Apakah Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Balik Kampung?
Kini musim cuti sekolah telah tiba, jadi pasti ramai yang sudah mula bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Bagi memastikan rumah anda berada dalam keadaan yang selamat untuk di tinggalkan untuk jangka masa yang lama, terdapat beberapa panduan yang anda boleh ikuti sebelum pulang.
Periksa keadaan rumah
Pastikan anda periksa seluruh kawasan sekitar rumah anda. Pertama, anda dinasihatkan untuk menterbalikkan pasu atau bekas yang tidak digunakan jika rumah anda mempunyai kawasan bunga-bungaan dan tanam-tanaman. Hal ini adalah bagi mengelakkan nyamuk bertelur di kawasan takungan air. Kedua, pastikan anda periksa mana-mana kawasan rumah yang bocor atau berlubang. Ia dikhuatiri jika berlaku hujan lebat dan angin kuat, ia akan menjejaskan kondisi rumah anda. Selain itu, tutup mana-mana jalan atau laluan yang membolehkan orang luar untuk memasuki rumah anda.
Buang segala makanan yang telah lama
Kosongkan peti sejuk dan almari bekalan di rumah anda. Kosongkan di sini bukan bermaksud anda perlu membuang segala makanan dan minuman di peti, kosong di sini bermaksud mana-mana makanan dan minuman yang telah lama dan telah hampir dengan tarikh luput perlu dibuang sebelum anda pulang ke kampung. Ia bertujuan bagi mengelakkan rumah anda berbau busuk dan dalam keadaan yang tidak menyenangkan.
Cuci pakaian kotor
Apabila anda pulang ke kampung, adalah lebih baik jika anda basuh dahulu semua baju kotor di rumah. Elakkan menangguh Sekiranya ia tidak dibersihkan, pakaian itu pasti akan berbau busuk di tambah lagi dengan pakaian yang kotor yang dipakai ketika di kampung halaman.
Periksa plug sambungan dan perkakas elektrik
Sebelum bercuti panjang, seeloknya buka kepala tong gas. Hal ini dapat mengelakkan dari berlakunya kebakaran yang tidak diingini. Paling penting, jangan biarkan injap gas terbuka. Pastikan sebelum balik kampung kita sudahpun memeriksa semua plug dan pastikan cabut plug dari soketnya.
Simpan barang berharga di tempat selamat
Bagi anda yang ingin tinggalkan barang-barang di rumah, pastikan anda menyimpannya di tempat selamat atau di dalam peti keselamatan di rumah. Jangan biarkannya terdedah di kawasan-kawasan terbuka.
Kunci pintu dan tingkap
Periksa semua tingkap, pintu rumah, pintu bilik dan pintu pagar rumah anda. Ambil inisiatif untuk pastikan semua kunci masih berfungsi dengan baik. Jika ada pengawal keselamatan sekali pun anda tidak boleh leka dan terlalu bergantung kepada mereka. Jika anda memasang alat keselamatan seperti siren dan kamera litar tertutup, pastikan ia mempunyai bekalan kuasa yang cukup untuk berfungsi.
__________________________________________________________________________________
Kesimpulannya, keselamatan keadaan dan kawasan rumah amat penting jika anda tidak berada di rumah untuk satu tempoh yang lama. Tidak kira sama ada beraya atau anda pergi bercuti, pastikan rumah anda berada dalam keadaan yang baik. Jadi, untuk anda yang sudah mula mengemas segala kelengkapan untuk pulang ke kampung, jangan lupa ikuti tips pulang ke kampung bersama Tajria. Semoga dengan perkongsian tips dan panduan ini dapat membantu melancarkan perjalanan beraya anda!