Carian
Guna Cara Ini Untuk Halang Kucing Anda Kencing Merata-rata 
June 26, 2019 Aida Kamalia

Sebagai pemilik kucing pastinya anda akan bagi sebaik mungkin kasih sayang pada kucing kesayangan anda. Akan tetapi apabila kucing jantan meningkat dewasa pada umur 5 bulan keatas, kucing jantan biasanya akan memancut dan kencing merata-rata!

Mesti stress kan terutamanya jika kucing anda kencing di semua tempat seperti perabot kesayangan, langsir, katil, dinding dan banyak lagi. Geram rasanya, sampaikan setiap kali kucing anda berjala di dalam rumah, berapa tempat lagi sudah ditandakan oleh mereka.

Pertama sekali kita faham dahulu, mengapa  kucing jantan ni suka memancut dan kencing merata-rata? Penting untuk menentukan sama ada kucing anda memancut, atau sama ada kucing anda membuang air kecil.

Jika kucing anda memancut, kucing akan cenderung dalam keadaan yang biasa, kemudian memancut dengan kuantiti yang lebih sikit. Berbanding jika kucing anda membuang air kecil, kucing akan mencangkung dan kuantiti kencing juga lebih banyak. .

Menandakan itu kawasan mereka

Biasanya kucing jantan akan tergugat jika nampak kucing jantan lain memasuki kawasan mereka. Oleh sebab itu, kucing jantan ni akan kencing di kawasan tertentu untuk menandakan bahawa ini kawasannya, seakan-akan memberitahu tidak boleh memasuki kawasan ini.

Kucing sedang ‘on heat’

Jika kucing jantan anda meningkat dewasa dna tiba masanya untuk mereka ‘on heat, memancut atau kencing merata ini memang sudah menjadi perkara lazim. Ini kerana air kencing yang dipancut tadi mengeluarkan bau spesifik yang dapat menarik perhatian kucing betina.

Bukan setakat bunyi kucing jantan terlebih bising memanggil kucing betina, mereka juga kencing dan pancut di mana-mana sahaja supaya kucing betina dapat menghidu kehadiran mereka.

Tetapi jika setiap masa terpaksa bersihkan sofa dan langsir, sehingga habis satu rumah bau hancing juga mengundang kemarahan kita kan. Macam mana cara nak halang kucing-kucing ni pula?

Tips untuk halang kucing kencing merata-rata

#1 Air botol warna merah

Pernah tak tengok dekat kawasan kampung atau di rumah apartment, depan rumah mereka semua dikelilingi botol air besar 1liter diisi dengan air berwarna merah? Ya sebenarnya air itu dapat mengelakkan kucing daripada memancut di kawasan tu. Memang pelik bila dengar kan, tapi berkesan tau.

Cara untuk buat air itu pula mudah sahaja, ambil botol bekas minuman, isi air dan letak perwana merah. Kemudian letak air di tempat biasa kucing kencing.

#2 Serai

Kucing memang tak suka bau serai ni, mungkin kerana bau serai ini seperti pedas berangin, sampai kucing pun benci. Anda tidak perlu rebus serai atau membuat air serai, letak sahaja beberapa batang serai di tempat kucing selalu kencing.

Nak lebih mudah, anda boleh gunakan produk yang berasaskan serai seperti Serai Wangi dari Afy Haniff. Hanya spray sahaja di kawasan berkenaan, pasti kucing anda akan elak kawasan itu kerana bau serai yang sangat kuat. Malah serangga perosak lain pun tak berani dekat tau.

#3 Cuka

Anda semua boleh cuba juga tips ni untuk mengelakkan kucing kencing merata ni. Dikatakan cuka ni juga berkesan menghalau kucing kencing. Caranya, anda perlu spray sahaja cuka buatan di tempat berkenaan.

Jangan lupa untuk cairkan dahulu cuka bersama air paip dengan nisbah 1:1 supaya larutan ini tidak terlalu asidik. Untuk lebih berkesan anda boleh gunakan cuka epal, namun baunya lebih tengik dan busuk berbanding cuka biasa.

#4 Produk penghalau kucing

Mesti anda  pernah nampak produk penghalau kucing atau cat repellent di Daiso mahupun  Mr. Diy. Anda boleh menggunakan produk cat repellent ni dan letak di kawasan yang selalu terkena kencing kucing. Menariknya cat repellent ini tidak memudaratkan kesihatan kucing.

Jangan pula anda membenci kucing-kucing ini sehingga menggunakan sesuatu yang boleh mengancam nyawa kucing, cukup sekadar menghalau kucing itu sahaja.

#5 Pemandulan/pengkasian kucing

Bila kucing sudah dimandulkan, kucing tidak lagi akan kencing merata-rata. Kucing yang dah dimandulkan juga lebih cenderung untuk tidak bergaduh dengan kucing lain terutamanya kucing liar.

Sebenarnya banyak kebaikan apabila mandulkan kucing ni, selain dapat menjaga kebersihan, ia juga dapat melindungi kucing daripada membiak terlalu banyak.

Tips diatas ini juga anda boleh gunakan pada kucing luar dan bukan pada kucing anda sahaja. Malah bukan sahaja kucing jantan, kucing betina juga sering kencing merata-rata namun atas sebab lain.

Jika kucing anda membuang air kecil di luar tempat litter box mereka, kemungkinan ada yang mereka tidak suka. Seperti litter box terlalu penuh dengan najis, membuatkan kucing tidak mahu menggunakan litter box. Atau lokasi litter box juga memainkan peranan pada kucing, mungkin kucing anda tidak suka lokasi litter box itu.

Oleh itu, di antara semua tips di atas, mana satu paling berkesan untuk menghalang kucing jantan memancut merata-rata? Kongsikan bersama kami cara anda menangani masalah ini!

Komen