Amalkan Memandu Dengan Berhemah Ketika Pulang Ke Kampung Sempena Hari Raya Aidilfitri Ini
Masanya sudah tiba, bulan Ramadhan mulai pergi meninggalkan kita dan sedar tak sedar minggu hadapan sahaja umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri! Apabila tiba sahaja hampir kesemua stesyen radio memainkan lagu raya semasa anda memandu, ini bermakna kita sudah pun menghampiri perayaan ini yang hanya disambut setahun sekali. Moga-moga Ramadhan kali ini bukan menjadi Ramadhan terakhir kita ya!
Sebelum anda semua bersuka-ria untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga tersayang nanti, jangan lupa periksa kereta anda dan pastikan ia dalam keadaan yang baik sebelum anda mulakan perjalanan pulang ke kampung. Seperti anda sedia maklum, ketika musim perayaan ini banyak terjadi kemalangan jalan raya oleh kerana orang ramai berpusu-pusu ingin pulang ke kampung. Ditambah pula dengan sikap pemandu yang mementingkan diri dengan memandu secara bahaya dan akhirnya memakan diri. Jika anda memandu dengan berhati-hati, pasti jumlah kemalangan yang berlaku semasa perayaan nanti dapat dikurangkan, kan?
Oleh itu, mari kita berubah menjadi pemandu yang lebih berhemah semasa memandu, ikuti tips ini!
Rancang perjalanan anda
Sebelum anda mulakan perjalanan pulang ke kampung rancang terlebih dahulu untuk memastikan perjalanan yang lancar. Cari waktu terbaik untuk anda keluar dari rumah dengan bantuan aplikasi Waze, atau pun lihat sahaja trafik siaran langsung dari PLUS melalui Twitter rasmi mereka. Jika anda pulang bersama pasangan atau pun rakan, bincang siapa yang akan menjadi pemandu pertama dan kedua sepanjang perjalanan nanti jika jarak perjalanan anda jauh. Selain itu, rancang juga kawasan rehat mana yang akan anda berhenti nanti, dan lihat jika RnR itu mempunyai stesyen minyak untuk mengisi semula minyak kereta anda.
Elakkan guna lorong memotong
Semasa anda memandu di jalan raya nanti, elakkan menggunakan lorong memotong. Jika anda lihat sebelum ini, kebanyakan kemalangan jalan raya yang berlaku banyak berlaku di lorong memotong. Ini kerana pemandu di lorong memotong lebih cenderung memandu dengan had kelajuan yang sangat tinggi. Malah ada juga pemandu yang pentingkan diri dengan sengaja menghampiri belakang kereta anda supaya dapat memberi laluan kepada mereka. Untuk mengelak daripada pemandu lain yang memandu dengan cara tidak selamat, lebih baik anda menggunakan lorong pertama, kedua atau ketiga supaya anda dapat memandu dengan selesa dan selamat.
Gunakan lampu isyarat kereta
Selain itu, jangan memandang remeh penggunaan lampu isyarat ini semasa ada memandu lebih-lebih lagi di musim perayaan ini. Jika anda ingin menukar lorong, gunakan lampu isyarat untuk memberi isyarat kepada pemandu lain di bahagian belakang anda. Untuk pengetahuan anda, tidak menggunakan lampu isyarat juga merupakan faktor kemalangan yang serius. Ini terjadi kerana apabila anda menukar lorong dan tidak menyalakan lampu isyarat kerana yakin tiada kereta di belakang anda, namun sebenarnya anda tidak tahu jika terdapat kenderaan lain di sekitar blind spot anda. Oleh itu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, gunakan lampu isyarat semasa memandu bukan sahaja pada musim perayaan ini, malah pada setiap masa!
Jangan guna telefon bimbit
Ini lagi satu masalah yang sering berlaku semasa memandu iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, terutamanya di kalangan anak-anak muda! Ada yang memberi alasan untuk melihat Waze atau Google Maps semasa memandu, tetapi alangkah baiknya jika anda meletakkan telefon anda pada pemegang telefon. Anda boleh beli pemegang telefon atau phone holder ini di kedai aksesori telefon, harganya juga tidak mahal. Penggunaan telefon bimbit semasa memandu ini sedikit sebanyak menarik perhatian anda, seterusnya membuatkan anda lari fokus dan kecuaian mungkin akan berlaku.
Peka dengan sekeliling
Semasa anda memandu, latih diri untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Bukan sahaja anda fokus pada kereta depan sahaja, tetapi lihat juga keadaan trafik di di hadapan kereta depan anda. Maksudnya disini, semasa memandu di jalan raya fokus pada jarak jauh serta blind spot kereta anda supaya dapat bersedia dengan lebih awal. Selain itu, jika cuaca tidak baik seperti hujan yang sangat lebat, memandulah dengan perlahan dan lebih berhati-hati kerana jalan raya akan jadi lebih licin. Atau pun, berhenti sebentar di RnR sehingga hujan reda, sambil-sambil itu boleh juga anda hirup kopi panas sebelum mulakan perjalanan!
Berhenti jika mengantuk
Jika anda berasa ngantuk semasa memandu, berhenti dahulu di kawasan rehat terdekat terutamanya jika anda memandu jarak jauh. Bukan sahaja bagi sesiapa yang memandu pada waktu malam, tetapi buat sesiapa yang memandu pada waktu siang. Ini untuk mengelakkan anda daripada ‘micro sleep’ ketika memandu. Ini terjadi kerana badan anda terlalu letih dan otak seperti shut down. Micro sleep boleh berlaku selama 1 saat hingga 30 saat, dimana anda tidak akan sedar langsung walaupun ketika memandu. Apabila micro sleep sudah terjadi, besar kemungkinan kemalangan bakal terjadi.
Oleh itu, jika anda berasa badan tidak mampu, jangan paksa diri, segera berhenti dan rehat sebentar. Juga nak ingatkan disini, jika anda ingin tidur bermalam di RnR, jangan lupa buka tingkap sedikit untuk membolehkan udara keluar masuk ya!
Kesimpulannya, pandulah dengan berhemah semasa anda pulang ke kampung nanti. Ingatlah orang tersayang, ibu bapa anda yang menunggu kehadiran anda di kampung menanti dengan sabar ketibaan anak dan cucu mereka. Sebelum itu, jangan lupa periksa keadaan kenderaan anda, lebih baik servis terlebih dahulu sebelum anda pulang ke kampung! Dengan harapan jika anda memandu dengan selamat, statistik kemalangan jalan raya menurun untuk tahun 2019 ini. Perubahan bermula dari diri anda sendiri, selamat memandu dan semoga sampai ke destinasi dengan selamat!