Panduan Tarikh Luput Barangan Solekan dan Penjagaan Kulit Yang Perlu Anda Tahu

 

Buat anda yang menggunakan pelbagai produk penjagaan kulit dan alat solekan, pernahkah anda semak sama ada produk yang anda gunakan masih boleh digunakan atau telah tamat tarikh tempoh? Jika tidak, anda dinasihatkan untuk melihat semua isi kandungan barangan di meja solek anda. Tetapi, bagaimanakah untuk menentukan bilakah tarikh tamat tempoh sesuatu barangan alat solek dan penjagaan kulit?

Untuk mengetahui jawapannya adalah semudah menyemak label pada barangan tersebut. Kebanyakkan produk mempunyai label Period After Opening (PAO) yang menunjukkan jangka hayat sesuatu produk SELEPAS anda MEMBUKA sesuatu produk. Label ini biasanya terdapat pada kotak atau pada produk itu sendiri dan kelihatan seperti berikut:

Simbol ini mempunyai huruf ‘M’ yang merujuk kepada bulan (months) dan angka sebelum huruf tersebut yang merujuk kepada bilangan bulan. Ini bermakna sekiranya anda nampak label 12M, anda harus berhenti menggunakan produk tersebut 12 bulan selepas ia dibuka.

Tetapi, bagaimana jika produk yang anda beli TIDAK mempunyai sebarang label PAO? Ikuti panduan berikut untuk mengetahui tempoh jangka hayat produk.

 

Micellar Water: 6 bulan

Sumber: Sephora Malaysia

Bahan utama yang terkandung dalam micellar water ialah air. Kandungan air yang tinggi menjadikan ia medium terbaik sebagai tempat pembiakan bakteria. Oleh yang sedemikian, hentikan penggunaan micellar water setelah 6 bulan dan beli sahajalah yang baharu.

 

Pencuci Muka: 1 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Kebanyakan pencuci muka mampu bertahan selama setahun, kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Semak label PAO serta perhatikan sebarang perubahan pada bau dan tekstur pencuci yang bertukar lumpy atau likat.

 

Penyegar Wajah: 6 bulan

Sumber: Sephora Malaysia

Seperti micellar water, penyegar wajah juga adalah produk yang berasaskan air. Namun begitu ia didatangkan dengan bahan lain yang mampu memanjangkan shelf-life produk tersebut berbanding micellar water. Walaubagaimanapun, perhatikan sekiranya terdapat perubahan pada bau, warna dan tekstur produk (terasa kesat di kulit atau menjadi likat). Hentikan penggunaan dan tukar kepada yang baru selepas ia telah tamat tempoh.

 

Krim Pelembap Wajah: 1 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Secara umumnya, krim pelembap wajah mampu bertahan selama 1 tahun. Namun , sekiranya ia diperbuat dengan bahan bebas bahan pengawet atau tidak menggunakan bahan pengawet sintetik,  jangka hayatnya akan berkurangan ke 3 hingga 6 bulan sahaja. Untuk kepastian lebih lanjut, rujuk kepada label PAO dan semak kandungan produk tersebut. Buang produk sekiranya ia berubah bau, warna dan tekstur.

 

Concealer: 1 tahun

Untuk memastikan concealer mudah disapukan ke kulit dengan hasil yang kelihatan kemas dan halus, ia menggunakan minyak atau agen pelembap seperti shea butter. Sekiranya ia bertukar menjadi kering, tekstur menjadi cakey, bertukar warna atau berbau aneh, sudah masanya untuk anda mendapatkan concealer yang baru.

 

Foundation: 1 tahun

Jenis foundation yang digunakan mampu menentukan shelf-life produk yang anda gunakan. Liquid dan cream foundation bertahan selama 6 hingga 12 bulan sahaja kerana kandungan air, minyak dan agen lembapan di dalam produk tersebut mampu menjadi medium pembiakan bakteria dan meningkatkan kesan jangkitan kepada kulit akibat pencemaran kuman.

Foundation berasaskan bedak seperti two-way cake mampu bertahan selama 2 tahun kerana formulasinya yang kering menyukarkan bakteria untuk membiak. Walaubagaimanapun, anda dinasihatkan agar kerap membasuh span / berus muka, memcuci tangan sebelum menyentuh barangan solekan serta membersihkan membersihkan lapisan permukaan atas bedak muka setiap minggu untuk meningkatkan shelf-life produk tersebut. 

