Carian
Mendaki Gunung Buat Kali Pertama? Lihat Tips Ini Dahulu 
March 22, 2019 Aida Kamalia

Mendaki Gunung Buat Kali Pertama? Lihat Tips Ini Dahulu 

Apabila lihat sahaja rakan-rakan anda post gambar di puncak gunung atau di air terjun, pasti rasa ingin melakukannya juga kan? Melihat kehijauan pokok, bertemankan bunyi air terjun, seronok sungguh! Akan tetapi, untuk anda yang baru ingin mula mendaki, sangat penting untuk membuat persiapan dengan betul. Ini kerana rata-rata pendaki tidak bersedia dari segi fizikal dan mental dan mungkin akan mengakibatkan kecederaan atau perkara yang tidak diingini berlaku. Tapi jangan risau,  dengan cara dan bimbingan yang betul pasti anda selamat.

Hari ini Tajria ingin berkongsi tips dan cadangan mendaki gunung, khas untuk orang yang baru ingin berjinak-jinak dalam mendaki ini.  

1. Stamina

Untuk mendaki, anda haruslah mempunyai stamina yang bagus supaya badan tidak terlalu penat dan ‘berat’. Jangan pula anda terus pergi mendaki tanpa sebarang persediaan fizikal supaya tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Seelok-eloknya, lakukan apa-apa senaman sebulan sebelum anda mendaki. Sebagai contoh, berlari, berenang atau apa-apa kardio sudah mencukupi untuk mempersiapkan diri anda. Semasa mendaki pula, rehat sebentar jika berasa diri terlalu penat, akan tetapi jangan ambil masa yang terlalu lama untuk mengelakkan badan terlalu selesa, seterusnya badan akan rasa sangat berat untuk teruskan perjalanan.

 2. Bawa rakan yang berpengalaman

Seterusnya, cari rakan yang berpengalaman dalam mendaki, jika rakan anda tahu selok belok gunung yang ingin anda daki juga lebih baik. Sangat penting untuk memilih rakan yang berpengelaman, ini kerana mereka lebih tahu tentang apa yang harus dilakukan di dalam hutan, seterusnya dapat mengelakkan risiko kemalangan atau pun hilang. Selain itu juga, cari rakan yang mampu menyokong mental  anda sepanjang perjalanan sehingga ke puncak. Ini kerana untuk newbie, anda mungkin memerlukan sokongan yang lebih berbanding yang lain.

3. Cari gunung yang mudah

Sebelum anda meneroka gunung yang tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk ke puncak, lebih baik anda pergi yang mudah terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan anda menyerah kalah semasa perjalanan nanti. Jadi bila badan sudah biasa mendaki, lebih mudah untuk anda pergi ke gunung atau bukit yang lebih tinggi. Paling penting, anda haruslah membuat pencarian  lebih dalam ke atas lokasi dan tempat yang anda pergi. Suhu tempat, selok belok pendakian dan banyak lagi. Banyak gunung dan bukit yang anda boleh cuba di Semenanjung ini. Antaranya :

  • Bukit Saga
  • Gunung Nuang
  • Bukit Broga
  • Lepoh, Hulu Langat

         

4. Kasut dan pakaian

Untuk pakaian dan kelengkapan peribadi, tiada halangan untuk anda bawa. Akan tetapi apa yang harus anda ingat, jangan bawa terlalu banyak untuk mengelakkan bag menjadi lagi berat. Pilih baju yang serap peluh dan nipis untuk memudahkan pergerakan dan selesa sepanjang perjalanan. Kelengkapan peribadi seperti sabun, shampoo dan ubat gigi, cari saiz yang kecil atau transfer sahaja shampoo dalam bekas yang lebih kecil.

Pastikan tapak kasut anda berada dalam keadaan baik supaya kaki lebih grip semasa mendaki untuk mengelakkan risiko anda tergelincir dan sebagainya. Cari sahaja di Lazada atau Shopee, yang menawarkan pelbagai jenis kasut hiking dan harga mengikut kesukaan anda.

5. Ubat-ubatan

Jika anda mempunyai sebarang penyakit, pastikan anda membawa ubat semasa mendaki. Sebagai contoh, jika anda mempunyai asthma, bawa sekali inhaler ada di dalam beg. Malah, lebih baik anda membawa first-aid kit sebagai persiapan jika terjadi apa-apa. Antara yang harus dibawa di dalam first-aid kit :

  • Panadol
  • Ubat demam
  • Minyak angin
  • Krim antiseptik
  • Spray gigitan serangga

Sumber : Watsons Malaysia

              Sumber : Watsons Malaysia

6. Makanan dan minuman

Jika anda tidak rancang untuk tidur di atas, anda tidak perlu untuk membawa makanan yang terlalu berat. Cukup sekadar roti kecil atau energy bar  untuk alas perut semasa tiba di puncak gunung. Pastikan anda membawa air kosong yang cukup untuk sepanjang perjalanan pergi dan balik, air isotonik seperti 100 plus juga disarankan untuk bawa ke puncak sebagai persediaan jika badan berasa sangat penat. Selain itu, jangan lupa bawa coklat atau gula-gula untuk dijadikan jajan, dapatlah anda makan semasa berehat sebelum meneruskan perjalanan anda.

7. Hormat hutan

Apabila kita pergi sesuatu tempat yang bukan kepunyaan kita, sudah menjadi satu kewajipan untuk kita hormati tempat tersebut dengan menjaga tingakah laku diri. Sentiasa menjaga percakapan, pergaulan dan tidak mengotorkan hutan yang anda akan daki nanti. Jangan lupa membawa plastik sampah supaya anda tidak meninggalkan apa-apa sampah di tempat perkhemahan atau di tempat anda akan berehat. Lebih bagus jika anda mengutip sampah yang anda jumpa semasa perjalanan ke puncak gunung.

Mendaki gunung ini merupakan satu sukan yang mencabar, disebabkan itu ia memerlukan persiapan yang teliti supaya anda selamat sepanjang perjalanan anda. Jika anda ingin menjadikannya satu hobi yang baru, pilih rakan yang terbaik yang dapat membantu anda dan jangan mengalah! Sentiasa pesan kepada diri yang anda mampu untuk lakukannya! Malah, anda pasti akan berasa seronok dan ingin lakukannya lagi.

Komen