Carian
Lakukan Perkara Ini Ketika Melawat Bayi Baru Lahir
July 16, 2019 Aida Kamalia

Lakukan Perkara Ini Ketika Melawat Bayi Baru Lahir

Pasti anda berasa gembira dan tidak sabar untuk melawat bayi yang baru sahaja lahir, terutamanya jika ibunya adalah rakan-rakan baik anda, saudara, rakan sekerja dan sebagainya. Bertambah seronok juga apabila bayi ini adalah bayi pertama mereka, anda turut menumpang rasa gembira buat pasangan suami isteri kan! Adakah bayi mereka iras ibu atau ayahnya? 

Tetapi anda harus ingat, ibu yang baru sahaja melahirkan dan sedang berada dalam pantang memerlukan rehat yang cukup kerana badan ibu serta bayi masih lagi lemah. Jika bayi ini merupakan anak pertama bagi pasangan suami isteri, sudah pasti kedua-duanya masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri bersama bayi yang baru sahaja muncul dalam hidup mereka. Tidak mendapat tidur yang cukup, ibu masih lagi mengalami kesukaran untuk menyusukan bayi, menguruskan bayi, ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasangan yang baru sahaja menjadi ibu-bapa. 

Disebabkan ini lah, berikan ruang dan waktu kepada mereka pada 3 minggu pertama. Waktu ini, elakkan menjenguk bayi dan ibu tidak kira anda rakan baik mereka, atau saudara mereka. Waktu yang terbaik adalah ketika pengakhiran pantang si ibu, ini membolehkan ibu membina semula semangat mereka serta mental dan emosi yang lebih stabil. Jadi apa yang anda perlu lakukan ketika melawat bayi ini? Jom lihat dibawah! 

Beritahu terlebih dahulu

Sebelum anda pergi untuk melawat rakan anda bersama bayi, tanya terlebih dahulu adakah mereka sudah menerima pelawat, jika waktu ini sesuai serta adakah ibu dan bayi sudah bersedia sepenuhnya. Setelah itu barulah anda beritahu niat anda untuk melawat mereka dan elakkan datang dengan mengejut. 

Jika pasangan masih tidak bersedia untuk menerima pelawat, jangan pula anda ambil hati. Hormati keputusan mereka dan lawatlah mereka pada waktu lain. Percayalah bukan niat  mereka untuk menolak, namun mungkin ini atas faktor kesihatan bayi dan sebagainya yang mungkin akan memudaratkan bayi. 

Pilih waktu yang sesuai 

Apabila tuan rumah sudah pun memberi kebenaran untuk melawat bayi mereka, pilih masa yang sesuai untuk datang melawat. Sebaiknya, pergi pada siang dan elakkan melawat pada waktu malam. Jika anda orang yang bekerja, elakkan melawat ketika pulang dari kerja. 

Jangan pula anda datang terlalu awal pagi, ketika ini mungkin ibu masih lagi tidak bersiap sepenuhnya. 

Selain itu, ketika anda melawat mereka, jangan melawat terlalu lama. Jika anda lihat ibu sudah tidak selesa, minta izin untuk pulang. Ibu mungkin akan rasa tidak selesa kerana bayi sudah meragam tetapi masih mahu melayan tetamu. Jadi lihat reaksi ibu dahulu ya! 

 

Pastikan badan sihat 

Seterusnya jika anda mempunyai niat untuk melawat bayi yang baru lahir, pastikan kesihatan ada pada tahap yang baik dahulu. Jika anda tidak berapa sihat mahupun selsema dan batuk, elakkan berjumpa dengan bayi. Ini kerana antibodi bayi masih lagi lemah dan risiko untuk mereka berjangkit sangat tinggi. Pastikan tangan anda bersih dengan memakai hand sanitizer sebelum melawat bayi.

Namun, jika keadaan memaksa, pastikan ada jarak di antara bayi dan individu yang tidak sihat. Cukup sekadar lihat dari jauh sahaja bagi mengelakkan apa-apa terjadi pada bayi. 

Jangan cium bayi

Sudah ramai yang mengetahui risiko mencium bayi terutama yang baru lahir. Bayi lebih cenderung untuk berjangkit apabila individu yang cium bayi tidak sihat. Jangan sesekali mencium mulut bayi ketika anda mendukung bayi. Sudah pasti baunya sangat harum yang hanya boleh ada pada bayi baru lahir sahaja. Ini lebih membuatkan anda geram untuk menciumnya, namun kawal diri anda dan elakkan cium bayi. Jika bayi terkena jangkitan virus seperti ruam di badan, demam dan sebagainya malah virus ini boleh membawa kematian. 

Bawa buah tangan

Sudah datang melawat ke rumah orang, jangan pula anda datang dengan tangan kosong. Sebaiknya bawa buah tangan dan hadiah untuk bayi. Antara hadiah yang anda boleh berikan adalah barang keperluan bayi. Bagi mengelakkan hadiah anda tidak digunakan, cuba tanya dahulu sebelum datang ke rumah. Sebagai contoh, lampin bayi antara keperluan bayi yang sangat penting. Malah kosnya juga agak mahal, jadi apa salahnya kita memberi apa yang mereka benar-benar perlukan. 

Sedikit sebanyak perbuatan anda ini dapat mengelakkan pembaziran. Bukan apa, hadiah seperti baju ini sampai tidak terguna kerana terlalu banyak dek pemberian tetamu. 

Jaga percakapan

Ketika melawat bayi dan ibu, jagalah percakapan anda sepanjang anda bersama dengan mereka. Elakkan bercakap perkara yang tidak elok berkaitan apa-apa sahaja yang anda lihat. Sebaliknya, tanya khabar pada ibu dan bagaimana perasaan menjalani tempoh pantang bersama bayi. Jika anda sudah mempunyai pengalaman sendiri, bolehlah anda berkongsi tips dan panduan buat mereka yang pertama kali menerima bayi. Lebih-lebih lagi berkaitan pantang dan motherhood. Selain berkongsi tips, anda boleh memberi kata-kata semangat dan sokongan pada ibu. 

Segala perkara dia atas adalah untuk menunjukkan rasa hormat pada pasangan dan keluarga mereka. Elakkan melawat ketika 3 minggu pertama, cukup sekadar mengucapkan tahniah pada pasangan dan berdoa yang baik-baik sahaja. Jika anda merupakan kenalan rapat bagi si ibu, sentiasalah tanya khabar ibu dan bagaimana keadaan mereka. Kadangkala pada waktu sebegini si ibu memerlukan kawan untuk berkongsi dan meluahkan perasaan mereka. Mungkin sahaja fasa ini sedikit berat bagi si ibu, apabila punya teman untuk berborak dan berkongsi, sedikit sebanyak ia akan memberi semangat pada ibu.

Komen