Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tak lama lagi dan pastinya wanita-wanita diluar sana sudah mula fikir gaya hijab yang macam mana nak pakai pada pagi raya nanti, kan? Raya kan setahun sekali, pasti ingin tampil cantik dan kemas dihadapan saudara mara anda yang jumpa hanya pada waktu raya sahaja!

Seperti anda semua tahu, tidak semua gaya tudung sesuai dipakai oleh semua wanita, di mana kita semua mempunyai bentuk muka yang berbeza-beza. Jika mereka yang mempunyai bentuk muka panjang dan memakai gaya hijab sesuai dengan muka panjang, pasti mereka yang mempunyai muka bulat akan nampak kurang sesuai.

Tetapi jangan risau, semua bentuk muka ada tips dan panduan yang boleh anda ikut untuk menggayakan hijab anda supaya nampak lebih kemas dan menarik.

Lihat di bawah tips menggayakan hijab mengikut bentuk muka.

Bentuk muka bulat

Kredit ; Ayda jebat

Bagaimana untuk tahu bentuk muka anda adalah bulat? Kebiasaanya bentuk muka bulat ini lebar antara sisi muka dan dahi adalah sama atau hampir sama, serta mempunyai pipi yang lebar. Untuk wanita dengan wajah berbentuk bulat, gaya tudung shawl atau bawal lebih sesuai dengan gaya longgar supaya tidak ‘highlight’ bentuk muka anda yang bulat. Jika anda memakai shawl, elakkan memakai pin tudung dengan ketat, serta elakkan kain shawl seakan melekat di muka. Anda juga boleh menambah lipatan di tepi shawl atau bahagian belakang untuk menambah ‘volume’ di muka.

Bentuk muka bujur

Kredit : Hanis Zalikha

Sangat beruntung bagi wanita yang mempunyai bentuk muka yang bujur, senang sangat nak gayakan hijab! Boleh dikatakan, hampir kesemua gaya tudung sesuai untuk mereka yang berbentuk bujur ni. Malah bentuk bujur ini dianggap universal tau! Bentuk muka bujur ini panjang, menampakkan tulang pipi serta dagu yang lebih runcing. Jadi untuk memakai shawl anda bebas menggayakan apa-apa gaya. Shawl yang seakan melekat di dahi juga sangat cantik apabila digayakan kerana ia akan menampakkan feature muka yang sangat cantik. Gaya tudung bawal yang klasik, ataupun ikat di leher juga sesuai bagi mereka yang berwajah bujur.

Bentuk Muka Panjang  

Kredit : Bella Dally

Kalau anda perhatikan betul-betul, bentuk muka panjang ada bezanya dengan bentuk muka bujur. Jika bentuk muka bujur anda akan lihat kelebaran pipi sedikit lebih jelas berbanding bentuk muka panjang serta dahi lebih luas berbanding bentuk muka bujur. Malah apa yang seronoknya gaya shawl yang boleh wanita bentuk muka panjang juga sangat mudah dan hampir kesemua gaya mereka boleh gayakan dengan cantik! Apa yang anda harus ambil kira adalah lipatan shawl pada bahagian dahi, lebih sesuai jika anda melipat  lipatan ‘v’ supaya menampakkan bentuk muka lebih simetri dan seimbang. Jangan bawa tudung anda lebih kedepan dan menutup pipi dan dahi, kerana ia akan membuatkan pipi anda lebih kurus.

Bentuk muka petak


Kredit : Wawa Zainal

Bagi mereka yang mempunyai muka petak atau 4 segi, rahang mereka mereka lebih obvious dan garis rambut juga kelihatan petak. Apabila anda mempuyai muka empat segi, akan cenderung kelihata garang kerana rahang yang tajam. Oleh itu, untuk anda melembutkan wajah anda, boleh pinkan shawl sebelah sahaja di bahagian tepi pipi, kemudian sebelah lagi biarkan loose sahaja. Sekaligus ia akan nampak lebih lembut,walaupun dengan menampakkan jawline sedikit. Selain itu, anda boleh fokus kepada warna yang lembut berbanding warna yang gelap jika ingin kelihatan lebih feminin, atau pun memakai warna yang gelap jika ingin kelihatan garang dan bold.

Walaupun diberi panduan seperti di atas, ianya bergantung pada keinginan dan keselesaan seseorang. Bukanlah suruh anda semua ikut bulat-bulat! Jika anda berasa tidak sesuai dengan gaya yang dicadangkan dia atas, cuba gaya lain pula. Apabila anda sudah berasa yakin dengan gaya yang dipakai, walaupun khas untuk bentuk muka lain juga, apa salahnya! Keyakinan anda paling penting apabila anda gayakan sesuatu yang baru, terutamanya pada pagi raya nanti, Selamat mencuba!

Lihat profil
Aida Kamalia

140 artikel di Tajria.