Lina Rosli Diterbitkan 12 July 2019

5 Makanan Yang Tidak Boleh Dimakan Bersama Durian

Durian boleh dikatakan di antara buah yang paling mendapat banyak sambutan di Malaysia. Tambah lagi, apabila tiba musim durian. Pasti ramai yang akan berpusu-pusu mendapatkan buah tersebut di mana-mana kebun durian di sekitar Malaysia. Durian ini bukan sahaja popular di pasaran tempatan, malah ia juga menjadi bualan di segenap Asia Tenggara. Jadi, tidak hairanlah jika buah ini digelar ‘Raja Buah’.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa jenis makanan yang tidak boleh dimakan yang mana ia boleh memudaratkan kondisi tubuh anda. Oleh itu, hari ini Tajria ingin berkongsi kepada anda 5 makanan yang tidak disyorkan makan dengan durian.

Susu

Makan durian bersama susu boleh menyebabkan tekanan darah dalam badan anda akan meningkat. Hal ini kerana, durian mengandungi bahan sulfur yang sama dengan kandungan dalam susu. Apabila anda mengambil sulfur yang berlebihan, ia akan menyebabkan tubuh tidak boleh berfungsi dengan baik yang mana ia tidak mampu untuk membuang atau memusnahkan toksin dalam badan.

Kopi

Selain susu, kopi juga dikategorikan sebagai minuman yang tidak boleh diminum bersama durian. Ini adalah disebabkan oleh kandungan kafein aktif dalam kopi yang dapat membuat denyut jantung lebih cepat dan dapat menyebabkan suhu tubuh menjadi panas. Kedua-dua perkara ini mempunyai kesan yang sama. Jika dimakan bersama tidak baik untuk kesihatan, terutama mereka yang mempunyai penyakit jantung.

Sayuran Terung

Seperti yang kita sedia maklum, sayur-sayuran amat baik untuk kesihatan. Termasuklah terung yang juga mempunyai banyak manfaat untuk tubuh. Walau bagaimanapun, anda tidak digalakkan untuk makan terung bersama durian. Sama seperti kopi, terung juga boleh meningkatkan suhu badan manusia apabila yang mana ia akan memudaratkan tubuh anda jika ia dimakan bersama durian.

Ketam

Seterusnya, makanan yang tidak disyorkan makan bersama durian adalah ketam. Isi ketam mengandungi kolesterol yang tinggi. Begitu juga durian yang mana ia merupakan buah yang mengandungi karbohidrat dan lemak tinggi. Bagi individu yang mempunyai tahap kolestrol yang tinggi, anda tidak dibenarkan untuk mengambil durian bersama ketam dalam satu tempoh yang sama. Ia bukan sahaja meningkatkan tahap kolesterol, ia turut boleh menimbulkan risiko penyakit jantung yang boleh membawa kepada kematian.

Daging Lembu Atau Kambing

Daging lembu dan kambing mempunyai kadar suhu yang agak tinggi. Rentetan kepada ini, ia boleh menyebabkan keradangan dalam tubuh manusia. Kesan lain apabila mengambil durian dan daging secara serentak adalah gangguan kepada pencernaan dalam perut, tekanan darah tinggi, atau kolesterol tinggi.

Walau apapun, anda dinasihatkan untuk memakan durian dalam kuantiti yang terkawal. Anda tidak digalakkan untuk mengambil durian secara berlebihan kerana ia akan menyebabkan isu lain seperti peningkatan berat badan dan juga macam-maca lagi.