7 Aktiviti Yang Anda Boleh Lakukan Sambil Menunggu Waktu Iftar
Apakah aktiviti yang anda sering lakukan sementara menunggu waktu berbuka? Untuk kaum wanita, kebiasaannya anda lebih banyak menghabiskan masa di dapur untuk menyediakan hidangan berbuka puasa. Namun, ada sesetengah individu yang lebih gemar masanya diisi dengan sesuatu perkara berfaedah setelah siap memasak dan menyediakan hidangan di meja. Terdapat pelbagai idea untuk mengisi waktu lapang anda agar ia lebih bermanfaat. Lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadan ini. Di Tajria, kami ingin berkongsi kepada anda panduan atau aktiviti yang boleh anda lakukan sama ada berseorangan atau bersama keluarga dan rakan-rakan ketika menunggu waktu iftar.
Mengaji
Bagi anda yang bekerja, mungkin sebahagian waktu anda akan sibuk dengan rutin kerja sehingga anda tidak sempat untuk melakukan aktiviti keagamaan yang dapat menambah pahala dan meningkatkan tahap keimanan diri. Pada ruang waktu yang singkat sebelum berbuka, mungkin anda boleh mengisi masa lapang dengan mengaji atau mendengar ceramah-ceramah agama. Kegiatan yang anda lakukan di bulan suci Ramadan diharapkan dapat menambah keimanan dan terhindar dari segala perkara yang dapat membatalkan puasa.
Membaca Bahan Ilmiah
Dengan teknologi masa kini, kebanyakkan bahan bacaan sudah boleh diakses secara maya. Malah, terdapat pelbagai laman web atau platform seperti blog atau laman perkongsian yang menyediakan pelbagai informasi mengenai politik, gaya hidup, masakan, dan kesihatan. Oleh itu, anda boleh mengisi masa terluang anda dengan menambah ilmu dan maklumat dari pelbagai sudut dan bidang yang ingin ketahui dengan mudah di Internet. Anda juga boleh mempelajari pelbagai resepi masakan, tutorial solekan dan DIY untuk rumah di laman Youtube.
Beriadah dan Rekreasi
Bila seharian bekerja dan duduk di pejabat, badan pasti akan rasa letih dan lenguh. Sambil menunggu waktu untuk berbuka puasa anda boleh cuba mengambil sedikit masa untuk beriadah. Ia tak perlu mengambil masa yang lama, cukuplah sekadar berjalan-jalan di taman, pantai atau mana-mana tempat rekreasi selama 20-30 minit. Dengan ini, anda dapat menenangkan fikiran sambil merehatkan otot-otot yang keletihan selepas 8 jam bekerja. Atau jika anda rasa pergi ke kawasan rekreasi agak melecehkan, mungkin anda boleh hanya mengambil angin di balkoni rumah anda sambil melihat pemandangan di luar. Anda juga mungkin boleh melakukan senaman ringkas seperti yoga atau meditasi.
Window Shopping
Kadang-kadang anda tidak sempat untuk berbelanja untuk persiapan raya. Mungkin disebabkan kekangan masa dan tenaga. Jadi, di kesempatan ini anda boleh menggunakan masa terluang sebelum berbuka dengan melayari laman e-dagang seperti Poplook, Zalora atau FashionValet. Atau anda juga boleh memuat turun aplikasi atas talian e-dagang seperti Shopee atau Lazada. Dengan ini, anda boleh merancang persiapan Ramadan dan sebelum raya dengan lebih mudah.
Bersihkan Ruang Persendirian
Tidak kira di pejabat atau rumah, anda perlu memastikan tempat dan ruang persendirian kemas dan selesa. Bila tempat anda selesa, ia menjadikan aktiviti anda menjadi lebih mudah dan efisien. Namun, ruang persendirian anda akan menjadi tidak teratur dan bersepah apabila anda sibuk dengan urusan kerja atau di pejabat terdapat timbunan fail yang perlu diselesaikan. Jadi mengapa tidak mengambil kesempatan sementara menunggu waktu berbuka puasa untuk mengemas ruang anda?
Menonton Rancangan Televisyen Bersama Keluarga
Saya pasti, ini adalah di antara aktiviti yang kerap anda lakukan. Ia tidak berat dan lebih santai untuk dilakukan sebelum berbuka puasa. Anda juga boleh mengisi waktu lapang dengan menonton drama atau filem yang digemari oleh setiap ahli keluarga anda. Menerusi aktiviti ini, ia akan dapat mengeratkan hubungan dan bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu rancangan televisyen di kalangan ahli keluarga selain dapat menambah pengetahuan am melalui perbincangan tersebut.
Bermain Dengan Haiwan Perliharaan
Bagi anda yang mempunyai haiwan perliharaan seperti kucing, mungkin anda boleh menggunakan waktu ini untuk bermain dan bermesra bersama mereka. Luangkan masa bersama kucing sangat membantu anda dalam menghilangkan bebanan kerja dan menenangkan fikiran selepas pulang dari kerja. Terdapat banyak cara untuk anda mengajak kucing anda bermain seperti bermain tali, bola atau menggelitik perut untuk menarik perhatian mereka.
____________________________________________________________________________________________
Anda bukan sahaja boleh melakukan aktiviti-aktiviti ini seorang diri, malah anda juga boleh mengajak famili, rakan atau kenalan anda untuk mengisi masa lapang bersama. Mari kita sama-sama melakukan aktiviti yang bermanfaat pada bulan yang mulia ini. Salam Ramadan:)