Lawati Dan Terokai Nostalgia Laman Seni Kwai Chai Hong Kuala Lumpur

Seperti di kebanyakkan negeri lain, terdapat banyak lorong-lorong seni yang kini menjadi perhatian orang ramai. Jika di Penang, anda pasti akan singgah sebentar di Penang Art Street untuk mengambil gambar di lukisan-lukisan mural di tepi jalan. Malah, di Melaka juga anda boleh melawati beberapa kawasan bersejarah seperti Jonker Walk, China Town atau Kampung Morten untuk mengenali sejarah dan fakta menarik mengenai kawasan berkenaan.

Di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur terdapat satu lorong seni atau lorong panggung yang dinamakan Kwai Chai Hong. Kwai Chai Hong atau lebih dikenali sebagai ‘Little Devils’ Lane’ merupakan satu lorong lama yang menempatkan lukisan mural dan sejarah lama berkenaan lorong berkenaan. Dalam dialek Kantonis, Kwai Chai bermaksud Little Ghost dan Hong pula bermaksud lorong. Lorong ini merupakan satu lorong yang mengisahkan atau menceritakan pelbagai kisah yang berlaku pada tahun 1906 dahulu. Menurut pemilik lorong berkenaan, ia dinamakan sebagai Theatre Lane (Lorong Panggung) kerana pada awalnya ia merupakan sebuah tempat yang terkenal dengan aktiviti hitam seperti perjudian, pelacuran dan kegiatan berkaitan geng.

Selain itu, terdapat geng tempatan yang dipanggil Dragon Tiger Gang, yang menggunakan Lorong Panggung sebagai tempat persembunyiannya. Pemimpin geng dikatakan memanggil anggota geng tersebut ‘Little Ghost’ atau Kwai Chai. Walau bagaimanapun, selepas beberapa tahun, kawasan tersebut dibersihkan dan dijadikan sebagai kawasan penempatan untuk beberapa buah keluarga. 

Ketika waktu siang, apabila ibu bapa keluar mencari rezeki atau bekerja, mereka akan meninggalkan anak-anak di rumah. Jadi, di sana mereka akan berlari dan berbuat bising sewaktu bermain. Kadang-kadang ada juga anak-anak tempatan yang membuat kacau dan melakukan kerosakan harta benda sewaktu bermain permainan di kawasan tersebut. Disebabkan hal ini, anak-anak yang nakal ini digelar ‘Little Ghost’. 

Bagi menarik minat orang ramai untuk mengunjungi tempat ini, lorong ini telah dinaiktaraf dan dibangunkan semula dengan mengekalkan ciri-ciri tanpa mengubah struktur bangunan yang lama. Untuk  Ketika lawatan saya di sana, saya amat terpegun dengan hasil seni yang dipamerkan oleh pereka dalaman bangunan berkenaan. Lawatan saya bermula Bubble Bee Cafe, iaitu titik permulaan pengembaraan saya.

Lukisan Mural Menggambarkan Kembali Nostagia Lama

Kwai Chai Hong terletak di hujung Jalan Petaling atau Petaling Street. Jika anda menaiki tren (LRT atau MRT), anda boleh turun di stesen Pasar Seni. Selepas itu, anda perlu berjalan kaki kira-kira selama lima hingga tujuh minit untuk tiba di Bubble Bee Cafe. Atau jika dari Chinatown KL, anda boleh berjalan di sini kerana mengambil masa dua hingga tiga minit berjalan kaki dari pintu masuk selatan Petaling Street. Sekiranya anda memandu atau menggunakan perkhidmatan seru-pandu, sila gunakan anda boleh menetapkan Bubble Bee Cafe sebagai destinasi anda.

Bagi individu yang menggemari lukisan jalanan, Kwai Chai Hong menempatkan gambar-gambar mural warisan Cina yang menceritakan keadaan yang berlaku hampir 100 tahun dahulu. Setiap lukisan yang dipamerkan mempunyai maksud dan gaya lukisan yang tersendiri. Bukan itu sahaja, ia juga dilukis oleh pelukis yang berbeza untuk setiap mural yang mana setiap idea dan teknik adalah berdasarkan gambaran pelukis itu sendiri.

Kwai Chai Hong adalah salah satu tempat wajib dikunjungi jika anda berada sekitar jalan Petaling atau Chinatown KL. Di lorong ini, terdapat enam mural yang indah yang kesemuanya dilukis oleh artis tempatan Malaysia. Apa yang menarik mengenai lukisan mural yang dipersembahkan adalah di setiap lukisan mural di dinding bangunan ada terdapat kod QR interaktif yang tersendiri. 

Jika anda mengimbasnya, anda boleh mendengarkan dialog dan bunyi-bunyian untuk setiap cerita mural tersebut. Dengan ini, pengunjung yang datang boleh merasai dan mengalami sendiri pengalaman yang berlaku sewaktu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, ia dirakam dalam bahasa Cina Kantonis. Namun, anda tidak perlu khuatir jika anda tidak memahami rakaman audio yang disediakan kerana ia masih mempunyai terjemahan dalam Bahasa Inggeris. 

Nikmati Hidangan Menarik di Bubble Bee Cafe, Petaling Street

Bagi anda yang gemar menerokai kafe-kafe di Malaysia, jangan lupa singgah dan makan di Bubble Bee Cafe, Jalan Petaling. Kafe ini berdekatan dengan lorong Kwai Chai Hong, yang mana mereka menyediakan pelbagai jenis sajian termasuk sarapan pagi, kopi dan juga kudapan ringan. Antara hidangan yang popular di Bubble Bee Cafe adalah ‘Egg Waffle’. Menarik mengenai waffle ini, ia disajikan seakan kon aiskrim dan diletakkan bersama toppings yang menarik mengikut menu yang anda pilih.

Walaupun Egg Waffle adalah menu menarik di kafe tersebut, anda juga boleh memesan hidangan buatan sendiri yang lain atau hidangan lain yang lebih berat. Bubble Bee Cafe menyajikan pilihan kek, minuman ais kisar, kopi, coklat, teh, jus buah-buahan, hidangan brunch sepanjang hari, dan roti panggang Panini. Untuk setiap hidangan di menu, ia disediakan oleh staf yang dilatih khas untuk menyediakan sesuatu jenis hidangan makanan atau minuman. Bukan itu sahaja, bagi penggemar kopi, Bubble Bee Cafe hanya menyajikan hidangan kopi yang diimport khas dari negara luar. Hal ini bagi mengekalkan kualiti rasa untuk hidangan kopi mereka.

_______________________________________________________________________________________

Bagi anda yang belum sempat mengunjungi Kwai Chai Hong di Jalan Petaling, jangan lepaskan peluang anda untuk menerokai khazanah bersejarah di tengah bandar Kuala Lumpur yang terkenal namun masih  tidak diketahui ramai. Pelbagai informasi dan aktiviti menarik yang anda boleh rasai sewaktu berada di Lorong Panggung Kwai Chai Hong. Tidak ketinggalan juga, singgah sebentar di Bubble Bee Cafe untuk mencuba pelbagai jenis hidangan menarik dengan harga yang berpatutan. Selamat mencuba!