Serbuk Amla – Rahsia Rambut Berkilau Dan Tebal Wanita India
Pernah tak anda melihat rambut wanita kaum India yang sangat tebal, hitam, lebat dan berkilat? Ya, mereka sangat pentingkan rambut mereka dengan memakai herba, minyak dan macam-macam lagi dari kecil. Amalan ini sering dipratikkan dari zaman nenek moyang mereka lagi, disebabkan itulah anda pasti pernah terlihat seorang ibu menyapu minyak kelapa pada rambut anak mereka setiap pagi dan kemudian mengikat tocang dengan sangat rapi dan kemas sebelum mereka berangkat ke sekolah.
Rambut ibarat mahkota wanita malah ia merupakan aset penting bagi seseorang. Bukan sahaja untuk kepuasan diri sendiri, apabila mempunyai rambut yang tebal, sihat dan berkilat, ia seringkali menjadi perhatian orang ramai dan sekaligus dapat menaikkan keyakinan seseorang. Seronok kan lihat rambut wanita di luar sana terutamanya jika mereka mempunyai genetik rambut yang lebat, cantik sungguh!
Namun sejujurnya tidak mudah untuk menjaga rambut terutamanya jika anda memiliki rambut yang panjang. Semakin panjang rambut anda, semakin banyak komitmen perlu diberikan pada rambut. Jika anda mempunyai kulit kepala yang berkelumur, berkuping, ia akan mengakibatkan kegatalan kepala seterusnya rambut akan lebih mudah untuk gugur. Bercakap tentang rambut gugur, ini merupakan masalah utama wanita terutamanya bagi mereka yang bertudung. Ini kerana apabila memakai tudung rambut seperti terperangkap, berpeluh dan berminyak. Oleh itu jika anda bertudung, terdapat cara yang berbeza untuk menjaga rambut anda. Tidak termasuk dengan rambut yang kasar dan rapuh, terasa sangat kejung di kepala!
Ya, untuk mendapatkan rambut yang cantik memang tidak mudah, tetapi jangan risau buat wanita di luar sana yang mempunyai masalah rambut terutamanya masalah rambut gugur. Hari ini kita akan berkongsi rahsia rambut yang cantik wanita Kaum India bagi mendapatkan rambut yang kuat, berkilau dan tidak mudah gugur!
Salah satu rambut berkilau mereka adalah dengan menggunakan serbuk amla. Ada banyak lagi kelebihan serbuk amla untuk rambut dimana Tajria akan kongsikan. Sebelum itu kenal dahulu, apa itu serbuk amla?
Serbuk Amla
Serbuk amla adalah diperbuat daripada buah gooseberry atau dikenali juga dengan nama buah amla, sangat terkenal kerana khasiat buah itu sendiri. Setelah diproses menjadi serbuk, warnanya seperti coklat muda. Serbuk amla ini dapat memberi khasiat yang sangat bagus pada rambut, kulit kepala dan juga kulit. Buah amla yang sangat kaya dengan vitamin c ini juga banyak digunakan dalam perubatan ayurveda. Selain diproses menjadi serbuk, ia juga boleh dimakan begitu sahaja atau diperah menjadi jus untuk mendapatkan khasiat terus daripada buah amla.
Kelebihan serbuk Amla untuk rambut
Menghilangkan kelemumur
Serbuk amla tinggi dengan asid lemak yang bagus untuk kulit kepala dimana ia mampu menghilangkan kelumumur, yang mana masalah ini terjadi pada ramai waita di luar sana. Ini kerana amla mempunyai sifat anti-bakteria yang bagus untuk menghilangkan gatal-gatal serta kelemumur di kulit kepala. Memang tidak selesa jika anda sering tergaru-garu kulit kepala terutamanya jika di tempat awam. Lebih teruk lagi, jika orang terdekat anda timbul rasa tidak selesa melihat keadaan anda. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, rajinkan diri untuk membuat masker rambut menggunakan serbuk amla. Campurkan serbuk amla dengan minyak kelapa dara, kacau sebati dan urut di kulit kepala supaya khasiat dapat menyerap dengan lebih baik ke kulit kepala.
