Ulasan Buku : Signature Jalanan oleh Teme Abdullah
- Terbitan: Iman Publication
- Cetakan: Mac 2019
- Jumlah Mukasurat: 308
- Bahasa: Melayu
- Sumber: Peribadi

Ringkasan Penerbit
“Aku faham perasaan yang kau cerita kat aku mula-mula tadi…”
“Rasa macam seakan-akan dilahirkan bodoh daripada orang lain.”
“Orang lain boleh score exam. Aku pulak tak boleh score. Dahlah lambat membaca. Huruf-huruf pun aku tertukar-tukar. Gagap pula tu…”
“Bila aku cerita kat orang, orang tak percaya sebab diorang tak lalui. Diorang ingat aku memang malas. Diorang ingat aku reka cerita dan kasi alasan. Padahal Allah saja tahu macam mana aku ‘struggle’ nak jadi sama macam orang lain.”
Ulasan Peribadi
Tulisan Teme Abdullah dalam siri jalanan beliau kali ini menceritakan kisah hidup sekumpulan pelajar sekolah berasrama penuh yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia. Setiap watak dalam cerita ini secara langsung dan tidak langsung menghadapi cabarannya mereka tersendiri. Segala cabaran yang dihadapi berjaya ditakluki menerusi sokongan kuat rakan seangkatan yang terdiri daripada Joe, Oki, Zack, Ben dan Alif.
Dalam penceritaan kali ini, penulis menceritakan pelbagai ragam pelajar yang dimulakan dengan kisah prestasi merosot Joe dalam Additional Mathematics. Joe yang hebat dalam permainan bola keranjangagak lemah dalam sesetenganh subjek terutamanya Additional Mathematics. Joe juga merasakan dirinya memang dilahirkan kurang bijak dalam subjek Additionl Mathematics walau berkali-kali Joe berusaha untuk lulus dalam subjek tersebut.
“Mengejar yang positif, bukan berlari daripada negatif. Dengan cara itu, yang negatif akan dijauhkan dengan sendirinya.” (pg 182)
Oki pula pelajar cemerlang dan seorang fasilitator yang sangat komited dalam mengajar kawan seangkatan yang lain terutamanya Joe. Oki sering optimis dan salah seorang pemberi semangat buat Joe untuk memperbaiki diri dalam Additional Mathematics.
“Even kalau satu dunia pun nak tolong kau… kalau kau tak tolong diri sendiri, kalau kau tak bergerak… sampai bila-bila pun kau takkan berjaya. Semuanya bergantung pada kau.” (pg. 139)
Seterusnya, penulis menceritakan pula Zack iaitu pelajar aliran sains agama yang mengaktifkan diri dalam kegiatan dakwah di sekolahnya. Namun kaedah tegas dan kasar yang digunakan dalam aktiviti dakwah tidak disenangi oleh para pelajar lain dan sering menjauhkan diri daipada Zack.
“Tidak semestinya kena ada ayat al-Quran dan hadis dulu baru perkara tu islamik. Sebab, hakikatnya semua perkara baik itu islamik.” (pg.273)
Ben pula seorang pelajar aliran sains teknikal yang dikenali dengan kecemerlangan akademik dan kokurikulum, tetapi, Ben meletakan target untuk mendaptakan anugerah Pengakap Raja yang akan ditandatangi oleh Agong dan semua sultan di Malaysia. Akibat tekanan untuk memastikan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulm, Ben telah mencuba untuk meniru dalam peperiksaan.
“Apa guna keputusan cemerlang, tetapi dihantui dengan kesalahan penipuan yang bakal mendampingi diri sehingga ke liang lahad.” (pg 216-217)
Namun, disebalik segala usaha Ben dalam mengharumkan nama sekolah selama ini hanya sia-sia dimata pihak sekolah.
“I wasn’t appreciated in school. But, that doesn’t stop me from keep doing my best.” (pg. 302)
Akhir sekali, watak Alif iaitu seorang pelajar nakal yang berasal dari keluarga di bawah taraf sederhana dan hanya mengharapkan lulus dalam peperiksaan SPM. Alif merasakan dirinya pentingkan diri sendiri sekiranya menyambung pengajian selepas SPM walaupun dirinya berpotensi tinggi dimasa hadapan. Alif bercadang untuk terus berkerja selepas SPM untuk membantu keluarganya di kampung.
“Otak awak tu kurniaan Allah untuk diasah. Untung-untung ia dapat dikongsikan dengan orang lain.”
Semangat persahabatan antara Ben, Joe, Oki, Zack dan Alif merupakan mesej utama untuk sama-sama berjaya dalam SPM menerusi sokongan, semangat dan perkongsian ilmu.

Pada pandangan saya, penceritaan mudah dan santai dalam buku ini tidak menghampakan para pembaca. Buku berharga RM 33.00 ini amat berbaloi bagi setiap individu yang mahukan motivasi yang realistik dan ringkas menerusi penceritaan.
Signature Jalanan ini lebih kepada mengimbau kembali zaman SPM penulis sekiranya ingin dibandingkan dengan siri jalanan lain seperti Pelukis Jalanan, Arkitek Jalanan dan Impian Jalanan. Tema penulisan yang menekankan kepentingan dan semangat menuntut ilmu masih diteruskan oleh penulis Teme Abdullah. Sekiranya sebelum ini penceritaan lebih berlandaskan zaman university beliau, kali ini penceritaan ke arah zaman SPM pula.
Namun, ini tidak bermakna pembaca Signature Jalanan terhad kepada pelajar SPM sahaja, kerana skop penulisan yang luas dalam memahami pelbagai perkara dalam hidup seharian yang tidak disedari oleh ramai orang termasuk golongan bukan pelajar.
Walaupun, semangat persahabatan antara Ben, Joe, Oki, Zack dan Alif merupakan mesej utama yang dikongsikan oleh penulis dalam buku ini, tidak dinafikan, mesej lain juga turut diselitkan. Sebagai contoh, penulis memberikan pandangan berbeza terhadap perkataan “talent” yang sering disalah anggap, corak pemikiran optimis dalam kehidupan seharian, dan ketekunan serta keazamana dalam mencapai kejayaan.
Secara keseluruhan, saya berikan 4/5 bintang untuk buku Signature Jalanan tulisan Teme Abdullah.