Aida Kamalia Diterbitkan 16 May 2019

Risiko Berbuka Puasa Dengan Merokok, Berhentilah! 

Risiko Berbuka Puasa Dengan Merokok, Berhentilah! 

Pada bulan Ramadan yang mulia ini, ia merupakan waktu yang sangat mencabar bagi kalangan perokok. Bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi mereka terpaksa menahan gian untuk menghisap rokok semasa berpuasa. Walaupun kita semua sudah sedia maklum dengan keburukan merokok, tetapi tahukah anda berbuka dengan menghisap rokok semasa perut kosong  adalah jauh lebih bahaya?

Sudah tentu ada mereka yang tatkala azan berkumandang, cukup sekadar mengambil sebutir kurma, kemudian capai rokok dan lighter untuk menghisap rokok dan melepaskan gian terhadap nikotin ini.

single cigarette stick with ashes stick

Apa risiko yang akan anda dapat jika terus menghisap rokok semasa berbuka ni?

Pening dan muntah

Semasa anda berbuka puasa, badan lebih memerlukan khasiat nutrisi dan cecair untuk menggantikan semula tenaga yang hilang semasa berpuasa. Namun jika ada berbuka puasa dengan sebatang rokok, tubuh menjadi lebih renponsif ke atas kandungan bahaya yang ada dalam rokok seperti karbon monoksida. Seterusnya, badan akan rasa tidak selesa  dan risiko untuk mengalami muntah-muntah dan pening kepala meningkat.

Melemahkan jantung

Oleh kerana kandungan karbon monoksida yang banyak dalam rokok, ia mampu untuk masuk ke aliran darah dan menurunkan kadar oksigen dalam darah. Jadi apa akan jadi jika kekurangan oksigen dalam badan? Anda akan rasa sukar untuk bernafas dan seterusnya dalam jangka waktu yang panjang, ia dapat melemahkan jantung anda. Lebih-lebih lagi jika berpuasa, risiko untuk jantung menjadi lemah ini lebih tinggi.  

Merosakkan pembuluh darah

Selain itu, bahayanya kesan karbon monoksida di dalam badan kita, ia mampu meningkatkan kadar kolesterol di dalam darah. Jika perokok merokok serta merta saat berbuka puasa, ini mampu menyebabkan pengumpulan plak di pembuluh darah arteri, kemudian membuatkan pembuluh arteri mengeras. Jika dilakukan secara kerap semasa anda berpuasa, ia mampu menyebabkan pembuluh darah menyempit dan anda lebih mudah untuk mendapat penyakit jantung atau strok. Bahaya sungguh!

Kanser paru-paru

Sebenarnya, jika anda merokok semasa perut kosong lebih berisiko untuk mendapat kanser paru-paru, kerana kadar nikotin yang diserap oleh badan lebih besar berbanding apabila merokok semasa hari tidak berpuasa. Oleh kerana badan lebih mudah untuk bertindak balas semasa berpuasa, jika anda merokok terlalu banyak, anda mampu mendapat kanser paru-paru. Kanser adalah salah satu penyakit yang sangat digeruni jadi sebolehnya, kurangkanlah dan berhenti merokok agar tidak menghadapi kanser ini. Malah nikotin juga memberi banyak kesan buruk kepada badan seperti degupan jantung menjadi lebih laju, meningkatkan tekanan darah dan banyak lagi.

Akhir sekali, apa yang dapat disimpulkan disini adalah, merokok semasa berbuka puasa jauh lebih bahaya berbanding jika anda tidak berpuasa. Apa kata pada bulan yang mulia ini, ianya waktu yang terbaik untuk anda berhenti merokok. Bukan sahaja rokok dapat merosakkan badan anda sendiri, tetapi ia akan merosakkan badan perokok pasif, iaitu orang yang berada di sekitar anda. Tahukah anda perokok pasif lebih cenderung untuk mendapat penyakit yang berbahaya ini?

Jadi sayangilah diri anda! Atau paling tidak, sayangi orang tersayang disekeliling anda.

 

 

Sumber : Hello Doktor