Carian
Kecacingan – Perlukah Anda Makan Ubat Cacing?
June 17, 2019 Min Ahmad

Pasti ramai yang ingat pernah mengambil ubat cacing semasa kanak-kanak. Penggunaan ubat cacing adalah perkara yang lazim dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Namun, adakah jangkitan cacing hanya berlaku kepada kanak-kanak sahaja? 

Sebenarnya, orang dewasa juga boleh terdedah kepada jangkitan cacing melalui cara berikut:

  • tidak membersihkan dan memasak sayur-sayuran/ buah-buahan/ daging dengan sempurna sebelum dimakan
  • tidak membasuh tangan dengan bersih sebelum makan;
  • tidak memakai selipar ketika keluar rumah
  • tidak membasuh tangan setelah menyentuh haiwan peliharaan

APAKAH TANDA-TANDA KECACINGAN?

  • Cacing keluar dari lubang najis atau ada cacing pada najis
  • Najis yang berbau busuk menusuk dan kelihatan tidak normal
  • Punggung terasa gatal terutama pada waktu malam
  • Badan menjadi lemah dan hilang selera makan, serta sakit perut atau cirit birit dan kembung
  • Pucat dan berat badan menjadi kurang walaupun selera makan ada
  • Sering berasa loya
  • Kerap muntah-muntah
  • Batuk-batuk yang berpanjangan
  • Demam, ruam di badan, alahan, kaki gatal dan bengkak
  • Mengetap gigi ketika tidur malam
  • Kedutan dan lingkaran hitam pada kelopak mata
  • Hiperaktif
  • Sakit kepala
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Gusi dan hidung sering berdarah

JENIS-JENIS CACING 

Jangkitan cacing yang paling biasa adalah cacing gelang (round worm), cacing kerawit / cangkuk (hook worm), cacing benang (thread worm) dan cacing pita (tape worm). Seseorang pesakit mungkin dijangkiti lebih daripada satu jenis cacing kerana kebanyakan cacing hidup dan membiak dalam keadaan tanah yang sama.  

Cacing-cacing yang masuk ke dalam badan manusia akan bersaing untuk mendapatkan nutrien yang diserap daripada makanan. Ini mengakibatkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan . Perkara ini akan menganggu tumbesaran dan perkembangan fizikal terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti.

RAWATAN UNTUK KECACINGAN

Jangkitan cacing yang tidak dirawat dan dibiarkan berlarutan akan memberikan kesan yang berbahaya kepada tubuh. Dalam keadaan yang serius, jangkitan tersebut boleh merebak ke organ lain seperti otak, hati dan paru-paru. Walaubagaimanapun, bukan semua jangkitan cacing itu berbahaya. Ia boleh di rawatan dengan pengambilan ubat secara oral.

Antara ubat dalam pasaran yang biasa digunakan dalam rawatan jangkitan cacing adalah albendazole dan mebendazole.

Albendazole adalah ubat cacing yang digunakan untuk merawat masalah ini di fasiliti kerajaan. Ubat ini kurang diserap ke dalam badan dan ia akan tertinggal di dalam usus. Ia bertindak dengan menghalang penyerapan glukosa oleh cacing dan menyebabkan cacing-cacing tersebut kehilangan tenaga dan mati. 

Terdapat dua bentuk dos bagi albendazole dalam pasaran iaitu suspension (cecair) dan tablet. Biasanya tablet tersebut boleh dikunyah atau ditelan bergantung kepada formulasi syarikat pengeluar. Selain itu, bagi membantu memudahkan pesakit terutamanya kanak-kanak untuk mengambil ubat ini, ianya didatangkan dengan pelbagai perisa buah-buahan seperti oren, strawberi, pisang dan juga coklat. 

Dos pengambilan albendazole yang disarankan:

  • Orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas: 400mg dos tunggal.
  • Kanak-kanak yang berumur antara 1 hingga 2 tahun: 200mg dos tunggal.

Perlu diingatkan bahawa ubat cacing ini tidak boleh diambil oleh wanita yang mengandung dan bayi yang berumur kurang daripada 1 tahun.

Orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor sekiranya keadaan jangkitan cacing adalah luar biasa atau serius supaya rawatan yang berkesan dapat diberikan. Jenis ubat, dos dan tempoh pengambilan ubat akan diberikan oleh doktor bergantung kepada keadaaan pesakit.  

LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN CACING

  1. Tingkatkan kebersihan diri dan persekitaran dengan membasuh tangan dengan sempurna terutama di celah dan di bawah kuku sebelum makan dan setiap kali masuk ke dalam rumah.
  2. Jangan berkaki ayam, gunakan kasut atau selipar semasa berada di luar rumah.
  3. Tingkatkan kebersihan semasa penyediaan dan pengambilan makanan. Makanan berunsurkan daging dan ikan perlu dimasak dengan sempurna. manakala sayurab dan buahan perlu dibasuh bersih sebelum dimakan.
  4. Bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan, jalankan deworming mengikut dos yang ditetapkan berdasarkan usia mereka. Gunakan sarung tangan semasa membersihkan sisa tinja haiwan peliharaan. JAngan lupa untuk membasuh tangan setiap kali selepas menyentuh haiwan tersebut.

Sumber: https://www.stayathomemum.com.au/my-kids/types-of-worms-children-can-get-and-how-to-treat-them/

Komen