Pernah tak kalau anda berada di dalam dilema tidak tahu nak balik raya kampung siapa tahun ini? Ia tidak menjadi satu masalah jika kedua-kedua kampung berada di negeri atau kawasan yang sama. Pagi boleh di kampung sendiri, petang pula sudah pergi ke kampung pasangan. Yang menjadikan masalah jika kedua-dua kampung berada di kawasan yang berlainan arah. Satu kampung di selatan manakala kampung pasangan anda di utara. Bagaimana anda mengatasi masalah giliran kampung siapa raya ini? Dan macam mana nak tentukan giliran beraya?

Sediakan jadual giliran untuk beraya

Kebiasaannya, orang ramai lebih gemar untuk membuat jaduan giliran untuk beraya di kampung halaman. Sebagai contoh, tahun lepas beraya di kampung ayah jadi tahun ini beraya di kampung ibu pula. Atau tahun sebelum di kampung isteri, tahun ini di kampung suami pula. Tapi, jangan pula anda mengelat, tahun ini, tahun depan, dan tahun seterusnya di kampung anda sahaja. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi juga, mungkin tahun ini ada apa-apa peristiwa atau sambutan yang salah satu kampung, maka utamakan mana-mana hal yang penting dulu. 

Jangan pentingkan diri sendiri

Elakkan pentingkan diri sendiri. Give and take. Anda perlu menjaga perasaan dan hati ibu bapa atau keluarga mertua anda. Tidak kira lelaki atau perempuan, tolak ansur itu amat penting dalam memastikan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan. Tidak wajib untuk balik mengikut giliran, namun adalah lebih baik jika anda ada jadual yang giliran yang tetap. Jadi, tidaklah kelam kabut atau berserabut nanti apabila hendak pulang beraya. 

Berbincang bersama keluarga

Bincang dahulu sebelum membuat keputusan. Bukan sahaja berbincang di antara keluarga kecil anda, malah anda perlu bertanya dengan ibu bapa dan adik beradik yang lain. Bukan apa, mana tahu jika tahun ini anda beraya di kampung halaman pasangan anda, dalam pada masa yang sama adik beradik anda yang lain juga tidak pulang ke kampung, maka kosonglah rumah ibu bapa anda itu nanti. Jadi, di situlah pentingnya berbincang dan toleransi antara pasangan atau keluarga. Mungkin, pasangan anda akan memahami situasi atau keadaan sebenar.

Cabutan bertuah

Anda mungkin boleh memilih untuk mencabut nombor bagi mengetahui kampung mana yang menjadi pilihan untuk beraya. Cadangan ini mungkin bukan yang terbaik. Namun, tips ini masih relevan untuk dijadikan sebagai penentu sesebuah keputusan, selain pemenang juga akan dipilih secara adil. Maka, kemungkinan untuk rasa tidak puas hati lebih rendah. 

____________________________________________________________________________________________

Buatlah keputusan yang bijak. Jangan disebabkan tahun ini bukan giliran kampung anda, ada pula yang akan bermasam muka sewaktu Syawal nanti. Di harap perkongsian ini dapat membantu anda dalam merancang perjalanan pulang ke kampung anda kelak.

 

Lihat profil
Lina Rosli

415 artikel di Tajria.