Menguatkan rambut
Serbuk amla juga boleh dibuat sebagai rawatan rambut agar struktur rambut menjadi lebih kuat. Tips ini bagus untuk mereka yang berambut panjang kerana rambut yang panjang memerlukan akar rambut yang kuat untuk menampung berat rambut. Vitamin C di dalam buah amla ini dapat merawat rambut yang nipis, serta membuat akar rambut menjadi lebih kuat seterusnya dapat mengurangkan rambut yang gugur. Anda bebas mencampurkan apa sahaja bahan yang bagus untuk rambut seperti telur kuning, pepermint oil, air mawar dan sebagainya dalam masker rambut anda.
Melindungi rambut daripada rosak
Sifat anti-oksidan yang tinggi dalam serbuk amla ini membolehkan ia melindungi rambut daripada rosak disebabkan bahan kimia serta persekitaran sekeliling yang kotor. Terutamanya untuk wanita yang berhijab dimana lebih cenderung mempunyai rambut yang rosak kerana rambut sentiasa diikat membuatkan rambut lebih rapuh dan bercabang. Malah bagi mereka yang sering mewarnaka rambut juga boleh gunakan serbuk amla untuk rambut yang lebih sihat kerana amla dapat memberikan kelembapan pada rambut anda. Campurkan serbuk amla bersama minyak kelapa dan minyak zaitun, kemudian hangatkan minyak menggunakan ketuhar gelombang mikro, dan letak di kepala semasa minyak tadi masih panas. Suhu yang panas juga dapat merangsangkan kulit kepala, jangan lupa untuk urut kepala juga!
Melambatkan pertumbuhan uban
Sebenarnya, bukan henna sahaja boleh mewarnakan rambut yang beruban, amla juga boleh membantu menyelesaikan masalah rambut ini! Dengan penggunaan serbuk amla yang kerap, ia mampu melindungi rambut serta melambatkan pertumbuhan uban. Caranya juga sangat mudah, campurkan serbuk amla dengan air sehingga anda dapatkan konsistensi yang tidak terlalu cair, tidak terlalu pekat. Seterusnya lumur sahaja pada seluruh rambut dan jangn lupa untuk memakai shower cap atau plastik untuk menutup kepala anda. Tunggu selama 1 jam dan bilas!
Menghilangkan kutu rambut
Masalah kutu rambut ini sering menghantui anda jika anak kecil anda masih bersekolah atau pun tinggal di pusat penjagaan kanak-kanak, kan? Pasti setiap ibu-bapa akan mengalami masalah kutu rambut ini pada anak kecil mereka. Shampoo rambut rawatan topikal untuk kutu rambut jika dipakai dengan terlalu kerap, kemungkinan ia akan mengganggu kelembapan kulit kepala kerana kebiasannya, shampoo kutu ini sedikit harsh. Selain menjadikan rambut lebih kuat, serbuk amla juga mampu menghilangkan kutu rambut tau! Namun bukanlah dengan sekali pemakaian, ia akan terus menghilangkan kutu, sebaiknya buat 3 kali seminggu. Caranya, anda hanya perlu membancuh serbuk amla bersama air, kemudian titikkan sedikit tea tree oil.
Anda boleh dapatkan serbuk amla ini di kedai runcit kaum India, malah jika anda pergi ke kedai runcit ini, anda akan jumpa pelbagai minyak yang bagus untuk rambut serta herba-herba yang boleh dicampurkan ke dalam masker rambut anda. Harganya juga tidak mahal, di dalam lingkungan RM20 kebawah sahaja mengikut harga kedai. Anda juga boleh dapatkan secara online di Shopee atau pun Lazada. Tinggal tunggu sahaja di rumah!
Untuk mendapatkan kesan terbaik dari serbuk amla, rajinkan diri untuk membuat masker rambut ini 2 kali seminggu. Kesannya, pasti rambut anda akan menjadi lebih tebal, kuat, bebas dari masalah kulit kepala dan berkilau! Selamat mencuba!