Tips Elak Pembaziran Di Bazaar Ramadhan
Sedar tak sedar, nak masuk minggu keempat dah kita kan. Semakin hampir bulan Ramadhan akan meninggalkan kita. Tapi sebelum tu, tak terlambat lagi untuk kita mengubah sikap buruk iaitu membazir! Buat pengetahuan anda semua, pada bulan ini tahap pembaziran makanan sangat tinggi. Lihat sahaja restoran-restoran yang menawarkan pakej buffet, adakah makanan yang dihidangka habis? Jika anda lihat sendiri orang memberi sumbangan makanan kepada mereka yang tidak mampu atau ‘homeless’, lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini berebut-rebut orang ingin membuat sumbangan makanan. Akan tetapi, terlalu banyak makanan yang diterima sampai berlonggok-longgok makanan keliling mereka. Kalau difikir secara logik, makanan hanya bertahan paling lama sehari. Lebih dari itu, kemungkinan makanan yang mereka terima akan dibuang ke dalam tong sampah.
Bukan saya kata salah untuk membuat kebaikan dan sumbangan pada bulan ini terhadap mereka yang lebih memerlukan, akan tetapi mungkin kita boleh berikan sumbangan dalam bentuk lain, dan bukan bungkusan makanan.
Jadi sebelum kita menyuruh orang lain untuk membuat perubahan, diri sendiri haruslah berubah terlebih dahulu! Hari ini Tajria akan berkongsi bagaimana untuk anda elakkan pembaziran di bazaar Ramadhan. Biasalah ketika berpuasa ni, semua makanan nampak sedap kan? Ikuti tips di bawah untuk kita berubah dan elakkan pembaziran daripada berlaku!
Tanya dahulu
Ini merupakan perkara paling penting sekali jika anda mempunyai niat untuk pergi ke bazaar petang nanti. Tanya dahulu pasangan anda, ibu, anak, atau kakak sekalipun apakah juadah yang mereka akan masak untuk berbuka nanti. Jika mereka akan masak juadah berbuka yang banyak, jadi beringatlah ketika membeli di bazaar dan hanya beli makanan sampingan sahaja seperti kuih-muih atau minuman. Mengikut pengalaman saya sendiri, ayah dan abang saya membeli makanan di bazaar dengan kuantiti yang sangat banyak, walhal saya memasak juadah berbuka yang agak berat. Akhirnya makanan yang dibeli hanya disimpan di dalam peti ais. Membazir kan?
Bawa senarai
Seterusnya tips yang kedua adalah, buat satu senarai apa makanan dan minuman yang anda ingin beli di bazaar. Pada waktu sekarang ini, pasti anda sudah pun tahu selok belok di bazaar serta makanan dan minuman yang dijual. Mana tidaknya, hari-hari anda tawaf satu bazaar untuk berbuka puasa kan? Sebagai contoh, tulis di atas kertas kecil atau paling mudah di Notes telefon anda sendiri. Jika anda tulis pada siang hari atau pun petang, pasti dalam kepala ligat memikir semua makanan yang dijual. Nasi tomato, nasi kerabu, ayam percik, sate kambing, kuih tepung pelita, kuih akok, air mangga segar, air tembikai dan banyak lagi. Tidak mengapa, tulis sahaja makanan dan makanan yang anda inginkan, kemudian duduk sebentar dan fikir secara rasional.
‘Adakah aku akan habis semua ni?’
Fikir lagi adakah makanan ini semua terlalu banyak untuk 2 orang, 5 orang atau semua yang ada di rumah anda. Jika terlalu banyak, potong satu per satu makanan yang tidak perlu. Setelah itu, tulis juga di tepi harga makanan itu pula dan bandingkan.
Ingat, pilih makanan dan minuman cukup-cukup sahaja supaya makanan yang dibeli tidak masuk ke peti ais kerana tidak habis.
Hadkan duit
Apabila anda sudah pun membuat senarai untuk dibeli di bazaar, langkah seterusnya adalah bawa duit cukup-cukup sahaja ke bazaar mengikut harga yang telah anda kira tadi. Jangan bawa lebih! Jika anda bawa duit lebih dari jumlah senarai tadi, besar kemungkinan anda akan beli makanan yang lain. Dengan alasan, nak habiskan duit yang ada di tangan anda.
Selain itu juga, buat anda yang tidak menulis senarai makanan dan minuman, anda boleh hadkan duit untuk anda berbelanja di bazaar. Sebagai contoh, bawa duit RM10 sahaja ke bazaar untuk anda berbelanja. Jadi dengan duit yang sedikit di tangan, anda akan lebih cenderung untuk berjimat kerana hanya membawa jumlah duit yang sedikit.
Segera pulang
Seterusnya apabila anda senaraikan apa yang mahu dibeli, apabila anda tiba sahaja di bazaar, terus pergi ke kedai yang diinginkan dan beli mengikut senarai. Apabila semua sudah dibeli, segera pulang ke rumah untuk elakkan diri anda membeli makanan yang tidak tersenarai. Biasalah nampak pula makanan tersusun rapi di setiap gerai bazaar, nampak sungguh menyelerakan! Jadi elakkan tawaf bazaar apabila anda sudah dapat semua makanan yang anda senarai, jangan membazir!
Kesimpulannya, segalanya bermula dari diri sendiri untuk mengawal nafsu daripada membeli makanan yang terlalu banyak dan tidak perlu. Tetapi cuba lakukan perubahan dan latih diri untuk tidak membazir, bukan sahaja pada bulan puasa ini, malah pada setiap masa. Jika tidak bermula dari rumah, siapa lagi yang ingin mulakan?
Jangan lupa ikuti tips dia atas hari ini sebelum anda pergi ke bazaar Ramadhan ya!