Carian
Apa Suami Perlu Lakukan Semasa Isteri Berpantang? 
June 19, 2019 Aida Kamalia

Apa Suami Perlu Lakukan Semasa Isteri Berpantang? 

Sebagai pasangan yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi, terutamanya ini merupakan anak pertama, pasti pelbagai persiapan perlu dibuat untuk menanti kehadiran insan baru dalam hidup, kan. Bukan sahaja keperluan fizikal penting untuk bayi dan isteri, malah yang paling penting adalah mental si isteri semasa berpantang. Wahai para suami di luar sana, saat isteri anda berpantang ini merupakan saat yang paling penting dan memerlukan sokongan serta penjagaan yang rapi.

Pengorbanan seorang insan bernama isteri memang tidak perlu dipersoal lagi, bukan mudah untuk membawa kandungan selama 9 bulan, malah setelah melahirkan juga banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh isteri. Fasa berpantang adalah waktu untuk memulihkan badan serta mengembalikan kecergasan tubuh akibat kehilangan darah semasa bersalin. Jadi sememangnya suami patut melayan isteri seperti permaisuri semasa fasa berpantang ini, supaya waktu untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran insan baru lebih mudah dan lancar.

Namun, bagi suami yang pertama kali menghadapi situasi ini pasti akaN mendatangkan masalah jika tidak membuat persiapan dengan betul, atau pun emosi isteri akan lebih terganggu dan teruk kerana suami dikatakan tidak membantu. Namun sebenarnya suami bukan tidak ingin membantu, tetapi tidak tahu mahu buat apa! Oleh itu, mari lihat di bawah apa tugas suami semasa isteri berpantang.

Sokongan moral

Setelah wanita melahirkan anak, secara automatik badan akan menjadi lemah, emosi terganggu dan amat mudah dijangkiti kuman. Oleh itu sangat penting kehadiran si suami untuk berada di samping isteri untuk memberi semangat kepada isteri untuk menghadapi fasa berpantang. Kadangkala, si isteri akan menghadapi masalah untuk menyusu bayi, terutama ibu pertama, kemudian isteri akan berasa tidak layak dan buruk terhadap anak kerana tidak mampu mengeluarkan susu. Berikan kata-kata semangat kepada isteri, seperti ‘Insyallah susu akan banyak keluar jangan risau, awak ibu dan isteri yang baik’. Oleh kerana berpantang ini merupakan waktu yang menyeksakan isteri, kata-kata seperti inilah yang isteri perlukan sepanjang berpantang sebenarnya.

two hands on gray surface

Bangun pagi bersama-sama

Ini antara perkara wajib yang akan berlaku semasa proses penyesuaian bayi apabila hadir ke dunia ini. Ketika di dalam kandungan, bayi tidak tahu waktu siang dan malam. Jadi apabila mereka lahir, tentunya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan masa siang untuk bermain, dan pada waktu malam untuk tidur. Biasanya, bayi yang baru lahir akan terjaga 5-7 kali pada waktu malam untuk menyusu serta menukar lampin bayi. Apabila anda lihat isteri anda berjaga pada waktu malam, bangun dan temanlah isteri anda. Mungkin dalam hati si isteri tidak sampai hati untuk mengejutkan anda, tidak mahu anda penat. Namun, apabila anda meneman isteri menukar lampin bayi dengan membawa air cuci, sedikit sebanyak dapat meringankan beban isteri.

Toddler Sleeping While Sucking Pacifier

Sediakan keperluan isteri

Ada pasangan yang memilih untuk berpantang sendiri tanpa bantuan ibu bapa supaya tidak memberi beban kepada ibu bapa. Ya boleh sahaja berpantang sendiri, namun sangat penting untuk suami menyediakan keperluan terbaik untuk isteri semasa berpantang. Antaranya adalah makanan berpantang untuk isteri, anda boleh masakkan menu makanan setiap hari untuk isteri. Semasa berpantang ini, pemakanan perlu cukup nutrisi, berkhasiat serta tidak memberi kesan buruk terhadap bayi anda. Banyak resepi di internet yang boleh anda ikuti untuk memasak lauk berpantang, mudah sahaja kerana lazimnya makanan berpantang lebih kepada sup, dan tidak menggunakan minyak. Selain itu, jangan lupa sesi mengurut untuk isteri anda semasa berpantang.Tujuan berurut ini adalah untuk melancarkan darah dalam badan, mengeluarkan angin dalam badan, memanaskan badan dan banyak lagi yang semestinya memberikan manfaat kepada badan isteri.  Pada zaman moden kini, sudah banyak yang melakukan servis urut, bertungku, bertangas, mandian herba dan banyak lagi.

Beri ruang kepada isteri

Tambahan lagi, ada pasangan yang memandang remeh tentang ini namun hakikatnya jika anda melanggarnya, ia akan memberi kesan buruk kepada isteri atau lebih mudah, bentan. Sewaktu isteri sedang berpantang, anda juga harus berpantang maksudnya disini tiada waktu bersama dalam tempoh berpantang untuk memberi ruang kepada badan isteri untuk pulih. Bayangkan, rahim si isteri tidak lagi kuat, darah nifas masih mengalir dan pasti ada urat-urat pada bahagian intim wanita yang masih lemah. Apa yang mungkin terjadi jika anda masih bersama dengan isteri ketika berpantang adalah risiko mendapat embolisma udara. Embolisma udara adalah apabila udara yang masuk ke dalam faraj ketika melakukan seks akan masuk ke dalam rahim seterusnya masuk ke dalam salur darah. Malah ini juga mampu membawa kepada kematian! Oleh itu, berilah ruang pada isteri sekurang-kurangnya 44 hari, atau 99 hari.

Buat kerja rumah

Jangan sesekali membiarkan isteri anda membuat kerja-kerja rumah dan kerja berat sepanjang tempoh berpantang. Bukan apa, ada wanita yang berasa dirinya larat dan mampu membuat kerja-kerja rumah kerana tidak mahu membebankan suami apabila suami pulang dari kerja. Namun hakikatnya, badan si isteri semasa berpantang lemah dan tidak mampu untuk membuat kerja berat. Mungkin bagi sesetengah wanita kerja seperti mengemas rumah, menyapu, mop adalah perkara mudah. Namun tidak semua badan wanita sama. Kerja-kerja rumah seperti ini memerlukan tenaga badan malah memerlukan badan untuk membongkok dan sebagainya. Jika banyak pergerakan,  wanita yang berpantang kemungkinan akan mengalami turun darah. 

Person Using Mop on Floor

Jika bercakap tentang erti penat, ya kedua-dua suami isteri sangat penat semasa tempoh berpantang kerana penjagaan yang sangat rumit. Namun pengorbanan ini semua demi anak yang sihat serta tubuh badan isteri pulih dan kuat selepas tempoh berpantang. Pesanan untuk bakal ayah di luar sana, banyakkan membaca dan bertanya soalan jika terdapat sebarang kemusykilan. Persiapkan diri anda untuk menghadapi tempoh ini bersama-sama dengan isteri tersayang. Buat isteri pula, selepas tempoh berpantang, balas semula kebaikan suami seperti memberi hadiah atau makan di luar sebagai tanda terima kasih suami menjaga anda dengan baik. Boleh juga suami menghadiahkan isteri kerana melahirkan anak, saling menghargai kan lebih baik?

Komen