Lina Rosli Diterbitkan 14 May 2019

Tips Dekorasi Rumah Untuk Raya Ini

Tips Dekorasi Rumah Untuk Raya Ini

Pasti ramai di kalangan anda sudah sibuk untuk menyediakan persiapan raya bersempena bula Syawal yang bakal tiba. Bagi rumah yang sering menjadi pilihan untuk saudara-mara dan sahabat rapat berkumpul pada raya ini, sudah tentu anda menginginkan keadaan rumah yang cantik dan meriah. Ada juga yang sudah mula menempah langsir yang bersesuaian dengan tema raya tahun ini. Namun, bagi anda yang masih lagi mencari idea-idea untuk menghias rumah anda untuk raya ini, disini terdapat beberapa tips yang mungkin membantu anda untuk mendeko.

round white and brown wooden table near chair

Saiz ruang di rumah

Sebelum membeli atau memilih sesuatu barang, anda perlu mengetahui saiz dan kondisi rumah anda yang sebenarnya. Jika anda memiliki ruang yang kecil, anda perlu memilih warna dan kelengkapan yang cerah untuk rumah anda. Hal ini kerana, ia akan memberikan hasil imej ruang yang lebih luas untuk sesebuah ruangan. Antara warna yang sesuai untuk saiz ruang yang kecil termasuk biru muda, putih, kuning air, beige dan macam-macam lagi. Manakala jika anda mempunyai saiz ruang yang agak besar, anda boleh menambah aksesori lain seperti frame atau gambar di bahagian dinding.

‘What’s your theme?’

Apakah pilihan tema untuk rumah anda? Kebiasaannya, untuk proses menghias yang mudah dan pantas, anda boleh mula merancang tema untuk rumah anda dengan lebih awal. Atau, anda sudah membuat lakaran pelan seperti yang digambarkan untuk ruangan anda. Sebagai contoh, jika anda ingin menukar langsir untuk raya kali ini, anda perlu memastikannya sesuai dengan dinding rumah ataupun karpet di ruangan lantai. Bukan itu sahaja, pelan anda juga bukan sekadar susun atur dalam ruangan, malah ia juga melibatkan pengurusan bajet untuk sesuatu kelengkapan.

Tukar apa yang perlu

Menjadi satu kebiasaan kebanyakan orang, apabila tiba hari raya pasti ramai yang akan berpusu-pusu menukar segala kelengkapan di rumah. Dari set sofa sehingga ke set bilik tidur. Namun, perlu diingatkan, jika barang-barang tersebut masih dalam keadaan yang elok, tidak perlulah anda bercadang untuk tukar. Mungkin kelengkapan itu boleh ditukar di masa dan waktu yang lain. Ingat, cuba elakkan pembaziran.

Mula dengan hiasan yang kecil

Untuk anda yang hadir dengan bajet yang lebih rendah, anda boleh mulakan dekorasi dengan barangan dan peralatan yang kecil seperti alas meja, bunga atau pasu, lilin hiasan dan kusyen. Mengapa mula dengan benda kecil? Kerana ia lebih mudah untuk ditukar dan diganti, selain tidak mempunyai kos yang tinggi. Malah, anda juga boleh melakukan hiasan secara ‘DIY’ menggunakan barang-barang terpakai di rumah. Dengan ini, anda dapat menghasilkan barangan yang baru, tapi dalam masa yang sama anda juga dapat mengurangkan kuantiti barang dirumah anda.

Buat perbandingan harga

Sebelum membuat apa-apa keputusan pembelian, anda disarankan untuk melakukan survey atau tinjauan di beberapa tempat. Buat perbandingan harga dahulu supaya anda dapat miliki barangan dan keperluan pada harga yang lebih rendah. Bukan itu sahaja, anda juga boleh membuat pilihan berdasarkan ciri, spesifikasi dan bentuk untuk sesuatu barangan itu. Jadi, dengan variasi pilihan yang anda, mungkin sedikit sebanyak boleh memberikan lebih banyak idea untuk menghias.

__________________________________________________________________________________________

Melalui perkongsian tips di atas, anda boleh cuba dapatkan idea selain praktikkan tips ini sewaktu menghias rumah atau ruangan individu anda. Ia bukan sahaja hanya untuk raya ini bahkan anda juga boleh menggunakan tips ini sewaktu dekorasi rumah baru atau dekorasi di pejabat juga. Selamat mencuba!