5 Restoran Menawarkan Buffet Ramadhan Bawah RM55 Seorang
Tiba sahaja bulan Ramadhan setiap tahun, restoran dan hotel juga tidak ketinggalan menawarkan buffet Ramadhan dengan harga yang pelbagai. Jika anda diberi pilihan untuk pergi ke buffet, masakan jenis apa yang menjadi pilihan anda? Masakan melayu, masakan barat, masakan cina muslim, atau masakan barat? Akan tetapi, untuk mencari buffet Ramadhan dengan harga yang murah, agak terhad kerana kebiasaannya harga untuk seorang sahaja melebihi RM60! Tapi jangan risau, hari ini Aida akan kongsikan restoran yang menawarkan buffet Ramadhan di bawah RM55 untuk seorang, khas untuk anda semua yang tiggal sekitar Lembah Klang!
1) Damas Rose Restaurant, Setapak – (RM30 seorang)
Buat anda yang gemarkan masakan Arab, jangan lepaskan peluang ini untuk pergi ke Ramadhan Buffet di Damas Rose Restaurant, Setapak. Buffet Ramadhan di restoran ini hanya berharga RM30 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak. Antara menu yang ditawarkan adalah pelbagai nasi arab, aneka kebab, daging kambing, pelbagai pencuci mulut dan buah-buahan. Bagi Aida, boleh dikatakan buffet ini paling murah berbanding buffet yang lain, sangat sesuai untuk mereka yang berkeluarga besar semasa berbuka puasa nanti.
Untuk tempahan meja, sila hubungi nombor yang tertera pada gambar di atas, atau layari Facebook mereka, Damas Rose Restaurant
2) Warung Mercik Shah Alam – (RM 35 seorang)
Jika anda mencari masih mencari masakan melayu untuk berbuka puasa, tunggu apa lagi, Warung Mercik menawarkan buffet Ramadhan dengan menghidangkan pelbagai juadah masakan melayu yang sangat sedap! Jika anda mencari itik salai masak lemak, ikan bakar, daging bakar dan banyak lagi menu menarik, Warung Mercik merupakan pilihan terbaik. Harga untuk buffet ini pula hanya RM 35 untuk seorang dewasa dan separuh harga untuk kanak-kanak bawah 10 tahun. Lebih menarik lagi, menu istimewa mereka berlainan setiap hari.
Untuk membuat tempahan, sila hubungi nombor yang tertera pada gambar di atas, atau layari Facebook mereka, Warung Mercik Shah Alam .
3) TH Hotel Kelana Jaya – (RM 49.90 seorang)
Jika tadi tawaran dari restoran-restoran, kita teruskan dengan tawaran Buffet Ramadhan oleh Hotel Tabung Haji Kelana Jaya! Tidak seperti buffet di hotel yang lain dengan harga yang mahal, Hotel TH menawarkan Buffet Ramadhan dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM 49.90 untuk dewasa, dan RM 29.90 untuk kanak-kanak. Malah lebih menarik lagi, jika anda menempah untuk 10 tempat, anda akan dapat percuma 1 tempat. Sangat berbaloi! Pelbagai hidangan pembuka selera ditawarkan dengan kambing bakar dan ayam bakar, dihidangkan bersama sos-sos terpilih, lauk-pauk dan banyak lagi. Tidak lupa juga variasi pencuci mulut yang ditawarkan. Lebih menarik lagi di Hotel Tabung Haji, mereka mengadakan solat berjemaah Maghrib, Isyak serta Terawih di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya.
Untuk tempahan meja, sila hubungi nombor yang tertera pada gambar diatas, atau layari Instagram mereka, Hotel TH Kelana Jaya.
4) Luas.Je Kota Damansara (RM55 seorang)
Tidak kurang juga tawaran menarik dari Luas.Je yang terletak di Kota Damansara. Luas.Je menawarkan pelbagai menu menarik iaitu masakan melayu dan juga masakan barat! Antara menu yang dihidangkan adalah nasi tomato, ayam masak merah, daging masak hitam, sambal sotong kering dan banyak lagi. Masakan barat pula terdiri daripada kambing bakar, ayam grill dan spaghetti bolognese. Terdapat juga laksa, kuey teow goreng dan mee goreng buat siapa yang gemarkan mee. Tidak lupa juga aneka pencuci mulut yang pasti membuatkan anda terliur! Harga untuk seorang dewasa adalah RM 55 dan RM35 untuk kanak-kanak.
Untuk tempahan meja, hubungi nombor yang tertera pada gambar di atas, atau layari Instagram mereka, Luas.Je Kota Damansara
5) Ketam Manis Seafood Restaurant, Cyberjaya (RM29 seorang)
Ketam Manis Seafood Restaurant adalah masakan cina muslim, dan pada bulan yang mulia ini, mereka tidak terlepas untuk memberikan Buffet Ramadhan yang sangat murah, hanya RM29 utuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak. Jika anda sudah bosan denga buffet kambing golek, masakan barat, apa kata cuba buffet di Ketam Manis yang menawarkan masakan seafood yang sangat menarik! Antara menu yang dihidangkan adalah shark fin soup, ikan filet 3 rasa, ketam telur masin, udang sambal dan banyak lagi. Mana nak dapat buffet yang menghidangkan ketam! Tidak lupa juga aneka pencuci mulut dan buah-buahan.
Untuk tempahan meja, sila hubungi nombor yang tertera pada gambar, atau layari Instagram mereka :
Jadi mana satu pilihan anda untuk berbuka puasa nanti bersama keluarga tersayang atau pun bersama rakan-rakan? Paling penting, semua senarai di atas hanya bawah RM 55 sahaja! Sangat berbaloi dan murah, jika dibandingkan dengan buffet yang berharga RM60-80 untuk seorang dewasa. Perlu diingatkan kepada anda semua, jika anda pergi ke Buffet Ramadhan, elakkan mengambil makanan mengikut nafsu sehingga berlaku pembaziran. Biasanya kita akan ambil makanan dengan kuantiti yang banyak kan? Oleh itu, biasakan diri untuk ambil makanan dengan kuantiti yang sikit terlebih dahulu, kemudian baru tambah lagi. Ada restoran yang akan caj pembaziran ya, hati-hati!