Carian
Cara Mendidik Anak Yang Degil 
March 22, 2019 Aida Kamalia

Perangai anak yang degil ini kadangkala amat memeningkan kepala, terutamanya jika anda seorang suri rumah. Mereka sering menunjukkan sikap yang agresif, gaduh bersama adik-beradik yang lain serta melawan kata ibu-bapa. Ada yang mengamuk di pusat beli-belah, sehingga orang sekeliling memberi pandangan yang jelek terhadap ibu-bapa anak tersebut.

Kadang-kala bukan salah ibu-bapa, tetapi mungkin terlalu ikutkan rakan sebaya mereka. Satu perkara yang anda harus ingat, anak kecil yang belum matang ini tidak dapat membezakan apa yang salah dan betul. Akan tetapi, ibu-bapa seharusnya mendidik dengan lebih awal supaya mereka membesar dengan peribadi yang baik.


Jadi bagaimana untuk mendidik anak yang degil seperti ini? Ikuti langkah dibawah.

Tenang 

Pertama sekali yang anda harus lakukan adalah untuk kekal tenang ketika anak membuat perangai mereka. Tidak kira di rumah atau di tempat awam, jangan sesekali melenting dengan nada yang sangat tinggi, terutamanya di tempat awam dimana ia mungkin akan menarik perhatian orang ramai.

Jika di rumah anak bergaduh dengan adik-beradik yang lain, elakkan menengking anak untuk meleraikan mereka. Sebaliknya, anda harus tenang dahulu, minta mereka berhenti dengan segera menggunakan nada yang tegas, akan tetapi tidak menjerit. Kemudian baru mulakan perbincangan.

Elakkan menggunakan nada yang kasar dan menengking, ini kerana perkara ini akan membuatkan anda lebih stress dan letih.

Beri anak pilihan 

Kadangkala, anda juga harus memberi anak pilihan untuk membuatkan situasi lebih mudah untuk dihadapi. Dengan memberi mereka pilihan, anak boleh memilih dengan pilihan yang ada sahaja. Sebagai contoh, apabila anak enggan masuk tidur kerana ingin menonton tv dan memberontak, cuba tanya mereka buku apa yang mahu dibaca di atas katil sama ada buku A atau B.

Namun, kemungkinan besar anak anda akan lebih memberontak. Disini, anda harus bersabar, dan menegaskan ia bukan dalam pilihan ada. Jangan pula anda memarahi mereka, lambat laun mereka akan mengikuti pilihan anda.


Tunjukkan perkara baik 

Anak kecil yang membesar ini ibarat ‘span’ yang akan menyerap apa sahaja informasi yang mereka dapat. Mereka akan memerhati dan mengikuti apa sahaja ibu-bapa mereka lakukan. Disebabkan ini, sangat penting untuk ibu-bapa menunjukkan perkara yang baik dihadapan mereka kerana kelakuan anda akan diikuti oleh anak-anak anda.

Elakkan mengeluarkan kata-kata negatif di hadapan anak serta melakukan perkara yang tidak baik seperti merokok. Sebaliknya, tunjukkan nilai-nilai murni yang baik untuk mereka ikuti dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka dengan memuji anak jika mereka berjaya melakukan sesuatu.

Buat bersama anak

Biasanya, anak akan memberontak dan tidak mengikut kata-kata anda kerana mereka tidak berasa seronok melakukan perkara tersebut. Jadi ia merupakan tugas ibu-bapa untuk menjadikan perkara yang disuruh itu lebih seronok, terutamanya jika dilakukan bersama.

Ajak mereka sekali untuk membuat kerja rumah seperti memasak bersama, menyiram pokok bunga atau mengemas rumah. Apabila melakukakn aktiviti bersama, sekaligus dapat meningkatkan kemesraan antara anak dan ibu-bapa. Di samping itu, anda juga boleh meceritakan kepada anak fakta menarik sebagai contoh, nama-nama bunga yang disiram.

Tanya pendapat anak 

Apabila mendidik anak, ibu-bapa seharusnya mementingkan  perasaan anak juga dan bukan hanya mengarah mereka. Mungkin anak juga mempunyai pendapat mereka sendiri. Jika anak masih degil dan tidak mendengar kata, ambil masa anda dan duduk bersama anak.

Pastikan anda memeluk anak dan bertanyakan kepada mereka, mengapa anak tidak mahu melakukannya. Kadangkala, jika anda terlalu mendesak mereka, anak mungkin akan murung dan akan memendam rasa.


Jangan gaduh di hadapan anak

Perkara ini nampak remeh akan tetapi, periksa jika anda dan pasangan sering bergaduh di hadapan anak anda. Bukan sahaja ia mengganggu mental anak, malah anak mungkin akan terikut-ikut sikap agresif jika anak mendengar suara jeritan, menggunakan bahasa yang kasar serta tabiat membaling barang.

Apabila ia menjadi satu kebiasaan, anak akan akan membesar dengan persekitaran yang negatif dan mungkin sikap serta  perangai anak juga tidak baik.

Ibu-bapa harus ingat yang perubahan tidak akan berlaku dalam jangka waktu yang sekejap. Ia mungkin akan mengambil masa selama berbulan, ini kerana anak masih kecil dan mereka memang akan melakukan kesilapan. Tidak mengapa, jangan berasa tertekan atau menganggap anda bukan seorang ibu-bapa yang baik.

Sabar dan jangan putus asa adalah kunci yang utama. Beri mereka masa, dan anda juga harus memerhati dan fikir cara yang berlainan untuk dekatkan diri kepada anak anda. Ini kerana setiap anak berbeza perangainya, dan cara pendekatan juga berbeza. Lama-kelamaan, pasti anak anda akan mengikuti kata juga.

Komen