Ibu-bapa Di Luar Sana, Pesan Kepada Anak Untuk Jaga Adab Semasa Beraya
Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tak lama lagi ini, sudah pasti group Whatsapp anda semua dah pun berbunyi tak henti-henti kan? Lagi-lagi group adik-beradik, group keluarga mertua dan banyak lagi lah! Maklumla sorang mengimbau kenangan raya dua tahun lepas, sorang lagi sudah sibuk marah siapa yang akan menolong kemas rumah kampung nanti. Sudah terbayang-bayang kemeriahan waktu hari raya nanti, nikmatnya berkumpul bersama adik-beradik. Terutamanya bagi mereka yang duduk jauh, memang hanya jumpa pada waktu raya sahaja!
Tetapi sebelum tu, sudahkah ibu-bapa semua memesan pada anak anda adab semasa beraya nanti? Pada waktu raya nanti pasti anda akan berkunjung ke rumah saudara mara, jiran tetangga dan kawan rapat. Tidak dilupakan jemputan rumah terbuka pada tiap-tiap minggu. Kadangkala anak akan buat perangai, ada yang sampai mengamuk di rumah orang lain. Yang menanggung malu pastilah ibu-bapa anak itu sendiri, sudah lama tak berjumpa tetapi anak buat perangai mengamuk pula!
Kalau anda marah dan tengking pada waktu itu, pasti anak akan lebih memberontak. Jadi lebih baik sebelum anda pulang ke kampung, pesan kepada anak-anak anda dengan baik apa yang perlu mereka jaga. Jom tengok di bawah!
Beratur ambil duit raya banyak kali
Pesan ke anak jangan pula mereka ambil duit raya banyak kali, habis duit tuan rumah! Takkan tuan rumah nak tolak permintaan mereka apabila anak anda sudah beratur lagi dan kemudian merengek mahukan duit raya untuk kali kedua. Memang tuan rumah akan bagi, tetapi nama anda akan lekatlah dalam kepala, silap-silap tahun depan anda dilarang beraya di rumah itu pula. Apabila anak anda dapat sahaja duit raya, pimpin anak anda dan segera masuk ke kereta.
Berkejar-kejaran dalam rumah
Pesanan ini sangat penting untuk anak anda terutama bagi mereka yang berumur 4-10 tahun. Lebih-lebih lagi jika bersama dengan kenalan anak atau saudara mereka. Boleh pula mereka main kejar-kejar dalam rumah serta memanjat sofa. Bukan sahaja bising dan merimaskan, malah mengundang bahaya tau! Cuba ketika berkejar-kejaran, ada yang terlanggar jug air atau pun kepala terkena bucu tingkap? Sudah menyusahkan tuan rumah pula. Oleh itu, pesan ke anak anda jangan bermain di dalam rumah, atau jika mahu sekalipun main sahaja di luar rumah. Kalau di rumah kampung, halaman rumah kan luas!
Sepahkan mainan anak tuan rumah
Selain itu, pesan kepada anak-anak anda jangan usik apa sahaja mainan kepunyaan tuan rumah. Biasalah apabila sudah berkunjung ke rumah orag lain, ibu-bapa sedang sibuk berborak dan anak pula sibuk menyelongkar barang. Tak manis kan? Lebih teruk lagi, apabila anak anda terjumpa pula mainan yang meambat hati mereka, malah ada yang menangis dan mengamuk kerana inginkan mainan itu. Sudah pasti tuan rumah akan beri sahaja mainan kepunyaan anak mereka kepada anak anda. Tetapi bagaimana pula perasaan anak mereka nanti? Oleh itu ingatkan kepada mereka jangan sentuh barang kepunyaan orang lain yang bukan hak anda.
Tukar siaran tv
Tambahan lagi, pesan kepada anak-anak anda jangan sibuk ingin menukar siaran televisyen tuan rumah. Mungkin ketika itu kita sedang makan di dapur atau di ruang tamu, anak anda pula mengawal skrin tv. Kalau duduk diam sahaja tak mengapa, tapi anak anda menukar siaran berulang kali. Sedikit sebanyak terbit rasa tidak senang hati di antara tetamu lain di rumah.
Jangan komen masakan tak sedap
Pesanan ini khas untuk anak yang ringan mulutnya. Apabila ramai-ramai ‘konvoi’ pergi beraya di rumah orang lain, pastilah tuan rumah akan hidangkan makanan kepada tetamu. Hidang pula rendang daging bersama lemang dan ketupat, jangan ditolak rezeki makanan! Akan tetapi anak anda terlebih bijak pula mengatakan makanan yang dihidang tak sedap, terlalu masin atau pun tawar! Sakit hati tuan rumah mendengarnya. Lebih baik semasa makan, duduk di tepi anak anda untuk mengawasi mereka.
Jadi macam mana ibu-bapa di luar sana? Bukan sahaja perlu membuat persiapan raya, tetapi bersiap sedia mental dan fizikal anda! Jangan risau, pesan selalu kepada anak-anak anda apa yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan semasa di rumah orang lain. Pesan ketika anda di rumah, ketika di kampung serta di dalam kereta sebelum masuk ke rumah saudara untuk beraya. Boleh juga anda beri ganjaran kepada mereka, jika berperangai baik di rumah orang lain, belikan aiskrim atau apa sahaja makanan kegemaran mereka. Tidak lupa juga, sertakan kata-kata pujian seperti ‘Bagusnya anak mama perangai elok dekat rumah orang’
Sebenarnya, anak-anak kecil ini lebih suka jika kita bercakap dengan baik, malah lebih bersemangat apabila kita memuji mereka. Jadi apa tunggu lagi, pesan segera kepada anak-anak anda ya!