Ikuti Tips Ini Untuk Hias Bilik Tidur Dengan Ruang Terhad
Memiliki ruang tidur yang kecil bukan menjadi penghalang untuk anda menghias bilik tidur. Apa yang anda perlukan adalah sedikit carian melalui Internet, serta kretiviti. Menjelang raya tak lama lagi ini, pasti ada antara anda semua mempunyai hasrat untuk menukar imej dan wajah baru kepada bilik tidur kan? Bukan sahaja ruang tamu yang cantik dan kemas ketika tetamu berkunjung ke rumah, tetapi bilik tidur juga memberi peranan. Iyalah, kadangkala tetamu datang menumpang bilik tidur anda untuk solat. Jika bilik tidur anda cantik dan sedap mata memandang, pasti mereka akan lebih rasa senang!
Tetapi sebenarnya, tujuan utama menghias bilik tidur ini adalah untuk kepuasan sendiri. Selepas seharian penat bekerja atau pun pulang dari universiti, pulang ke rumah pasti anda akan terus menuju ke bilik. Bilik yang cantik ini sedikit sebanyak dapat memberikan anda tidur yang lena, jadi tak salah untuk anda melaburkan sedikit duit untuk bilik anda. Tetapi bagaimana pula jika bilik tidur anda kecil? Jangan risau, kali ini kita lihat tips dekorasi bilik tidur yang kecil dan sempit!
Penggunaan warna
Untuk menampakkan ruang bilik tidur yang terhad nampak luas, cuba anda pilih warna yang lembut sebagai contoh, warna pastel. Warna lembut ini akan memberi impak ruang bilik anda lebih luas. Anda boleh pilih warna pastel seperti merah jambu lembut, ungu lembut, warna peach dan banyak lagi. Apa yang pasti, warna-warna ini sangat digilai wanita dan anak perempuan kecil. Warna yang lembut ini juga dapat membuatkan mood anda lebih ceria dan relaks tau!
Susunan katil dan perabot
Apabila ruang bilik tidur anda terhad, apa yang harus diberi perhatian adalah perabot di dalam bilik. Cuba anda kurangkan perabot seperti almari yang terlalu besar, meja lampu dan sebagainya. Jika masih ingin letakkan perabot ini, haruslah pilih saiz yang bersesuaian supaya tidak nampak terlalu penuh di dalam bilik. Selain itu, susan perabot anda juga memainkan peranan yang penting tau. Ia akan memberi impak kepada ruang bilik, sebagai contoh katil tidur anda hedaklah diletakkan di penjuru bilik, dan bukan di tengah bilik. Ia akan nampak lebih kemas dan luas.
Gunakan cermin
Tidak kurang juga penggunaan cermin ini sangat membantu bagi menampakkan bilik tidur anda luas. Kenapa? Cermin dapat memberi ilusi ruang bilik anda lebih besar. Lebih-lebih lagi apabila anda meletakkan cermin berhadapan dengan cahaya tingkap, cubalah! Cermin yang sesuai pula, cari cermin yang tinggi menyerupai tinggi anda atau kurang. Nak lagi stylish? Lekatkan cermin anda di dinding untuk menjimatkan ruang bilik tidur, sangat cantik!
Pasang wallpaper dinding
Siapa kata ruang bilik yang kecil tidak sesuai mempunyai wallpaper bercorak? Salah tanggapan ini, anda boleh gunakan wallpaper bercorak di dalam bilik kecil anda. Tetapi ada caranya! Jika bilik tidur anda mempunyai 4 bahagian dinding, lekatkan wallpaper bercorak pada satu bahagian sahaja. Ini untuk mengelakkan bilik menjadi suram apabila anda melekatkan wallpaper di seluruh dinding bilik tidur anda. Selain itu, cari corak wallpaper secara menegak untuk memberi ilusi bilik yang lebih tinggi dan luas.
Banyak barang? Simpan bawah katil
Bagaimana dengan barang peribadi anda? Mungkin ada yang ingin menyimpan bermacam-macam buku di dalam bilik namun ia akan nampak bilik anda lebih semak. Salah satu cara untuk menyelesaikan masalah ini. Anda boleh menyimpan kesemua buku anda di dalam storan bawah katil. Ya, katil! Cari sahaja katil yang mempunyai storan di bawah katil seperti laci yang membolehkan anda meletakkan barang peribadi. Sedikit sebanyak anda boleh menyimpan buku belajar, files, malah kasut kesayangan anda!
Tidak susah sebenarnya untuk menghias bilik tidur yang kecil. Terhadkan barang di dalam bilik dan ikuti kesemua tips di atas untuk memberikan ilusi bilik tidur yang luas. Malah jika ada inginkan inspirasi bilik tidur, pergi sahaja di Pinterest serta bilik pameran Ikea. Mungkin semasa anda mencari inspirasi di bilik pameran Ikea, ada yang berkenan di hati?
Selamat mencuba!