Resepi Kepah Masak Kam Heong Mudah Dan Sangat Sedap!
Siapa disini sukakan kepah? Rupa kepah ni lebih kurang seperti lokan, tetapi warna lokan gelap dan kepah lebih cerah. Resepi yang saya ingin kongsikan pada hari ini adalah, kepah masak kam heong yang saya jadikan salah satu juadah berbuka bersama keluarga semalam, digandingkan bersama ikan stim limau serta kangkung tumis belacan. Memang menjadi rebutan ramai kepah masak kam heong ni, makan pula dengan nasi putih panas, sedap!
Kalau korang semua nak tahu, kam heong adalah satu masakan yang terkenal dalam kalangan Kaum Cina, malah ia merupakan hidangan yang wajib ada di restoran-restoran yang menawarkan masakan Cina. Apa yang berbeza masakan kam heong ini, ia mempunyai daun kari yang memberikan bau yang wangi serta rasa sambal yang manis masin Sangat serasi apabila dimakan bersama nasi putih, sotong celup tepung atau seafood yang lain.
Mungkin boleh jadi juadah berbuka korang pula petang nanti? Jom tengok bahan-bahan dibawah.
Bahan-bahan
- ½ kilo kepah (cuci)
- 3 tangkai daun kari
- 3 ulas bawang putih (kisar)
- 5 ulas bawang merah (kisar)
- 5 sudu cili kering (kisar)
- 1 inci halia
- 2 sudu udang kering
- 3 sudu sos tiram
- 3 sudu kicap cair
- 3 sudu kicap pekat
- Garam & gula secukup rasa
- Bahan yang dijadikan paste :
- 2 sudu serbuk kari daging
- 1 sudu serbuk kari ikan
Cara-cara
1. Terlebih dahulu, kisarkan bawang putih, bawang merah dan halia bersama sedikit air. Dalam resepi ni ada udang kering, tetapi saya tak letak pun udang kering. Terpulang pada korang semua ya.
2. Masukkan minyak secukup rasa untuk menumis, jangan sikit sangat nanti lambat garing sambal kita nanti. Masukkan bahan yang kita blend tadi, kemudian tumis sehingga garing dan naik bau.
3. Kalau ikut cara saya masak, saya lebih gemar menumis bawang dahulu kemudian baru masukkan cili kering yang dah dikisar. Apabila bawang dah garing, masukkan cili kering kemudian tumis lagi.
4. Tumis sehingga sambal kita betul-betul garing dan masak. Kalau ada rasa bawang lagi, tumis lagi dan jangan lupa tambah air kalau kering ya.
5. Seterusnya kita ambil serbuk kari daging dan ikan, masukkan air untuk kita jadikan paste. Kalau korang tidak ada serbuk kari ikan, pakai sahaja serbuk kari daging. Macam saya, saya hanya gunakan serbuk kari daging sahaja sebab serbuk kari ikan dah habis! Pakai yang ada sahaja.
6. Seterusnya masukkan paste yang kita buat tadi ke dalam kuali, tumis hingga serbuk kari tadi garing dan masak. Ketika ini boleh masukkan sos tomato ke dalam kuali dan tumis lagi, tambah air jika kering. Jangan lupa letak sekali daun kari untuk bau yang lebih wangi dan ummphh!
7. Setelah bahan tumis dah garing dan naik minyak, masukkan kepah yang dah dicuci bersih tadi dan tutup kuali korang. Ketika ini air daripada kepah akan keluar, jadi korang tidak perlu menambah air lagi.
8. Masukkan kicap cair dan kicap pekat, bahan perasa seperti garam dan gula untuk rasa yang sedap. Kalau korang suka warna yang lebih gelap, tambahkan lagi kicap atau tambah potongan cili padi untuk rasa yang lebih pedas. Disebabkan lauk ini untuk saya makan bersama adik kecil jadi saya tidak tambah potongan cili, baru lah sesuai dimakan seisi keluarga sebab tak pedas!
9. Rasa sedikit dan kepah kam heong ini siap untuk dihidang! Hiaskan dengan hirisan daun ketumbar untuk rupa yang lebih cantik.