Carian
Raikan Hari Raya Anda Bersama Google
May 28, 2019 Lina Rosli

Raikan Hari Raya Anda Bersama Google

Persiapan untuk raya sudah semestinya amat memenatkan. Masing-masing pasti mempunyai tugasan yang perlu dilaksanakan. Untuk kaum wanita, mereka pasti tidak menang tangan melakukan persiapan bersempena bulan Syawal yang mendatang. Dari juadah hari raya sehingga ke persalinan seisi keluarga. Manakala, kaum lelaki pula pasti sibuk merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.

Kalau kita lihat hari ini, segala maklumat dan idea boleh diakses di hujung jari. Termasuk segala kelengkapan dan barangan boleh didapatkan melalui laman atas talian di Internet. Oleh itu, Google turut tidak ketinggalan untuk berkongsi beberapa inisiatif seperti Google Shopping, Google Maps, Google Travels dan Google Duo dalam membantu memeriahkan Hari Raya anda dengan mudah. Ia bukan sahaja membantu anda ketika melakukan pembelian saat akhir, bahkan ia juga membantu anda mendapatkan maklumat trafik secara langsung.

Dapatkan Segala Keperluan Anda Menerusi Google Shopping

Pada saat-saat akhir ini, jika kita lihat orang ramai berpusu-pusu mencari segala barangan. Tidak kira di pusat membeli-belah atau di dataran, kita dapat lihat orang bersesak mendapatkan mana-mana barang masih tidak lengkap. Jadi, untuk memudahkan orang ramai membeli-belah, Google hadir dengan fungsi Google Shopping untuk anda yang tidak mahu berebut-rebut sewaktu membeli.

Menerusi fungsi ini, anda kini boleh membeli-belah secara atas talian dengan menggunakan komputer, tablet dan juga telefon bimbit. Kini, anda tidak lagi perlu beratur panjang untuk mendapatkan satu barang. Di Google Shopping, anda hanya perlu melakukan carian untuk produk-produk yang sesuai dengan kriteria anda. Setelah anda mempunyai barang yang dikehendaki, klik pada pautan yang disediakan dan layari laman peruncit untuk menebus tawaran tersebut.

Perjalanan Balik Raya Kini Lebih Lancar Dengan Google Maps

Menjelang raya kelak, orang ramai akan mula bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Setiap kali musim perayaan, pasti ramai yang akan mencari alternatif lain untuk mengelak dari laluan dengan arus trafik yang tinggi. Dengan adanya fungsi Maps, anda hanya perlu memasukkan destinasi anda dan seterusnya dapatkan maklumat trafik dan laluan baru. Bukan itu sahaja, anda juga dapat mengetahui jangka masa sampai serta tempoh masa kelewatan apabila anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Menerusi Google Maps, anda dapat menuju ke lokasi dengan mudah tanpa kerumitan kesesakan trafik pada musim perayaan.

Tempahan Hotel Dan Tiket Penerbangan Mudah Menerusi Google Travel

Untuk menentukan pilihan tempat menetap atau cara perjalanan yang terbaik, sememangnya amat memeningkan.Oleh itu, Google hadir dengan fungsi baru iaitu Google Travel, yang mana anda boleh mengakses Google Flights serta hadir dengan pelbagai pilihan hotel. Kini, anda tidak perlu risau lagi kerana Google Travel akan membantu anda menguruskan urusan penempahan hotel dan penerbangan, selain ia akan disertakan ke dalam sebuah garis masa perjalanan yang boleh disunting.

 

Rakam Mesej Secara Video Dengan Google Duo

Bagi anda yang berada jauh di perantauan atau anda mungkin perlu bekerja sewaktu musim perayaan, anda masih boleh kekal berhubung menggunakan Google Duo. Dengan Duo, anda boleh bersembang dengan rakan-rakan dari pelbagai tempat selain dapat menggunakan ciri panggilan berkumpulan sehingga lapan orang pada satu-satu masa. Duo juga boleh menyertakan mesej-mesej video yang boleh ditambah teks dan emoji, ataupun lukisan anda tersendiri dengan menggunakan berus tersedia ada. Anda juga dapat menghasilkan sebuah kad Raya yang anda mahu kongsi bersama sesiapa sahaja.

__________________________________________________________________________________________

Kita dapat lihat Google hadir dengan pelbagai inisiatif baru bagi memudahkan individu. Dengan aplikasi-aplikasi Google ini membantu anda agar anda dapat meluangkan lebih banyak masa menyambut keriangan musim perayaan ini bersama orang-orang yang tersayang. Bukan itu sahaja, sambutan perayaan anda kini lebih meriah tidak kira anda berada di dalam negara atau di perantauan.

Komen