Carian
Jauhi Fake Veneer Di Instagram! 
July 10, 2019 Aida Kamalia

Jauhi Fake Veneer Di Instagram! 

Walaupun kes fake veneer ini sudah pun lama tular seperti fake braces, namun saya sendiri mendapat iklan-iklan yang dipromosikan oleh kedai atas talian, Instagram melalui Insta Story. Ternyata kegiatan penipuan ini masih galak dan ramai lagi yang mengambil kesempatan ke atas mereka yang mahu membaiki gigi mereka dengan kos yang jauh lebih murah. Ada juga yang membuat pemasangan veneer di negeri seberang dengan harga yang murah, namun ianya dibuat sekadar di salon kecantikan sahaja. 

teeth denture on top of blue shelf

 Seperti fake braces, proses memasang fake veneers ini juga terdedah dengan pelbagai risiko, semestinya akan memberi kesan buruk pada masa akan datang. Mengapa ada juga yang masih berani untuk lakukan ‘rawatan’ ini?

Apa itu veneer sebenarnya?

Veneer adalah rawatan gigi dimana satu lapisan nipis diletakkan pada permukaan gigi. Tujuan memakai veneer ini adalah untuk membaiki gigi yang yang patah, berwarna gelap, patah, atau pun mereka yang mempunyai jarak pada bahagian hadapan gigi. Veneer ini akan menampakkan gigi anda teratur dengan cantik, dan biasanya orang akan memakai veneer pada bahagian hadapan gigi sahaja. 

Jenis-jenis veneer

Porcelain Veneer 

  • Lapisan nipis yang dibuat khas (custom made) mengikut gigi anda sendiri.
  • Nampak lebih semulajadi dengan warna yang tidak terlalu putih dengan warna gigi sebelum.
  • Lebih kuat dan lebih tahan lama, serta tidak mudah kotor.

Composite Veneer

  • Lapisan composite veneer lebih nipis berbanding porcelain veneer.
  • Lebih singkat masa pemasangan, tidak perlu membuat acuan seperti porcelain veneer. 

Akan tetapi, anda haruslah membuat rawatan veneer ini hanya di klinik gigi berdaftar sahaja, dan bukan seperti kedai di atas talian Instagram, dimana jelas sekali ia akan membahayakan kesihatan pemakai. Ini kemungkinan kerana kos untuk membuat rawatan veneer di klinik gigi yang sah lebih mahal, lingkungan harga RM2000 untuk keseluruhan gigi pada bahagian hadapan. Malah ramai juga artis serta influencer berbayar diberi peluang untuk membuat rawatan ini secara percuma dan mereka akan mempromosikan kedai ‘rawatan’ ini. Ini sedikit sebanyak menarik minat orang luar yang mudah terpengaruh, tambahan pula mereka tidak membuat sebarang carian tentang veneer. 

 Pemakai fake veneer akan terdedah dengan pelbagai risiko buruk antaranya adalah : 

Risiko buruk 

  • Mulut berbau busuk disebabkan sisa makanan melekat pada veneer.
  • Gigi tidak boleh ketap, menyebabkan pemakai sukar mengunyah makanan. 
  • Rahang akan sakit kerana gigi tidak dapat tutup dengan baik.
  • Infeksi gusi sehingga berdarah dan akan  merebak ke tulang.
  • Risiko bakteria, berkemungkinan peralatan untuk memasang tidak disterile dengan baik. 
  • Caries gigi yang semakin teruk disebabkan pemasang tidak membuang caries dengan betul. 

Adakah anda sanggup menghadapi semua risiko ini kerana memakai fake veneer? Walaupun niat anda untuk mengurangkan kos rawatan veneer, ia tidaklah begitu murah. Satu kedai atas talian yang menawarkan khidmat memasang veneer ini mengatakan harga untuk 16 batang gigi hadapan adalah RM900. Saya bertanyakan sendiri melalui nombor tertera di atas talian tersebut. 

Berbaloikah RM900 dengan risiko yang bakal anda hadapi, semestinya apabila anda mengalami kesan buruk di atas, kos untuk merawat gigi anda jauh lebih tinggi. 

Bagaimana untuk mengesan fake veneer? 

  • Tidak berdaftar dengan Pergigian Malaysia, dan tidak mempunyai nombor MDC. 
  • Harga yang ditawarkan  terlampau murah berbanding di klinik pergigian.
  • Proses untuk memasang veneer tidak dibuat di klinik pergigian yang sah, tetapi di rumah sendiri, hotel, dan hanya dibuat di atas sofa atau katil. 
empty dentist chair

Kesimpulannya, tolonglah jauhi fake veneer yang akan mengancam kesihatan anda pada masa akan datang. Walaupun begitu, mereka yang membuat veneer di Instagram ini rata-ratanya nampak sangat fake, dan warna gigi nampak pelik, tidak semulajadi. Putih gigi seakan-akan cat yang berwarna putih, sekaligus menampakkan si pemakai nampak sangat pelik apabila senyum. 

Mereka yang menawarkan servis ini masih lagi berani menawarkan kegiatan mereka, apabila anda mengalami kesan buruk, mereka tidak akan bertanggungjawab, malah mungkin mereka sendiri akan ‘block’ panggilan dan teks anda. 

Jika anda mempunyai kenalan atau saudara yang membuat pemasangan veneer di Instagram, paksa mereka untuk rujuk di klinik pergigian dengan segera. 

 

Komen