Carian
Rendang Hitam, Hari Mantai dan Ramadhan
April 29, 2019 norzalia

Rendang Hitam, Hari Mantai dan Ramadhan

Alhamdulillah, 29 April bermakna 8 hari lagi kita akan menyambut Ramadhan Al Mubarak 1440. 
Bagi kami sekeluarga hari yang paling dinanti menjelang Ramadhan dan Syawal merupakan Hari Mantai.
Mantai adalah acara unik yang dahulunya menjadi tradisi setiap tahun di kalangan masyarakat Negeri Sembilan terutamanya beberapa daerah yang masih mengamalkan aktiviti ini. Hari Mantai bermaksud kerja-kerja penyembelihan kerbau atau lembu, melapah secara beramai ramai dan mengagihkan kepada waghih2 yang datang membantu. Seawal pukul 7 pagi abah akan pergi ke surau yang berdekatan. Kami dirumah akan standby tunggu abah balik membawa daging dan kaki kerbau dengan menyalakan api dapur kayu bagi membakar kaki kerbau untuk dibuat jangek*. Paling ditunggu merempit dengan Van Biru ke rumah bapa saudara yang berdekatan mengantar daging. 
Selain dari Mantai, satu lagi ungkapan yang biasa didengar adalah Mogang juga biasa digunakan oleh masyarakat minang. Kedua ungkapan membawa maksud yang berlainan namun nuansa perbezaannya sangat kecil. Semasa menginjak dewasa, kami sekeluarga juga menyediakan lemang pada hari mantai, namun kekangan masa dan juga sukar mencari buluh lemang, kami memilih untuk membeli di beberapa lokasi pilihan samada Chembong, berdekatan petronas ataupun Kendong. 

Saya secara peribadi melihat aktiviti ini selain dari salah satu tradisi adat, ianya merapatkan silatulrahim sekeluarga kerana anak perantau Negeri Sembilan akan berusaha balik ke kampung untuk bersama keluarga menyediakan juadah untuk malam pertama Ramadhan mahupun menyambut kedatangan Syawal. 

” Tak lapok dek hujan, tak Lekang dek panas”

Diantara juadah yang menjadi keutamaan perlu ada adalah rendang hitam daging atau pun ayam. Namun begitu, ada juga segelintir masyarakat yang memilih untuk memasak rendang itik. 

Hari ini saya akan berkongsi resipi tradisi keluarga saya iaitu Rendang Hitam yang sangat mudah disediakan namun masa yang diambil untuk memasaknya boleh menangis air mata darah. 

Rendang Daging Hitam Mak Norlia
(20 – 25 pax)

Bahan A
3 kg daging (dipotong kiub)

Bahan B (1) (dimayang halus)
3 kg bawang kecil
1 kg bawang putih
500 gm halia
250 gm lengkuas
5 batang serai

Bahan B(2)(dikisar halus)
250 gm cili kering
100 gm cili padi (mengikut tahap kepedasan)
150 gm kunyit hidup

Bahan C (Sangai tanpa minyak dan dikisar halus)
2 sudu besar jintan manis
2 sudu besar jintan putih
2 sudu besar ketumbar
2 biji buah keras

Bahan D
2.5 kg santan pekat
1 kg santan cair
500 gm kerisik 
Garam dan gula

Cara-cara:-
1. Masukan daging yang telah dibersihkan ke dalam kuali dan gaulkan sebati dengan bahan B (1+2) dan bahan C sehingga rata menggunakan api yang sederhana. Perlu dikacau selalu bagi mengelakan bahan- bahan melekat di dasar kuali. Gaulkan sehingga air daging kering dan daging kecut sekata. 
2. Masukkan santan cair bagi mengecutkankan dan melembutkan daging, masukkan santan pekat berserta kerisik dan perasakan dengan garam dan gula untuk menyeimbangkan rasa pedas. 
3. Gaul sehingga rendang kering dan garing dek pecah minyak santan pekat tadi. (biasanya proses ini mengambil masa selama 3 jam sehingga ke 4 jam bergantung tahap api dan kekuatan tangan yang mengacau. 
** Rendang hitam yang dimasak dan disimpan sempurna akan bertahan untuk 2 minggu sehingga sebulan. 
 

 

Komen