Ketahui Fakta Menarik Mengenai Juadah Tradisional Yang Popular Di Malaysia

Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019, pelbagai cabaran dan kempen yang telah dianjurkan oleh TikTok Malaysia. Antara cabaran yang disediakan termasuk #FesyenRaya2019, #BalikKampung2019, #PowerPuasPuas dan juga #JuadahRaya2019. Bercakap mengenai juadah raya, pasti ramai di kalangan anda yang sudah menikmati juadah raya yang dihidangkan di setiap rumah sepanjang minggu lepas. Jika kita lihat, pelbagai hidangan dan juadah tradisional yang disajikan mengikut selera masing-masing. Untuk saya sendiri, terdapat beberapa hidangan wajib yang saya nantikan ketika hari raya ini termasuk menu rendang, sambal kacang dan ketupat. Bagaimana pula dengan anda?

Namun, tahukah anda bahawa setiap menu ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri? Dan bagaimana pula setiap hidangan ini disediakan? Oleh itu, TikTok Malaysia hadir dalam menerangkan kepada anda mengenai asal-usul juadah tradisional yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia.

TikTok: Sate

1. Sate

Menu raya pertama yang saya ingin kongsikan adalah Sate. Sate merupakan satu juadah yang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya di negeri bahagian selatan. Makanan ini disediakan menggunakan bara api arang kayu. Setiap kepingan daging tidak kira lembu atau ayam akan dibakar dan di atas api sehingga masak. Juadah ini pada asalnya dicipta di Kepulauan Jawa oleh pedagang sekitar abad ke-19. Di Malaysia, daerah yang sangat sinonim dengan juadah sate ini adalah Kajang yang dipopularkan oleh Haji Samuri. Berbeza dengan sate yang lain, Sate Haji Samuri ini disediakan bersama kuah kacang dan sambal lada dengan resepi tersendiri. Bukan itu sahaja, hidangan ini juga boleh dinikmati bersama-sama nasi impit, timun dan bawang.

2. Lemang

TikTok: Lemang

Seterusnya, lemang juga merupakan salah satu hidangan raya yang sangat popular di Malaysia. Terdapat pelbagai jenis lemang yang anda boleh dapatkan termasuk lemang jagung, lemang tepung dan lemang pulut hitam. Antara tempat yang sering menjadi tumpuan untuk membeli lemang adalah di Kijal, Terengganu yang menempatkan pelbagai jenis lemang di sepanjang jalan. Kebiasaannya, lemang ini disediakan menggunakan beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam buluh dan seterusnya dibakar sehingga masak. 

Penciptaan menu lemang ini bermula ketika zaman Kepulauan Melayu pada abad ke-16, yang mana hidangan ini dinikmati oleh kaum orang asli Semang, Semai dan di sekitar Negeri Sembilan dikalangan orang asli Temuan dan Melayu Minangkabau. Selain itu, hidangan ini juga turut dinikmati oleh kaum Dayak di Sarawak. Namun, cara penyediaannya sedikit berbeza yang mana mereka menggantikan beras pulut kepada ayam.

3. Rendang

TikTok: Rendang

Tidak kira daging atau ayam, rendang sememangnya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Juadah ini berasal dari daerah Padang melalui masyarakat Minangkabau yang menggunakan rendang sebagai makanan ketika merantau, kerana ia dapat bertahan berminggu-minggu jika dimasak sehingga kering minyak. Malah, menurut Hikayat Amir Hamzah iaitu catatan klasik Melayu, hidangan ini dikatakan sudah wujud dari abad ke-16 lagi. 

Sebutan ‘rendang’ yang kita kenali pula berasal dari perkataan Indonesia ‘merandang’ atau ‘randang’, yang bermaksud “perlahan”, mencerminkan  proses masakan yang mengambil masa lama. Di Malaysia, terdapat pelbagai variasi rendang mengikut gaya masak berlainan negeri. Sebagai contoh, Rendang Minang amat popular dikalangan masyarakat Negeri Sembilan yang mana rasanya lebih pedas berbanding rendang lain, sementara Rendang Tok pula dimasak sehingga kering dan berwarna sedikit gelap.

TikTok: Roti Jala

4. Roti Jala

Hidangan ini merupakan hidangan pilihan kebanyakkan rakyat di Malaysia. Roti Jala, Roti Kirai atau Roti Renjis ini dicipta oleh masyarakat nelayan Melayu yang mana ia diinspirasikan oleh jala ikan dan pedagang India. Pada asalnya adunan tepung hanya perlu direnjiskan ke atas kuali dengan menyebarkan pergelangan tangan – atau secara kirai. Di Malaysia, Roti Jala ini cukup terkenal dikalangan masyarat Melayu Riau di Johor. Hidangan ini biasanya dipadankan dengan kuah kari. Namun, bagi anda yang menginginkan kelainan, Roti Jala ini juga boleh dimakan dengan hidangan kuah yang lain seperti serawa durian, sos coklat, dan kuah sambal.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui sejarah dan fakta menarik mengenai juadah atau hidangan tradisional masyarakat Malaysia, anda boleh menonton lebih banyak video-video lain di aplikasi rasmi TikTok. Di samping itu, TikTok turut menyediakan pelbagai kempen bersempena Hari Raya ini melalui #TikTokRaya2019 yang mana setiap minggu TikTok akan melancarkan cabaran dengan pelbagai tema seperti #RayaDahDekat, #FesyenRaya2019, #BalikKampung2019 dan semestinya #JuadahRaya2019. Bukan itu sahaja, anda juga boleh merakam dan berkongsi pengalaman dan cara penyediaan juadah dengan gaya tersendiri melalui akaun TikTok peribadi anda. Daftar dan terokai ciri dan fungsi menarik dalam platform TikTok hari ini! Selamat mencuba:)