Ibu-Bapa, Rendahkan Ego Dan Minta Maaf Pada Anak Jika Ada Silap
Dalam banyak-banyak perkara yang dilakukan semasa menjadi ibu-bapa, memikul tanggungjawab besar diberikan oleh Allah untuk membesarkan anak, saya percaya meminta maaf kepada anak merupakan perkara yang sangat sukar, terutamanya jika tidak dipraktik dari awal lagi. Memang diakui, sebagai seorang insan biasa, kita memang tidak pernah lepas membuat silap, malah kesilapan itu juga mungkin akan berulang pada masa akan datang. Apabila kita sudah menyakiti hati seseorang, atau pun dengan tidak sengaja membuat seseorang terasa hati, lebih baik kita mengatur langkah untuk bermaaf-maafan. Ya, sama juga dengan anak sendiri, tidak kira anak anda masih kecil atau sudah pun meningkat dewasa, rendahkan ego anda untuk meminta maaf sekiranya anda menyakiti hati anak. Cuma apa yang berbeza, pendekatan ke anak yang kecil untuk meminta maaf agak berbeza dengan anak yang besar.
Benarkah ada yang berpendapat, ibu-bapa tidak patut meminta maaf pada anak? Jika anda masih lagi berpendirian sebegini, sedikit sebanyak ia akan mengganggu mental anak anda dalam jangka masa panjang, malah akan membuat anak berasa tidak penting, seolah-olah dirinya tiada hak untuk bersuara. Lama-kelamaan, anak anda akan meningkat dewasa, terbit rasa tidak senang dalam hati kemudian menjauhkan diri daripada anda. Inikah yang anda mahu?
Perkataan ‘maaf’ lebih mudah disebut, tetapi tidak mudah untuk melakukannya sendiri. Namun, sebagai ibu-bapa yang inginkan terbaik untuk anak mereka, rendahkanlah ego dan cuba untuk berdamai. Mari kita lihat dibawah cara terbaik untuk meminta maaf pada anak.
Ambil masa anda
Ya, ini perkara pertama yang anda harus lakukan sebaik sahaja tercetus perselisihan faham antara anak. Ambil masa anda secukupnya, pergi ke tempat yang sunyi tanpa ada gangguan suara. Muhasabah diri anda, tenangkan diri. Apa yang menyebabkan perkara ini terjadi? Dari mana puncanya? Saya tau dan saya mengerti, mencari kesalahan sendiri sangat sukar, Ada juga yang mengetahui apa salah mereka, namun diendahkan kerana tidak dapat menerima kenyataan itu. Tujukan pelbagai soalan pada diri, dan lihat dari mana punca perselisihan faham ini. Namun harus diingatkan, anda haruslah mempunyai jiwa yang tenang, minda dan perasaan yang stabil supaya tidak terbawa-bawa amarah dek perselisihan faham ini. Sebaiknya, tunggulah beberapa jam untuk meredakan amarah ini,
Mengaku salah
Seterusnya, jika anda sudah pun muhasabah diri, langkah seterusnya adalah mencari masa untuk berbincang bersama anak anda dan paling penting, mengaku salah anda. Ya, memang sukar untuk mengucapkan perkataan ini, ia seperti diri dipukul bahkan terlihat air muka anda jatuh. Tidak, meminta maaf tidak bermaksud anda kalah atau pun nampak diri anda tidak bermaruah. Sematkan dalam hati, mintalah maaf dengan ikhlas. Walaupun tidak semuanya salah anda, rendahkan ego anda wahai Ibu dan Ayah.
Cakap dengan tenang
Semasa anda berbincang bersama anak anda, penggunaan bahasa serta intonasi suara juga memainkan peranan yang sangat penting. Gunalah bahasa yang lembut, seakan memujuk anak anda. Jangan tinggikan suara anda ketika berbincang dan pastikan suasana ketika ini tenang dan damai tanpa ada gangguan suara. Berterus-teranglah pada anak anda dan minta maaf atas sikap anda yang mungkin terlepas kata, terpukul, atau apa sahaja yang menyakiti anak. Tidak lupa juga semasa anda berbincang, beri ruang pada anak anda. Jangan biarkan satu pihak sahaja yang bercakap. Perbualan haruslah dua hala, tanyalah anak anda apa yang mereka rasakan. Percayalah apabila anda bercakap dengan suara yang lembut, tidak dominan dalam perbincangan ini, masalah pasti akan selesai.
Sentuhan
Tidak dilupakan juga, jangan biarkan suasana terlalu janggal ketika perbincangan ini. Setelah meminta maaf, mengakui kesalahan masing-masing. Berikan sentuhan yang bermakna pada anak anda. Peluklah anak anda dengan erat, keluarkan perkataan seperti ‘Ibu/Ayah sayang kamu’. Jangan anda pertikaikan kuasa pelukan seorang ibu/ayah pada anak, sangat hebat. Anda tidak boleh tahu kesakitan dan luka di jiwa anak anda, namun dengan pelukan ini sedikit sebanyak mampu merawat dan mententeramkan hati kedua-dua insan yang saling berpelukan.
Wahai ibu dan ayah di luar sana, membesarkan anak sangat sukar, lain anak lain caranya. Namun ketahuilah segala pegorbanan anda lakukan untuk anak anda, walaupun sekecil-kecil kebaikan, akan mereka ingati hingga ke akhir ayat. Carilah jalan sebaik mungkin untuk berdamai, jadikan diri anda seorang yang dipandang tinggi oleh anak anda sendiri. Walaupun anda berasa anak anda menjauhi diri, sebenarnya hati kecil mereka menunggu anda, merintih kasih anda tanpa anda tahu.