Apakah perbezaan di antara susu ibu dan susu formula?
Kebiasaannya susu ibu boleh didapati selepas sesuatu tempoh kelahiran. Sementara, susu formula adalah susu yang pada umumnya diolah supaya sesuai untuk diminum oleh bayi. Terdapat pelbagai jenis susu formula yang ada di pasaran termasuk susu lembu, susu kambing, susu bebas laktosa, susu anti-refluks, susu soya dan susu hipoalergenik.
Untuk setiap jenis susu formula ini hadir dengan fungsi dan kesesuaian yang berbeza. Sebagai contoh, jika bayi yang mempunyai alahan kepada susu lembu, ibu bapa boleh menukar kepada susu formula soya atau mana-mana susu formula lain yang sesuai. Namun, pengambilan susu formula ini adalah tertakluk kepada pengawasan doktor dan mengikut kesesuaian umur bayi. Jadi, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar sebelum anda membeli susu formula di pasar raya.
Berbeza dengan susu formula, susu ibu mengandungi khasiat yang lebih semulajadi yang membantu memberikan kadar imunisasi yang tinggi selain mengandungi antibodi untuk bayi atau anak. Fungsi antibodi ini adalah untuk menghalang jangkitan bakteria dan kuman terkena pada bayi. Bukan itu sahaja, susu ibu juga membantu tumbesaran anak, mengandungi kalori yang cukup untuk perkembangan bayi serta hadir dengan enzim dan bakteria baik untuk pencernaan bayi.
Bagaimana susu ibu dihasilkan? Ia terhasil berdasarkan hormon-hormon yang hadir seperti prolaktin dan oksitoksin. Dengan kehadiran hormon prolaktin, ia merangsang kelenjar susu untuk penghasilan susu oleh ibu. Manakala, untuk hormon oksitoksin pula, ia berfungsi sebagai mekanisma yang akan menegangkan otot halus yang berada disekitar alveoli. Alveoli berfungsi untuk memudahkan bayi dalam memeras susu melalui hisapan, karena alveoli dapat melancarkan proses susuan untuk bayi.
Mengapa susu ibu hanya ada selepas bersalin sahaja? Hal ini disebabkan oleh hormon progesteron dan estrogen yang dihasilkan oleh plasenta menghalang prolaktin untuk bekerja. Jadi selepas bersalin atau plasenta dikeluarkan, hormon prolaktin ini akan meningkat dan sebaliknya hormon untuk progesteron dan estrogen pula yang akan menurun. Manakala, untuk susu formula, terdapat beberapa kebaikan yang boleh didapati menerusinya termasuk ia mengandungi vitamin dan mineral yang baik untuk si anak atau bayi. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa kandungan yang turut diselitkan di dalam susu formula tersebut.