Ikuti Tips Mudah Ini Untuk Membersihkan Sinki Dan Pinggan Kotor Di Dapur
Tugas membasuh pinggan ini kebiasaanya adalah tugas wanita. Ia seperti sudah sinonim dengan budaya masyarakat di Malaysia. Jika ada majlis makan atau orang datang rumah, pasti kaum ibu dan anak-anak dara yang akan ramai duduk di dapur serta membersihkan pinggan-pinggan kotor yang banyak di sinki. Selepas selesai membasuh pinggan, beralih untuk membersihkan sinki pula. Jadi, hari ini Tajria ingin berkongsi bersama anda mengenai tips-tips menarik yang mungkin dapat membantu memudahkan anda melakukan aktiviti membasuh dan membersih pada masa kelak.
Membersihkan Kotoran Pada Sinki
Untuk sinki, anda perlu kerap membersihkannya sama ada setiap kali selepas guna atau dua kali seminggu agar ia tahan lama. Anda boleh membersihkannya dengan menggunakan air atau sabun pencuci khas sinki. Dengan ini, ia akan mengekalkan kondisi sinki agar ia kekal berkilat dan baru setiap hari.
Untuk proses pembersihan yang lebih pantas, anda boleh merendam sinki bersama-sama dengan air cucian untuk cawan, mangkuk dan pinggan yang telah digunakan sebelum ini dan gosok kesemua kotoran. Kemudian, bilas dengan air dan lapkan dengan kain lembut. Elakkan menggunakan berus keluli atau span kasar di sinki.
Untuk kotoran yang degil, lapiskan bahagian sinki yang kotor dengan tuala kertas yang direndam dalam cuka putih dan biarkan ia selama beberapa minit. Apabila sudah kering, buang tuala kertas tersebut dan bilas sinki dengan air biasa.
Membersihkan Pinggan Mangkuk:
Untuk membersihkan pinggan yang bertimbun, terdapat beberapa teknik yang anda boleh praktikkan. Pertama sekali, asingkan perkakas mengikut kategori iaitu pinggan, mangkuk, cawan dan sudu. Kemudian, basuh perkakas yang mempunyai kotoran paling minimal seperti sudu atau cawan. Dan selepas itu diikuti oleh piring, pinggan, mangkuk dan akhir sekali kuali.
Anda boleh menggunakan berus kecil atau berus gigi lama (terpakai) dan celupkannya ke dalam air sabun yang panas. Kemudian, sental bahagian pinggan atau mangkuk yang berdaki selain berus bahagian pinggan yang sukar untuk dibersihkan. Anda juga boleh menggunakan span lembut yang direndam di air sabun yang suam bagi menghilangkan kesan kotoran pada bahagian mangkuk yang berukir atau bercorak.
Letakkan pembersih pinggan mangkuk di dalam satu bekas, lalu masukkan cuka putih ke dalam bekas tersebut. Gunakan air panas dan alirkannya pada pinggan atau mangkuk bagi membersihkan kotoran minyak degil dan menghilangkan bau busuk pada perkakas.
Selain cuka dan sabun basuh pinggan biasa, serbuk soda penaik juga sangat berkesan dalam membersihkan dan menyegarkan basuhan pinggan mangkuk anda. Hanya dengan percikan kecil, ia mampu menghilangkan kotoran dengan mudah.
__________________________________________________________________________________________
Terdapat pelbagai cara dan teknik yang boleh anda gunakan sewaktu proses pembersihan. Tempoh cepat atau lambat sesuatu aktiviti itu adalah bergantung kepada cara anda menguruskannya pada awalnya. Jadi, dengan tips ini, di harap ia dapat membantu anda menguruskan kelengkapan pinggan dan mangkuk dengan cepat dan mudah pada musim raya kelak. Selamat mencuba!