Carian
Cadangan Tempat Percutian Untuk Backpackers 
July 15, 2019 Aida Kamalia

Cadangan Tempat Percutian Untuk Backpackers 

Orang kata, masa muda inilah masanya untuk kita mengembara melihat dunia luar. Nanti tatkala kita sudah berkeluarga dan mempunyai anak, ia sedikit sukar untuk pergi ke negara luar. Benarkah kenyataan ini? Siapa tidak suka dapat diberi peluang untuk lihat sendiri budaya, adat serta kepercayaan di setiap negara, yang semestinya mempunyai perbezaan berbanding di negara kita sendiri. Namun, perkara utama yang menghalang adalah, wang. Ya, untuk mengembara ke negara luar dengan selesa dan selamat, ia memerlukan kos yang agak tinggi. Lebih-lebih lagi jika anda mementingkan tempat penginapan yang bertaraf 4 atau 5 bintang, kos perbelanjaan anda akan jauh lebih tinggi. 

Namun, jika anda mengembara dengan cara backpackers, sedikit sebanyak ia akan menjimatkan kos perbelanjaan anda! Harus diingatkan disini, mengembara dengan cara backpackers tidak semestinya anda akan duduk di tempat yang teruk, serta tidak menjamin keselamatan anda. Sebolehnya, elakkan menginap di hotel bertaraf tinggi dan duduk di hostel atau pun dorm. 

Hari ini, Tajria akan berkongsi negara-negara yang popular untuk para backpackers di luar sana! 

Indonesia 

Indonesia amat terkenal dalam kalangan backpackers terutamanya dari Malaysia. Bukan sahaja kerana mata wang kita lebih tinggi, namun pelbagai tarikan semulajadi yang terdapat di sana. Pulau biru, air terjun yang tinggi, gunung-gunung yang boleh didaki sehinggalah ke lubuk kain batik. Antara tempat yang menjadi lokasi hangat adalah Bali, yang terkenal dengan pulau yang sangat cantik serta budaya Hindu. Jika anda pernah berkunjung ke Bali, anda akan dapati mereka banyak menekankan pada ukiran-ukiran kayu, padi bertingkat malah terdapat pelbagai kuil yang anda boleh lawati. Bagi yang ingin mencuba sesuatu yangekstrem dan mencabar, sahutlah cabaran mendaki Gunung Bromo iaitu gunung berapi yang masih lagi aktif. Selain tarikan semulajadi mereka, di Bandung Indonesia juga terkenal dengan kain batik yang menawan, semestinya menjadi pilihan pengunjung. 

Foto Kredit : Indonesia Travel 

Thailand

Thailand lebih mudah dimasuki rakyat Malaysia kerana terdapat laluan khas iaitu melalui sempadan Bukit Kayu Hitam. Jika sebut sahaja negara Thailand, pasti apa yang terlintas di fikiran adalah masakan asli thai yang terkenal dengan kesedapannya. Bagi mereka yang sukakan pedas, masakan thai sangat sukar untuk ditolak kan! Hatyai lebih mudah untuk dkunjungi malah terdapat banyak bas ekspres yang menawarkan perjalanan hingga ke hatyai. Di Hatyai dan Bangkok adalah syurga makanan asli thai. Tomyam, somtam, pulut mangga dan banyak lagi. Dari Hatyai juga terdapat van yang dapat bawa anda ke Krabi, terkenal dengan pulau biru yang jernih. Disini juga merupakan tempat terkenal bagi backpackers dari seluruh dunia! 

Foto Kredit : Tourism Thailand 

Vietnam

Terkenal dalam industri kain serta lace yang cantik, ia semestinya menjadi lubuk pencarian wanita yang mahu menempah baju! Di Ho Chi Min, tidak sah jika tidak nampak wanita memborong kain, lace, malah tudung dari pelbagai jenama turut ada di sini. Ramai juga yang menjadikan kain disini sebagai perniagaan mereka. Buat penggemar kopi, jangan lupa untuk merasai keenakan kopi Vietnam yang mempunyai rasa yang tersendiri. Untuk menikmati alam semulajadi, Da Lat dan Nha Trang merupakan destinasi pilihan anda. Dalat lebih kepada kawasan yang tinggi, terdapat gunung, cable car malah suhu di sini lebih sejuk. 

Foto Kredit : Vietnam Travel 

Filipina 

Filipina juga antara negara yang terkenal di kalangan backpackers seluruh dunia kerana tarikan yang sangat menarik. Untuk pengetahuan anda, di Cebu mereka menawarkan pakej untuk berenang dan snorkeling  bersama ikan paus! Sebelum ini pada tahun 2018, Boracay diperintah untuk ditutup sementara bagi membaik pulih keadaan di Boracay dan ia sudah pun dibuka semula untuk orang awam. Jika anda pergi ke Boracay, ia adalah tempat yang tidak akan dilupakan terutamanya bagi mereka yang sukakan air laut biru yang jernih! Tidak kurang juga di Palawan, yang masih lagi ‘virgin’ dan anda akan terpersona dengan keindahan gunung-ganang di Palawan. 

Foto Kredit : Philippine Tourism Commission

Follow

Turki

Jika anda pernah melihat filem Cinta Di Cappadocia, sudah pasti hati anda tertarik dengan keindahan di Cappadocia, kan? Kota romantis yang menawarkan pakej menaiki belon panas, semestinya ia adalah perkara yang wajib dibuat jika anda berada di Turki! Sememangnya kota Turki amat terkenal dengan tarikan budaya serta kaya dengan sejarah.  Bagi mereka yang ingin merasakan pengalaman negara bermusim sejuk, jangan lepaskan peluang untuk pergi ke Gunung Uludag yang terletak di Bursa, dan lakukan aktiviti ski di sana. Pamukkale diibaratkan seperti istana kapas, terdapat teres-teres kolam air panas panas berwarna putih, ianya pasti membuatkan seseorang terpukau dengan keindahan alam ini. 

Foto Kredit : Tourism In Turkey

Kashmir 

Sudah ramai rakyat Malaysia yang sudah menjejaki Kashmir yang ternyata kaya dengan tarikan alam semulajadi. Jika anda mahu merasai musim sejuk dengan harga yang lebih rendah berbanding negara lain, Gulmarg di Kashmir mungkin menjadi pilihan anda. Salji yang tebal, jangan lepaskan peluang ini untuk bermain ski! ‘Bagaikan di Switzerland’ adalah ungkapan dari mereka yang sudah pergi ke Pahalgam dan Sonamarg, malah anda akan dapati gunung Himalaya dengan jarak lebih dekat. Apabila di Kashmir, rasai pengalaman untuk tidur di atas houseboat terletak di Srinagar, ianya benar-benar di atas air! Selain itu, borong juga saffron yang mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan.  

Foto Kredit : Jammu & Kashmir Tourism 

 

Jadi mana satu negara yang anda akan pergi selepas ini dengan gaya backpackers? Adakah anda lebih suka bergerak dalam kumpulan atau pun bersendirian? Mengembara secara backpackers bersama rakan ini ada kelebihan dan kekurangannya. Anda haruslah mencari pasangan atau rakan yang sependapat dan memahami terutamanya gaya backpackers. Jika silap memilih rakan, kemungkinan pulang sahaja di tanah air, persahabatan terputus! 

Paling penting jika anda hendak pergi ke mana-mana negara di atas, sila buat persediaan dengan baik dari segi itinerari, kewangan, pengangkutan dan sebagainya. Ini untuk mengelakkan kekecewaan di kemudian hari semasa anda bercuti. Akhir kata, nikmatilah waktu muda mu dan lihatlah dunia luar!

Komen