Ikuti Tips Ini Untuk Kuku Yang Sihat
Bukan sahaja muka yang harus diberi perhatian, malah kuku tangan dan kaki pun patut diberi perhatian sama seperti muka korang. Kenapa pentingnya menjaga kuku ini? Kita gunakan tangan untuk membuat hampir kesemua benda, menulis, memasak, menaip, membuat kerja rumah dan macam-macam lagi. Jadi dengan penggunaan tangan yang kerap serta tidak menjaganya dengan baik, kuku tangan boleh rosak. Sebenarnya, untuk mempunyai kuku yang sihat bukan hanya korang perlu ke spa untuk manicure, di rumah sahaja pun boleh tau! Jom lihat Tajria kongsikan kepada semua cara dan tips untuk menjaga kuku dengan betul!
Pakai sarung tangan
Sebagai seorang wanita, membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan sedikit sebanyak akan merosakkan kuku. Ini kerana pencuci yang digunakan amat kasar untuk kulit dan kuku, dan kemungkinan akan membuatkan kulit menjadi kering, pedih serta kuku akan mudah pecah. Untuk mengelakkan perkara ini terjadi, apa yang korang boleh lakukan adalah dengan memakai sarung tangan ketika membuat kerja rumah. Cari sarung tangan getah yang selesa untuk dipakai, kemudian korang boleh mencuci pinggan dan kerja rumah yang lain tanpa risau akan kulit menjadi kering.
Jangan gigit kuku
Kalau korang rasa tabiat gigit kuku ni ada dekat korang, berhentilah dengan segera! Bukan sahaja ia merosakkan bentuk kuku, malah korang mungkin tergigit kuku terlebih dalam, kemudian akan membuatkan kuku rasa sangat pedih. Bukan itu sahaja, oleh kerana tangan menyentuh pelbagai objek, pasti terdapat banyak kuman di bawah kuku! Kalau korang masih mengigit kuku, pasti kuman akan masuk di dalam badan dan mungkin akan menjejaskan kesihatan korang.
Pakai pelembab kuku
Bukan muka sahaja tau harus memakai pelembab, tidak kurang juga dengan kuku. Kuku memerlukan kelembapan untuk mengelakkan kuku menjadi rapuh, seterusnya memudahkan kuku untuk pecah. Cari apa-apa sahaja yang boleh melembabkan kuku seperti losyen badan, minyak khas untuk kuku, atau minyak kutikel. Dengan pemakaian yang kerap, kuku korang akan jadi lebih kuat, tidak mudah pecah serta akan berkilat.
Trim kuku dengan kerap
Sama seperti rambut, korang harus trim kuku dengan kerap, sekurang-kurangnya satu minggu sekali. Pentingnya trim kuku ini untuk mengelakkan korang mendapat jangkitan kuman di kuku. Untuk trim kuku, pastikan korang jangan potong terlalu pendek hingga ke kulit, supaya tidak sakit. Selepas itu, kemaskan kuku dengan fail kuku supaya tiada potongan yang kasar akibat trim tadi.
Manicure sebulan sekali
Sebulan sekali, apa salahnya untuk memberi sedikit ganjaran kepada diri dengan manicure di spa! Jangan fikir manicure ini hanya untuk mewarnakan kuku, sebenarnya proses manicure ini akan bersihkan kuku korang, tolak kutikel kuku, kilatkan kuku dan macam-macam lagi. Bagi yang tidak mahu mewarnakan kuku, cukup sekadar bersihkan kuku dan kilatkannya, kuku korang pasti akan nampak lebih bersinar dan sangat sihat!
Vitamin
Kalau korang dah jaga dari segi luaran, jangan lupa untuk menjaga dari dalaman juga! Untuk mendapatkan kuku yang sihat dan kuat, korang harus makan vitamin dan dapatkan nutrient yang secukupnya. Antara vitamin yang penting adalah biotin, omega-3, vitamin b, minerals seperti kalsium, zinc, iron dan magnesium. Selain itu juga, makan makanan seperti tempe, kekacang, ubi keledak, avokado dan banyak lagi.
Mungkin masih ada segelintir orang yang memandang remeh tentang penjagaan kuku. Tapi haruslah diingatkan, kebersihan kuku ini juga mempengaruhi pandangan seseorang ya! Lebih-lebih lagi impresi pertama terhadap korang. Mesti mahukan yang baik-baik sahaja kan?