Aida Kamalia Diterbitkan 2 July 2019

Kanser Serviks Pembunuh Ketiga Tertinggi Wanita 

Kanser Serviks Pembunuh Ketiga Tertinggi Wanita 

Pada awal tahun ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menetapkan 70 peratus wanita di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan pangkal rahim (serviks), namun tidak tercapai. Berdasarkan statistik, hanya 12.8% wanita di negara ini menjalani pemeriksaan kanser pangkal rahim ini. Jika anda lihat perbezaan antara dua angka nombor ini, ternyata masih kurang kesedaran bagi wanita di Malaysia tentang pemeriksaan kanser pangkal rahim. Pada pendapat peribadi saya, kemungkinan wanita akan berasa tidak selesa dan malu kerana pemeriksaan ini melibatkan organ peribadi wanita menerusi ujian pap smear. 

Kanser serviks ini merupakan kanser ketiga tertinggi dihadapi oleh wanita, dimana kanser payudara merupakan kanser pertama tertinggi. Menghidap kanser merupakan antara mimpi ngeri bagi semua orang kerana kesan yang perlu dihadapi pesakit pada masa akan datang akan memberi perubahan fizikal dan mental, termasuklah kos rawatan yang tinggi. 

Setiap jenis kanser yang sering menyerang wanita mempunyai tanda-tanda yang berbeza setiap satunya. Pada artikel kali ini, kita akan kenali dengan lebih dalam tentang kanser pangkal rahim (serviks) ini. 

Apa itu pangkal rahim? 

Pangkal rahim adalah bahagian sempit yang terletak di bawah rahim dimana rahim adalah sebagai ruang tumbesaran janin.Pangkal rahim adalah bahagian yang menyambungkan rahim dengan faraj dan ianya membentuk saluran kelahiran.

Perubahan sel sebelum menjadi kanser 

Atypia 

Atypia adalah merujuk kepada perubahan sel yang sedikit. Ia boleh dikesan melalui ujian pap smear dan perubahan sel ini mungkin akan bertambah teruk atau pulih seperti biasa. Perubahan pada sel ini mungkin menjadi bertambah teruk atau pulih seperti biasa. Jika keputusan pap smear menunjukkan perubahan atipikal, wanita haruslah mengulangi ujian yang sama dalam masa 6 bulan lagi untuk melihat perubahan sel atipikal. 

Dysplasia 

Sejenis perubahan luar biasa dalam sel di pangkal rahim. Juga dikenali sebagai Cervical Intraepithelial Neoplasia (CIN) dan Squamous Intraepithelial Lesion (SIL).

Jenis kanser pangkal rahim 

Squamous cell carcinoma
Squamous cell carcinoma adalah barah pangkal rahim yang sering berlaku dalam kalangan wanita. Ianya bermula dari dalam sel skuamus atau kulit seperti sel di pangkal rahim.

Adenocarcinoma.
Manakala Adenocarcinoma adalah jenis barah pangkal rahim yang jarang berlaku, ia  bermula dari dalam sel glandular. Selain itu, barah pangkal rahim boleh dibahagikan kepada microinvasive atau invasive.

Tanda-tanda kanser pangkal rahim

Kebanyakan wanita tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala pada peringkat awal barah pangkal rahim kerana tanda-tanda yang tidak ketara. Namun ia akan dirasai oleh pesakit barah apabila sel kanser telah merebak ke tisu dan organ lain.  

  • Tompokan darah atau sedikit pendarahan antara tempoh kering haid atau selepas haid
  • Pendarahan haid berpanjangan dan banyak daripada biasa.
  • Pendarahan selepas putus haid
  • Sakit semasa hubungan seksual
  • Penambahan lelehan dari faraj

Faktor menghidapi kanser pangkal rahim 

Risiko untuk seseorang wanita menghidapi barah pangkal rahim boleh dibahagikan kepada risiko yang boleh dikawal dan risiko yang tidak boleh dikawal seperti umur dan sejarah keluarga. Apabila ada individu dalam keluarga menghidap kanser, kemungkinan untuk anak menghidap kanser juga sangat tinggi.

Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko wanita mendapat barah pangkal rahim:

  • Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV)  – Faktor risiko utama mendapat barah pangkal rahim ialah jangkitan HPV. HPV dibawa dari individu ke individu yang lain melalui hubungan seks.
  • Jangkitan Human Immunodeficiciency Virus (HIV) – Wanita yang dijangkiti dengan HIV berisiko untuk mendapat barah pangkal rahim.
  • Herpes – Wanita yang mendapat jangkitan virus herpes pada bahagian kemaluan berisiko tinggi mendapat barah pangkal rahim
  • Ubatan – Anak perempuan kepada ibu yang mengambil ubat Diethylstilboestrol (DES) semasa hamil untuk mengelakkan keguguran kandungan berisiko mendapat barah pangkal rahim
  • Merokok – Meningkatkan risiko barah pangkal rahim sebanyak empat kali ganda.

Cara untuk diagnosa kanser pangkal rahim 

  • Ujian pap smear 
  • Colposcopy
  • Biopsi
  • Cystoscopy dan proctosigmoidoscopy
  • Imbasan Computed Tomography (CT atau CAT)
  • Magnetic Resonance Imaging
     

Rawatan untuk kanser pangkal rahim 

Untuk rawatan barah pangkal rahim ini bergantung kepada saiz dan lokasi ketumbuhan, serta tahap rebakan barah dan tahap kesihatan pesakit tersebut. Jika kesihatan dan badan pesakit tidak mampu untuk menerima kesan rawatan, cara lain akan diambil kira. 

Pembedahan 

Dalam pembedahan, doktor membuang barah tisu. Untuk barah pangkal rahim yang tidak merebak melepasi pangkal rahim, prosedur ini termasuklah conization untuk membuang tisa yang luar biasa. Prosedur LEEP yang menggunakan elektrik melalui cangkuk dawai yang halus untuk membuang microinvasive barah pangkal rahim. Prosedur terakhir adalah hysterctomy dimana pembedahan ini akan membuang rahim dan pangkal rahim.

Radioterapi 

Untuk radioterapi, pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan akan menjalani rawatan radiasi dimana ia akan memusnahkan sel barah. Radioterapi mungkin juga digunakan selepas pembedahan atau digabung dengan kemoterapi. Kesan sampingan daripada terapi radiasi bergantung kepada dos dan bahagian badan yang dirawat. Kesan sampingan yang kerap terjadi termasuk letih dan lesu, reaksi pada kulit (kering atau kemerahan pada kawasan rawatan radiasi), hilang selera makan, loya, muntah, ketidakselesaan semasa buang air kecil dan cirit birit. 

 

Kimoterapi 

Kimoterapi ini  menggunakan ubat anti-barah. Tujuannya adalah untuk membunuh sel barah dengan menghalang sel barah daripada bertambah. Kesan sampingan yang kerap berlaku loya dan muntah, hilang selera makan, cirit birit, letih lesu, bilangan sel darah rendah, perdarahan atau lebam selepas luka kecil atau cedera, kebas dan rasa mencucuk-cucuk di tangan atau kaki, sakit kepala, rambut gugur dan kehitaman pada kulit dan kuku. Namun kesan sampingan selalunya hilang selepas rawatan habis sepenuhnya. 

boy lying on beige recliner hospital bed

Rawatan paliatif 

Rawatan paliatif ini adalah untuk mengurangkan kesakitan selepas rawatan barah tanpa mengira tahap rawatan. Rawatan ini juga sangat penting bagi penghidap barah di peringkat akhir yang mengharapkan kehidupan lebih selesa. 

Disebabkan ini lah pesakit kanser memerlukan sokongan dari orang sekeliling mereka untuk sentiasa memberi semangat semasa tempoh rawatan barah sehingga pesakit pulih. Masih punya harapan bagi pesakit kanser untuk pulih seperti sediakala jika dapat dikesan dari awal lagi, dan sentiasa mengikut rawatan yang ditetapkan. 

Jika anda di luar sana mengalami tanda-tanda kecil yang luar kebiasaan, segera berjumpa dengan doktor untuk konsultasi lanjut. Tidak semestinya jika anda mengalami tanda-tanda di atas, ianya kanser. Mungkin sahaja ia petanda penyakit-penyakit lain, paling penting jangan tangguh untuk berjumpa dengan doktor. Lebih-lebih lagi mereka yang sering sibuk dalam urusan harian. 

 

 

 

 

Sumber : MyHealth Gov