Sejak akhir-akhir ini, pelbagai berita yang telah kita dengar yang disebabkan oleh microsleep. Masalah ini seringkali berlaku di seluruh dunia tidak kira di dalam negara atau luar negara. 

Apa itu microsleep? Microsleep merujuk kepada satu episod tidur singkat yang tidak dapat dikawal dan berlaku untuk tempoh beberapa saat. Hal ini disebabkan oleh seseorang individu itu hilang tumpuan seperti penataran kosong atau terlelap tanpa sedar untuk beberapa ketika. Kebiasaannya, ia berlaku apabila individu tersebut cuba untuk kekal berjaga sewaktu melakukan tugas yang membosankan seperti memandu kereta atau menonton skrin komputer. Ini berpotensi menjadi kesan paling berbahaya disebabkan oleh insomnia.

person riding on vehicle

Sekiranya seseorang itu mengalami microsleep, ia akan menyebabkan individu tersebut gagal untuk memberi respons terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, individu tersebut tidak menyedari lampu isyarat bertukar merah atau terdapat selekoh di penghujung jalan. Begitu juga, semasa microsleep, juruterbang mungkin tidak menyedari lampu kilat yang berkelip di cockpit.

Simptom Microsleep

Masalah ini bukan sahaja berlaku saat mata tertutup, malah ia juga berkemungkinan berlaku sewaktu mata masih terbuka. Antara simptom-simptom microsleep termasuk:

  1. Tindak balas terhadap rangsangan menjadi perlahan dan lambat
  2. Hilang tumpuan sewaktu memandu
  3. Terkejut atau tersentak secara tiba-tiba
  4. Tidak mengingati aktiviti atau perkara yang berlaku pada tempoh 1 atau 2 minit lepas

Langkah Untuk Mengelakkan Risiko Microsleep Sewaktu Memandu

Menurut statistik pada tahun 2018 yang dilaporkan oleh Dr. Khairil Anwar, Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, kira-kira 80 hingga 90 peratus kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu itu sendiri. Manakala di Amerika Syarikat pula, 20 peratus daripada peratusan kemalangan adalah berpunca daripada masalah microsleep.

Punca masalah ini berlaku apabila individu berasa letih dan keadaan badan berada pada tahap paling lemah. Bukan itu sahaja, ia juga disebabkan oleh rasa mengantuk yang berlarutan sehingga menyebabkan pemanduan terganggu akibat berasa leka dan bosan. Bukan itu sahaja, sesetengah individu sering memaksa diri untuk kekal segar dan aktif. Namun, kondisi badan dan otak tidak mampu untuk berfungsi sepenuhnya.

person sitting on vehicle near car and bridge at daytime

Bagi mengelakkan hal ini berlanjutan, pemandu disarankan untuk mengambil inisiatif dalam mencegah microsleep daripada berlaku.

1. Dapatkan tidur yang secukupnya sebelum memandu untuk tempoh masa yang lama. Ia merupakan langkah paling efisien untuk mengelakkan microsleep terjadi. Pastikan anda mendapat tidur yang berkualiti dan mencukupi pada waktu malam. Jumlah waktu tidur yang disyorkan untuk individu dewasa adalah antara 7 hingga 9 jam.

  • Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, anda dinasihatkan untuk: 
  • Elakkan pengambilan kafein dan alkohol terutama jika anda sudah letih.
  • Kurangkan aktiviti yang boleh merangsang kecerdasan.
  • Pastikan bilik tidur anda berada didalam keadaan selesa dan gelap agar badan anda tidak diganggu oleh lampu atau cahaya yang terang.
  • Kekal suhu bilik pada tahap yang selesa.

2. Jika anda terlalu mengantuk sewaktu memandu, berikan diri anda masa untuk tidur, pastikan ia tidak lebih 20 minit, biasanya dikenali sebagai tidur tengahari (power nap). Ia dapat membantu menjadikan diri anda lebih segar.

Jadi, sebelum memandu anda digalakkan untuk mendapatkan rehat yang secukupnya supaya ia dapat memastikan kelancaran pemanduan tidak kira dekat atau jauh. Bagi anda yang mempunyai masalah untuk tidur, dapatkan rawatan atau khidmat dari pakar agar ia tidak memudaratkan kesihatan dan kehidupan anda.

 

Lihat profil
Lina Rosli

229 artikel di Tajria.