Carian
Tips Berpuasa Bagi Pesakit Gastrik 
May 9, 2019 Aida Kamalia

Tips Berpuasa Bagi Pesakit Gastrik 

Pada bulan Ramadhan ini umat Islam semua menjalankan ibadah rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa. Antara detik  yang ditunggu-tunggu bagi semua orang kan? Kalau anda lihat disekeliling anda, anak-anak kecil juga berusaha untuk berpuasa meskipun hanya setengah hari. Tapi bagaimana bagi mereka yang tidak mampu? Pesakit gastrik terutamanya, sering kali orang berkata pesakit gastrik sangat susah untuk berpuasa dan tidak mampu. Benarkah?

Tanggapan ini kurang tepat, sebenarnya pesakit gastrik juga mampu berpuasa dengan baik, tetapi mempunyai pantang larang dan cara yang betul untuk membolehkan diri dapat berpuasa dengan baik. Hari ini saya akan kongsikan tips untuk berpuasa bagi pesakit gastrik!

Apa itu gastrik

Pertama sekali kita lihat dahulu apa itu gastrik. Gastrik atau nama lainnya gastrtis adalah satu keradangan atau jangkitan pada lapisan perut berpunca dari satu bakteria bernama  H. Pylori.

Apabila sesorang mendapat serangan gastrik, sedikit sebanyak mengganggu aktiviti harian mereka dengan memberikan ketidakselesaan pada perut atau lebih teruk mampu membuat seseorang itu pitam.

Tanda-tanda gastrik

  • Perut rasa sakit pada bahagian kiri
  • Perut tidak selesa kerana kembung
  • Sakit dada
  • Mual dan muntah
  • Ketidakhadaman
  • Pedih ulu hati
  • Lemah badan

Tips untuk pesakit gastrik semasa bulan Ramadhan

Sahur

Harus ditekankan disini jika anda sedar anda sering mendapat serangan gastrik, jangan sesekali meninggalkan sahur semasa anda berpuasa. Semasa sahur juga, anda harus berhati-hati dengan pengambilan makanan anda. Elakkan makanan yang berangin seperti sayur kangkung, pulut, buah cempedak, ubi keledek dan banyak lagi. Sebaiknya, semasa sahur ambil makanan yang berserat tinggi seperti oat. kekacang dan brown rice yang dapat memberikan rasa kenyang yang lebih lama. 

Jangan tidur selepas sahur

Ini juga merupakan kesilapan yang sering dibuat bagi pesakit gastrik terutamanya. Jika anda tidak tahu, apabila anda tidur sejurus selepas mengambil sahur, ia akan membuatkan asid refluks. Ini kerana makanan yang diambil tidak sempat dicerna dengan baik dan apabila anda tidur, terjadilah asid refluks. Apabila terjadi masalah ini, anda akan berasa sangat tidak selesa seperti sakit dada kerana gas dari perut. 

Jangan makan terlalu banyak

Satu perkara penting yang seharusnya pesakit gastrik harus ambil perhatian adalah jangan makan terlalu banyak pada satu masa, terutamanya semasa anda berbuka puasa. Sudah menjadi kebiasaan, apabila berbuka puasa pasti akan dihidang degan pelbagai jenis makanan di depan mata anda, kan? Untuk mengelakkan rangsangan gastrik atau asid refluks, jangan makan terlalu banyak. Sebaliknya makan dalam kuantiti yang sikit dan kerap, serta pastikan anda kunyah dengan perlahan supaya makanan dapat dicerna dengan baik. Mungkin anda boleh berbuka puasa dengan 2 biji kurma dan segelas air, berhenti sebentar dengan solat solat Maghrib, kemudian sambung semula makan. Cara ini, ia akan mengelakkan daripada perut terkejut menerima makanan dengan banyak kerana seharian anda berpuasa. 

Elakkan makanan ini semasa berbuka

Semasa berbuka, elakkan mengambil makanan yang berminyak seperti goreng-gorengan, makanan yang pedas, serta makanan yang terlalu masam seperti kerabu mangga muda. Tidak lupa juga makanan yang berangin yang mampu merangsang serangan gastrik. Selain itu, elakkan mengambil minuman gas, beralkohol dan kafein semasa berbuka puasa.

Sebaliknya, ambil makanan yang baik seperti : 

  • Makanan rendah lemak seperti ikan dan ayam
  • Makanan tinggi serat seperti beras perang dan oat
  • Makanan yang mengandungi probiotic seperti yogurt
  • Sayur-sayuran hijau
  • Kekacang

 

Konklusinya, apa yang anda makan semasa sahur dan berbuka sangat penting dan haruslah dijaga denga rapi, supaya dapat mengelakkan serangan gastrik pada siang hari. Rugi kan kalau anda tidak dapat berpuasa kerana gastrik? Oleh itu, rancang menu berbuka puasa lebih awal supaya anda dapat mengawal makanan yang perlu dielakkan serta makana yang bagus untuk pesakit gastrik. 

 

Komen