Menulislah Yang Mengubah Jalan Hidup
Saat saya menulis catatan ini. Saya sedang duduk sambil melayan secawan kopi panas di bahagian kota Bangkok yang hingar dan bising. Jalan raya terasa padat dengan motor, kereta dan pejalan kaki. Bangkok adalah kota yang penuh, berbau dan membuatkan saya selalu terasa asing.
Tidak dapat tidak, itulah lumrah seorang pengembara. Berjalan di sebuah kota yang tidak langsung terasa asyik dan nyaman. Selalu sahaja rasa tidak diterima.
Semalam saya duduk di sebuah kafe kecil bernama Archie. Berhadapan jalan Prajadhipok bersama seorang teman daripada Korea yang saya kenal di Krabi. Pengenalan kami terjadi sewaktu kami menaiki bot yang membawa kami mengelilingi pulau-pulau kecil berdekatan Pantai Ao Nang.
Di kafe tengah kota Bangkok itu, saya duduk menikmati makan tengahari sambil membaca sebuah karya daripada penulis Indonesia, Laksmi Pamuntjak. Buku yang diberi nama Amba. Manakala beliau, ditemani minuman keras dan roti bakar disaluti mentega dan kacang.
Tidak lama sedang saya kusyuk membaca, gadis daripada Korea itu bertanya pada saya perihal buku yang saya baca. Tentang siapa penulisnya? Apa sinopsisnya? Bagaimana jalan cerita buku itu? dan akhirnya dia mula masuk kepada persoalan yang membuatkan saya memulakan tulisan ini.
Soalan dia kecil, tapi begitu besar bagi saya. Bagaimana menulis boleh mengubah kehidupan seseorang?
Sebagai seorang lelaki yang tidak punya kekasih, bekerja sebagai penulis di sebuah portal sukan, banyak menghabiskan masa dengan menelaah buku-buku serta menulis. Persoalan itu terasa dekat dan nyaman pada saya.
Pertamanya, adakah benar menulis yang mengubah hidup seseorang atau kita yang mengubah diri kita sendiri?
Keduanya, seberapa besarnya kesan menulis tersebut yang membuatkan kita berubah?
Beberapa tahun yang lalu, saya membaca buku A Tale For The Time Being karya daripada Ruth Ozeki, penulis Amerika-Canada.
Buku tersebut menceritakan seorang remaja, Nao berdarah kacukan Amerika-Jepun tinggal di tengah kota California. Beberapa tahun selepas itu, beliau dipaksa pindah ke tengah kota Tokyo disebabkan ayahnya dibuang kerja. Sudah terbiasa dengan budaya Amerika, beliau merasa payah untuk mengubah cara hidup yang bertepatan dengan budaya dan cara hidup orang Jepun.
Sebahagian daripada ketidakbiasaan beliau adalah terpaksa bertutur di dalam bahasa Jepun. Tidak seperti ayahnya yang sememangnya fasih di dalam bahasa Jepun, beliau melalui hari-hari sukar untuk membiasakan diri di tengah kota Tokyo yang padat.
Beliau juga bergelut dengan persekitaran baru dan mengalami kemurungan kerana dilihat sebagai “orang luar” di negara kelahiran ayahnya. Beliau juga turut menjadi mangsa buli di sekolah kerana di mata mereka, beliau adalah asing.
Buntu dan murung. Beliau memilih untuk mengambil nyawanya sendiri, tetapi bertekad untuk menulis catatan tengan dirinya sendiri dan perihal neneknya yang menjadi biarawati Buddha di sebuah perkampungan yang terletak di kaki gunung.
Disitulah segalanya berubah. Beliau mendapati menulis catatan kehidupan beliau dan sepanjang bersama dengan neneknya telah membuatkan beliau melihat kembali kehidupannya selama ini. Ia seolah-olah seperti menangkap kehidupannya kembali dan mengubah perancangan asal beliau.
Di sisi lain cerita. Tinggal seorang novelis, Ruth yang duduk berhampiran dengan pantai British Columbia. Beliau terjumpa sebuah kotak Hello Kitty yang hanyut. Beliau mengagak kotak tersebut hanyut dibawa Tsunami yang melanda Jepun pada tahun 2011. Di dalamnya terdapat sebuah buku catatan harian Nao. Membaca catatan Nao, beliau merasakan wujud sebuah hubungan diantara mereka berdua dan membuatkan beliau mula mencari Nao di dunia nyata.
Melihat daripada karya Ruth Ozeki. Ia adalah perjalanan yang panjang dan melelahkan buat Noa. Beliau dipaksa untuk menerima segala perubahan yang ada disekelilingnya. Tambah pula, beliau dipaksa untuk mengubah budaya yang jauh daripada kebiasaan beliau.
Perubahan demi perubahan yang membuatkan beliau terganggu dan merasa murung. Lalu memilih untuk menulis sebelum mahu mengambil nyawanya sendiri. Tetapi akhirnya beliau meninggalkan perancangannya untuk mengambil nyawanya sendiri apabila menulis membuatkan beliau memandangan kehidupan daripada sudut yang berbeza.
Begitulah besarnya kesan menulis buat Noa.
Menulis membuatkan kita melihat dunia daripada sisi lain. Perkara yang terasa kecil sebenarnya besar bagi orang yang menulis. Ia tidak lagi melihat dunia hanya sebagai sebuah tempat untuk merebah lelah setelah penat bekerja. Tetapi lebih daripada itu.
Menulis akan membuatkan kita melihat dunia tempat untuk berkasih sayang, merebah duka, melepaskan kekecawaan. Ia adalah tempat bersahabat, tempat mengutip dan menyebar ilmu, tempat orang-orang bijak pandai berbicara tentang ilmu yang jauh daripada mata kasar manusia, tempat orang bodoh menjadi pandai.
Seperti kata-kata Seno Gumira Ajidarma di dalam buku Ketika Jurnalisme Dibungkam Sastra Harus Bicara, “menulis adalah belajar menangkap momen kehidupan dengan penghayatan paling total yang paling mungkin dilakukan oleh manusia.”
Apa yang menjadi paling asyik tentang menulis adalah ianya tidak datang daripada bahasa mulut, tetapi datang daripada bahasa hati. Bagaimana seseorang yang menulis boleh menerangkan kehidupan seharian beliau hanya melalui tulisan. Bahasa hati adalah sebuah bahasa yang paling ikhlas jika dicatatkan tetapi ia boleh menjadi sebuah bahasa yang kejam jika tidak kena pada tempatnya.
Untuk menutup tulisan saya. Beberapa tahun sebelum ini, saya melawat teman saya di Bandung, Indonesia. Beliau menghadiahkan saya buku Habibie & Ainun, karya daripada mantan Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai B.J Habibie.
Teman saya menceritakan bahawa selepas ketiadaan isterinya, Ainun. Pak Habibie menjadi murung. Duka dan kecewa. Bagi beliau, Ainun adalah sebahagian daripada hidup beliau. Kematian Ainun seolah-olah sebahagian daripada hidup beliau juga telah mati.
Lalu apa yang beliau lakukan untuk pulih dan bangun kembali bagi meneruskan hidup? Beliau menulis tentang kisah cinta beliau dan Ainun. Sehingga catatan beliau diangkat menjadi filem.
Itulah apa yang diceritakan teman saya. Jika benar ceritanya, benarlah saya. Jika tipu, saya juga turut tertipu.