Carian
Nak Buka Puasa Apa Nanti Ya? Cuba Tomyam Kaw Ini, Persis Seperti Di Bangkok!
May 8, 2019 Aida Kamalia

Nak Buka Puasa Apa Nanti Ya? Cuba Tomyam Kaw Ini, Persis Seperti Di Bangkok!

Jika sebut sahaja nama tomyam, iaitu juadah signature dari negara seberang Thailand, pasti anda semua sudah terbayang-bayang pedas dan masam tomyam itu kan! Untuk dapatkan tomyam yang sedap, haruslah balance masam, masin  pedas serta rasa lemak tomyam. Penggunaan pes tomyam yang asli dari Thai juga sangat penting, kerana bagi Aida jika menggunakan pes tomyam yang sembarangan, rasanya berbeza sedikit dan tidak kaw. Ada rahsia untuk dapatkan tomyam yang pekat dan berlemak ni, nak tahu? Ikuti resepi di bawah!  

Bahan-bahan yang diperlukan : Hidangan untuk 6 orang

 

  • Bawang merah – 3 ulas (blend)
  • Pes tomyam thai – 5 sudu makan
  • Pes cili thai – 4 sudu makan
  • Serai – 2 batang
  • Halia – 3 hiris
  • Lengkuas – 3 hiris
  • Daun limau nipis
  • Akar daun ketumbar – 2
  • Cendawan enoki – 1 paket
  • Sayur jagung muda – 4 batang
  • Tomato – 1 biji
  • Lobak merah – 2 batang
  • Limau nipis – 2 biji
  • Susu cair – ¾ tin
  • Air limau nipis dalam botol – 5 sudu
  • Sos ikan – 3 sudu
  • Sotong dan udang
  • Garam
  • Gula
  • Susu pekat

Cara-caranya :

1. Letak satu sudu minyak masak, dan tumis bawang merah dalam periuk. Jika anda tidak gemar menumis bawang dalam tomyam, tinggalkan langkah ini dan hanya masukkan air ke dalam periuk

2. Masukkan air sehingga paras yang dikehendaki, tunggu mendidih, kemudian masukkan pes tomyam dan pes cili thai. Pastikan anda kedua kombinasi ini untuk dapatkan tomyam yang sedap!

3. Kacau sehingga pes larut sepenuhnya. Kemudian, masukkan halia, lengkuas, serai, daun limau nipis,  akar daun ketumbar, cendawan enoki, sayur jagung muda, tomato dan lobak merah.

          

4. Seterusnya, masukkan perahan limau nipis, air limau nipis dalam botol serta sos ikan.

                                  

5. Langkah seterusnya ini yang membuatkan tomyam anda berlemak persis tomyam yang anda maka di kedai thai! Masukkan susu cair ke dalam tomyam.

6. Setelah ia mendidih, ia akan berubah  warna sedikit. Tidak mengapa, teruskan kacau tomyam hingga sebati.

7. Kemudian, masukkan sumber protein anda. Apa yang Aida gunakan disini hanya udang dan sotong. Anda bebas gantikannya seperti ayam. Tujuan masukkan sumber protein pada bahagian akhir ini adalah untuk mengelakkan sotong dan udang masak terlalu lama, kemudian ia akan menjadi keras.

8. Sementara menunggu ia mendidih, terus masukkan garam dan gula ke dalam tomyam. Kemudian letakkan sedikit susu pekat untuk rasa yang lebih lemak. Kalau anda tidak mahu letak juga tidak mengapa!

9. Siap! Hiaskan dengan hirisan daun ketumbar untuk warna yang lebih menarik.

 

 

 

Tomyam seafood ini sangat sesuai dijadikan menu utama semasa anda berbuka puasa. Sama ada tomyam ini digandingkan  bersama nasi mahupun bihun, pasti akan membangkitkan selera anda. Percayalah, anda akan terkejut dengan hirupan pertama tomyam ini.

Resepi di atas ini tidak begitu pedas kerana tiada tambahan cili padi. Jadi sangat sesuai untuk seisi keluarga!  Cuba ya!

 

 

Komen