Rahsia Sambal Nasi Lemak Sedap!
Dah nama pun Melayu, sehari tak makan sambal memang tak sah kan? Nasi lemak, lempeng cicah sambal tumis, sambal udang, sotong kalau boleh semua nak letak sambal. Walaupun nampak macam senang masak sambal ni, sebenarnya bukan senang nak dapatkan sambal yang cukup rasa tau. Masin, manis, pedas dan masam. Kena ada cara yang betul baru dapat sambal yang ‘kick’! Cuba tengok petua Tajria nak bagitau kat bawah ni, mungkin ada yang belum korang buat?
1. Pilih cili kering dengan betul
Ada lagi tak yang masih tak tau cili kering pun ada level kepedasan yang tersendiri? Untuk buat sambal nasi lemak yang power, sambal haruslah tak terlalu pedas tetapi bukanlah sampai tak pedas langsung. Tipsnya adalah, pilih cili kering yang panjang dan kerinting, warna cili kering ni juga sedikit kusam. Untuk cili macam ni, pedasnya biasa sahaja dan tidak terlalu pedas, sesuailah untuk masak sambal nasi lemak.
2. Rebus cili terlebih dahulu
Ada orang beli cili kering, simpan sahaja dalam almari. Kalau nak guna hanya gunting cili kering, bilas pakai air dan kisar macam biasa. Tapi sebenarnya, kalau korang rebus cili kering, sambal akan rasa lebih sedap! Apabila direbus dahulu, cili akan jadi lebih halus dan cantik selepas kisar.
3. Masukkan minyak semasa kisar
Ketika mengisar cili yang dah direbus, masukkan juga sedikit minyak masak. Tujuannya adalah untuk biji cili kering mudah hancur. Sebab kalau tapis biji cili pun, masih ada biji-biji cili. Jadi untuk dapatkan paste cili kering yang smooth dan tidak berbiji, boleh guna cara ni.
4. Guna minyak bekas goreng ikan bilis
Selalu dengar orang cakap guna minyak ikan bilis untuk sambal yang lebih aroma dan sedap. Memang betul, sambal akan rasa lain dari biasa mungkin kerana masin dari ikan bilis itu sendiri. Caranya, cuci ikan bilis macam biasa dan goreng sampai garing. Angkat dan tos. Minyak yang digunakan jangan buang, terus letak bawang untuk menumis sambal.
.
5. Campur belacan Letak belacan juga salah satu rahsia untuk sambal tu sedap. Tapi ada juga orang yang tak minat letak belacan. Citarasa orang kan lain-lain. Biasanya, kalau dah letak belacan, kuantiti garam kena lebih berjaga-jaga. Bukan apa takut terlebih masin! Belacan boleh dibakar dulu, dan terus blend sekali dengan bawang untuk ditumis.
6. Tumis sambal banyak kali Kunci untuk sambal yang sedap ni, haruslah tumis banyak kali. Lebih-lebih lagi kita guna cili kering, kalau tk masak betul boleh sakit perut. Biasakan tumis sambal hingga naik minyak 4-5 kali. Kalau nampak sambal kering, tambah lagi air. Ulang semula hingga 5 kali sampai nampak sambal berkilat dan merah cantik.
Masak sambal ni memang agak renyah, tapi kalau dah pandai buat sambal yang power, orang makan pun tak pandang kiri kanan tau! Untuk yang baru nak belajar masak terutamanya wanita dan suri rumah nak bagi suami dan anak-anak makan, boleh cuba tips-tips dekat atas ni. Boleh juga guna tips yang sama untuk buat sambal sotong, sambal udang dan sebagainya. Selamat mencuba!