mudah cemburu, Rosa mudah terasa, Rosa kerap tidak tunaikan janji. Sedangkan, segala apa yang Rosa inginkan telah saya tunaikan.

Akhirnya, beberapa tahun kemudian. Selepas kedua-dua ibu bapa kenali kami. Tahu akan hubungan kami. Kami putus. Hati saya derita. Hati Rosa keliru. Kami berdua selepas beberapa minggu, bertemu semula, cuba menjadi sahabat, tetapi apabila teringat kisah silam – kami berdua titiskan air mata.

Saat ini, kami bersama-sama terfikir. Kami menyesal bercinta. Dia menyesal luahkan perasaan pada saya, saya menyesal yakinkan dia bercinta dengan saya. Jika Rosa dan saya hanya kekal bersahabat, pasti hebat sekarang.

Oleh itu, apabila berkawan baik. Itu bermakna kawan baik. Jangan lebih. Lebih akan membawa ke perasaan derita dan kecewa. Jangan terlampau berharap, tidak bermakna sudah selesa itu sesuai bercinta. Selesa berkawan bukan untuk bercinta. Selesa berkawan, jangan berlebihan. Lebih bagus kekal berkawan, boleh gelak tawa bersama, gosip bersama, lepak dan lain-lain yang seronok.

Jika para pembaca sekarang, mempunyai sahabat baik yang erat – kekalkan sahaja hubungan persahabatan itu. Jika ada perasaan ‘suka’, pendam sahaja. Ada jodoh, Allah akan padankan.

 

Apa jadi dengan Ima? Akan saya teruskan dalam kisah lain.

Komen