Memakai Tampon Semasa Waktu Haid – Apa Yang Perlu Anda Tahu
Disebabkan stigma dan pandangan orang luar yang mengatakan keburukan memakai tampon, ramai wanita memilih untuk memakai tuala wanita dan tidak didedahkan dengan tampon serta kebaikan memakainya semasa haid. Kebanyakan wanita sudah diajar untuk memakai tuala wanita dari haid pertama lagi, disebabkan itulah tampon menjadi perkara yang janggal dan dianggap sakit kerana tidak ramai wanita memilih untuk memakai tampon. Seperti tuala wanita yang mempunyai tahap keserapan seperti regular, night-wear malah datang dengan pelbagai saiz mengikut keselesaan anda. Bagaimana dengan tampon?
Sebelum itu kita kenal dahulu apa itu tampon.
Apa itu tampon
Tampon adalah produk wanita yang direka untuk menyerap alirah haid dengan memasukkan tampon ke dalam vagina semasa haid. Fungsinya sama seperti tuala wanita yang ada selalu pakai, namun tuala wanita dilekatkan pada seluar dalam da tampon pula dipakai di dalam vagina. Ianya berbentuk silinder kecil dan mempunyai tali pada bahagian bawah untuk memudahkan anda menarik keluar tampon jika anda ingin membuang tampon. Kebanyakan tampon pula diperbuat daripada rayon atau gabungan rayon dan kapas.
Tampon boleh memecahkan selaput dara
Ini merupakan stigma yang paling ditakuti oleh wanita di luar sana terutamanya yang belum berkahwin. Sebenarnya kenyataan ini sama sekali tidak benar! Hymen (dikenali sebagai selaput dara) terdiri daripada lapisan nipis mukus yang terletak 1-2 cm di dalam pembukaan faraj. Setiap wanita mempunyai saiz dan ketebalan yang berbeza. Oleh itu ada sesetengah wanita, hymen mereka ‘koyak’ disebabkan aktiviti lasak yang dibuat oleh kerana hymen yang nipis. Walaupun begitu, hymen sudah pun mempunyai laluan kecil yang membolehkan aliran haid keluar, jadi tiada masalah untuk wanita memakai tampon.

Sakit tak masukkan tampon ke dalam vagina?
Setiap kotak tampon yang anda boleh dapati di farmasi, ia datang bersama panduan untuk memakai tampon. Malah terdapat juga jenama tampon yang mempunyai applicator untuk memudahkan anda memasukkan tampon ke dalam vagina. Mudah dan tidak renyah sebenarnya memasukkan tampon, dan sebenarnya tidak sakit langsung! Mungkin cubaan pertama anda akan rasa sedikit susah, namun selepas beberapa kali, ia akan menjadi lebih mudah.
Tampon lebih selesa
Bagi sesiapa yang mempunyai pengalaman memakai tampon, pasti anda tidak mahu menggunakan tuala wanita lagi. Mengapa? Ini kerana memakai tampon jauh lebih selesa berbanding tuala wanita. Apabila memakai tampon, anda akan berasa tidak memakai apa-apa di bawah, membuatkan anda lebih selesa untuk bergerak dengan aktif. Tidak seperti tuala wanita, anda pasti akan rasa seperti ‘berkuap’ atau pun lembab pada bahagian vagina seterusnya membuatkan diri berasa tidak selesa.
Tiada lagi melecet
Melecet inilah yang membuatkan saya berubah kepada tampon dan meninggalkan tuala wanita. Apabila haid anda sedang ‘heavy flow’ dan anda memakai tuala wanita, pad akan menjadi lembab dan penuh, dan apabila pergerakan anda sangat aktif, geseran antara kulit yang lembab dan tuala wanita tadi membuatkan kulit menjadi melecet. Kemudian, kulit akan berasa pedih dan tidak selesa.
Jangan pakai lebih 8 jam
Sama seperti tuala wanita ada haruslah menukar pad setiap 4-8 jam atau pun apabila anda berasa pad seperti ‘penuh’ dan tidak selesa. Begitu juga dengan tampon, anda perlu menukar setiap 4-8 jam. Namun apa yang anda harus pentingkan disini, jika anda memakai tampon melebihi 8 jam, kemungkinan anda mungkin dijangkiti TSS (Toxic Shock Syndrome) yang boleh membawa akibat yang serius.
TSS terjadi kerana jangkitan bakteria yang sering dikaitkan dengan darah terkumpul di tampon membuatkan ia medium terbaik untuk bakteria merebak.
Namun kes TSS ini sangat jarang, jika anda mematuhi peraturan ini dengan tidak membiarkan tampon melebihi 8 jam, ianya tidak menjadi masalah!
Pilih penyerapan paling rendah
Walaupum penyerapan yang paling tinggi mungkin kelihatan lebih menyakinkan, namun jika anda ingin memakai tampon, pilih penyerapan yang rendah. Mengapa? Apabila anda memakai tampon yang mempunyai peyerapan rendah, diri akan rasa lebih peka untuk menukar tampon dan tidak memakai melebihi 8 jam tanpa sedar. Jika memakai penyerapan yang tinggi, kemungkinan anda akan terlupa untuk menukar tampon kerana sudah pun tahu ia dapat menyerap aliran darah dengan baik. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu ke Toxic Shock Syndrome, akan tetapi jika anda seorang yang disiplin dan peka, tidak mengapa!
Mengenai harga tampon pula, ia jauh lebih mahal berbanding tuala wanita yang boleh didapati pada harga RM 10, namun untuk tampon, paling murah boleh didapati adalah dalam lingkungan harga RM20 keatas. Anda juga dinasihati untuk tidak menggunakan tampon jika haid anda light flow, terutamanya pada akhir haid, pakai lah pantyliner atau pun tuala wanita yang biasa.
Pada pendapat saya sendiri, tampon lebih memberikan rasa ‘bebas’ pada diri sendiri kerana tiada batasan pergerakan, tidak memberi kesakitan (kerana melecet) dan tidak berasa lembab di bawah, sememangnya tampon menjadi pilihan saya. Sudahlah selesa, tidak berasa seperti memakai apa-apa! Namun disini saya ingatkan, oleh kerana tampon memberi rasa seakan-akan tidak memakai apa-apa, ada sesetengah yang terlupa untuk mengeluarkan tampon dari vagina, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan TSS. Namun pada pendapat peribadi saya, mustahil anda tidak ke tandas selama jangka masa 8 jam?
Jadi antara tuala wanita dan tampon, mana satu pilihan anda untuk dipakai semasa waktu haid yang dapat memberi keselesaan sepanjang hari? Kongsikan bersama kami ya!