 

Bedak Muka/ Pemerah Pipi: 2 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Walaupun bedak muka dan pemerah pipi mampu bertahan sehingga dua tahun, kurangkan risiko untuk mengelakkan produk menjadi buruk dengan menggunakan berus/ span muka yang bersih dan tidak membiarkan produk terdedah kepada udara dan tidak tertutup. Tutup dengan rapat dan buang produk yang telah pecah ataupun kehilangan penutup. 

 

Pembayang Mata: 6 bulan hingga 2 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Pembayang mata berasaskan cream mampu hanya mampu bertahan selama 6 bulan. Ini adalah kerana agen pelembap yang digunakan mampu membekalkan lembapan yang diperlukan oleh bakteria dan kulat untuk membiak. Walaubagaimanapun, produk pembayang mata berasakan bedak mampu bertahan sehingga 2 tahun. Namun begitu, sekiranya warnanya telah bertukar berbanding ketika anda mula-mula membelinya dahulu, sudah tiba masanya untuk mendapatkan pembayang mata yang baru.

 

Pensel mata/ kening/ bibir: 2 tahun

Produk ini mampu bertahan lama sekiranya anda sentiasa memastikan ia dalam keadaan terasah dan ditutup rapat sekiranya tidak digunakan.

 

Liquid Eyeliner/ Maskara: 4 hingga 6 bulan

Sumber: Sephora Malaysia

Ramai yang menggunakan liquid eyeliner/ maskara sehingga melepasi tempoh luput. Sebaiknya, liquid eyeliner/ maskara hanya digunakan untuk tempoh maksimum 6 bulan sahaja. Untuk tujuan kebersihan, tukar kepada yang baharu tidak kiralah kandungannya masih banyak.

Seperti berus gigi, anda tidak boleh berkongsi liquid eyeliner/ mascara dengan orang lain. Ini adalah kerana liquid eyeliner/ maskara dipakai berhampiran dengan water line mata anda dan ini boleh meningkatkan jangkitan kuman.

Sebagai panduan, jangan ‘mengepam’ maskara anda kerana ini akan meyebabkan udara yang masuk menggalakkan pembiakan bakteria atau mengeringkan produk. Sebaiknya, gerakkan berus maskara secara circular motion. Jangan tambahkan air ke dalam liquid eyeliner/ maskara anda sekiranya ia telah mengering. Buang sahaja produk yang telah kering, bertukar tekstur, bau dan warna. Anda juga perlu menukar kepada liquid eyeliner/ maskara baharu sekiranya anda mendapat jangkitan mata.

 

Gincu Bibir: 2 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Gincu mampu bertahan lama sekiranya anda menjaganya dengan baik. Bersihkan lapisan atas gincu yang menyentuh bibir dengan sanitising wipes untuk mengelakkan ia menjadi tempat pembiakan bakteria atau kulat. Pastikan gincu anda tidak terdedah tanpa penutup apabila tidak digunakan. Anda juga digalakkan menggunakan berus bibir apabila mengenakan gincu agar dapat mengurangkan persentuhan gincu dengan kulit.

 

Pengilat bibir: 1 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Seperti maskara, jangan ‘pam’ pengilat bibir anda. Sebaliknya gunakan circular motion. Anda dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pengilat bibir dengan tidak menggunakan applicator yang tersedia dan memakainya terus ke bibir. Sebaliknya, sapuan dibuat secara tidak langsung dengan menggunakan berus bibir yang bersih. Anda juga boleh membeli pengilat bibir dalam bentuk tiub yang lebih hygienic dan mudah dibersihkan.

 

Pelembap bibir: 1 tahun.

Pelembap bibir dalam pot mempunyai jangka hayat 6 bulan lebih singkat berbanding  pelembap di dalam tiub. Anda digalakkan untuk membersihkan tangan dengan bersih untuk mengurangkan impak jangkitan kuman. Pelembap dalam tiub pula hendaklah dibersihkan dengan kerap seperti mana anda membersihkan gincu bibir.

 

Wangian Badan: 8 hingga 10 tahun

Sumber: Sephora Malaysia

Wangian mampu bertahan lama sekiranya anda menyimpannya di dalam di tempat gelap, sejuk dan jauh daripada terkena pancaran cahaya matahari. Pastikan ia sentiasa bertutup dan perhatikan sekiranya ia telah berubah bau atau warna kerana ini adalah tanda anda perlu berhenti menggunakan wangian ini.