Kebaikan Menanam Sayur Dengan Cara Hidroponik
Bercucuk tanam menggunakan kaedah hidroponik ini sudah tidak asing lagi. Seperti namanya ‘hidro’, kaedah ini hanya menggunakan air dan tidak menggunakan tanah untuk sayur hidup dengan baik! Seronok kan. Bahan diperlukan hanya air, baja dan bekas hidroponik. Sangat sesuai untuk anda jadikan hobi terutamanya yang mempunyai ruang tanah yang terhad. Terdapat banyak jenis sayur yang anda boleh tanam dengan teknik hidroponik ni. Antaranya adalah sayur kailan, pak choy, salad, bayam dan banyak lagi! Apa kebaikan menanam dengan kaedah hidroponik ni? Jom tengok!
Sumber : Fiza Facebook
Tidak kotor
Dengan kaedah hidroponik yang tidak menggunakan tanah ni, jadi anda jangan risau tentang debu atau pasir yang kotor. Malah kesemua sayur pun boleh dimakan tanpa rasa ragu-ragu termasuk akar sayur kerana ia tidak menyentuh pasir dan tanah langsung.
Tak perlu siram air
Dengan teknik ini, anda tak perlu lagi siram pokok tanaman kerana ia sudah mempunyai air didalamnya. Mudah kan! Jimat masa dan tenaga, kalau tanam menggunakan tanah korang kena siram pagi dan petang kan. Sangat memudahkan urusan harian lebih-lebih lagi untuk anda yang mempunyai masa yang terhad disebabkan kesibukan kerja.
Lebih nutrisi
Menariknya teknik hidroponik ini, air dan baja dapat menyerap dengan lebih sempurna oleh sayur. Ini kerana baja yang diletakkan tidak mengalami larut resap dimana dapat mengelakkan pembaziran baja, sayur yang ditanam juga tidak perlu bersaing dengan pokok liar lain. Maka, sayur yang ditanam itu mendapat nutrisi sepenuhnya.
Tak perlu ramai tenaga kerja
Kerana penjagaan sayur menggunakan kaedah hidroponik ini mudah, ia tidak perlu menggunakan tenaga kerja yang banyak. Seorang diri juga boleh mengendalikan tanaman dalam kuantiti yang banyak disebabkan proses penjagaan yang mudah. Malah, jika menggunakan kaedah ini, ia hanya memerlukan ruang yang sedikit sahaja. Sedikit sebanyak dapat menjimatkan tenaga seseorang.
Mesra alam sekitar
Selain itu, kaedah ini juga mesra alam sekitar dimana ia tidak menggunakan racun serangga yang berbahaya. Malah ia juga tidak menyumbang kepada pencemaran bau seperti bau najis dan sebagainya.
Lepas dah baca kebaikan di atas, pasti anda terasa nak bercucuk tanam tak? Terutamanya untuk suri rumah, dapatlah memenuhi masa terluang malah hasil tanaman juga boleh dijual! Setelah seharian penat menguruskan anak dan suami, tengok pula sayur yang ditanam tu sihat dan gemuk, pasti terubat semua keletihan kan. Jangan lupa banyakkan membaca dahulu sebelum memulakan tanaman hidroponik ini. Selamat berjaya!