UTI Sering Menyerang Wanita – Ketahui Cara Mencegah Penyakit Ini 

Bagi sesiapa yang pernah mengalami UTI ini, memang sungguh perit rasanya malah hingga satu tahap, anda seperti mengalami kesukaran untuk berjalan dan hanya mampu terbaring. Penyakit ini lebih mudah dijangkiti wanita berbanding lelaki kerana saluran air kencing  wanita lebih pendek daripada lelaki dan sering juga berlaku pada wanita yang hamil. Namun begitu lelaki juga tidak terlepas daripada jangkitan bakteria ini. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang didiagnosi UTI, pada mulanya rasa sakit yang teramat pada bahagian pelvic iaitu pada bahagian bawah perut. Rasanya seakan-akan senggugut, dan sakit di bawah pinggang inilah yang membuatkan rasa tak selesa pada waktu malam ketika tidur. Lama-kelamaan apabila dibiarkan, badan akan menjadi panas seperti mahu demam.

Apakah UTI sebenarnya?

Urinary Tract Infection UTI adalah jangkitan kuman  pada bahagian tertentu saluran kencing sama ada ginjal, ureter, pundi kencing dan urethre. 

  • Jangkitan saluran kencing ini adalah disebabkan oleh bakteria E.coli dan juga S.saprophyticus. 
  • Secara amnya, wanita lebih mudah terdedah kerana saluran kencing wanita lebih pendek dan dekat dengan dubur, meningkatkan lagi risiko UTI.
  • Tandas yang kotor juga antara faktor terjadinya UTI lebih-lebih lagi jika berkongsi tandas bersama orang ramai sama ada tandas awam dan sebagainya. 
  • Wanita yang berkahwin sering mengalami UTI, kerana semasa melakukan hubungan bersama suami, bakteria lebih mudah memasuki vagina wanita. Disebabkan ini juga setelah melakukan hubungan seksual, amat penting untuk mencuci sebaik sehaja selesai. 
  • Wanita yang mengandung lebih mudah mendapat UTI kerana  ketika hamil berlaku perubahan hormon dan ia menyebabkan otot dan pundi kencing menjadi lemah. 
  • Sistem imun adalah pertahanan badan terhadap jangkitan dan penyakit, jika sistem badan anda sendiri lemah, ia  tidak mampu melawan kuman yang menjangkiti sakuran kencing anda. 

Tanda-tanda UTI

  • Rasa perit ketika kencing
  • Warna air kencing keruhdan berbau busuk
  • Sakit pada bawah abdomen perut
  • Kerap kencing tetapi kuantiti air kencing sedikit 
  • Sakit pada bahagian belakang buah pinggang 
  • Badan terasa hangat/demam 
  • Mual dan muntah-muntah 

Perawatan

Untuk mematikan kuman di dalam saluran kencing, doktor akan berikan antibiotik mengikut kesesuaian diri anda, dan ia perlu dihabiskan. ANtara antibiotiky ang biasanya digunakan untuk merawat jangkitan saluran kencing termasuk Trimethoprim, Nitrofurantoin, Cephalosporins, Penicillins, Fluoroquinolones dan Fosfomycin. 

Selain itu, anda akan diberi air URAL iaitu air alkalinizer yang  memberikan keselesaan semasa kencing dan dapat mencegah pembentukan batu karang. 

Sumber : Guardian Malaysia 

Cara mencegah 

 

Jangan tahan untuk kencing 

Elakkan menahan untuk membuang air kecil kerana khuatir ia akan meeyebabkan pembiakan bakteria yang ada di dalam air kencing.

Minum banyak air masak 

Banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Dalam masa yang sama juga elakkan pengambilan kaffein serta air manis. 

Buang air kecil ketika hubungan seksual 

Praktikkan untuk sentiasa membuang air kecil sebelum dan selepas lakukan hubungan seks untuk mengelakkan jangkitan bakteria.

Jaga kebersihan semasa haid 

Semasa haid, sentiasa tukar sanitary pad yang dipakai paling kurang 2 kali semasa siang dan tukar sekali lagi sebelum tidur. 

Jangan pakai pencuci wanita 

Semasa waktu perawatan, elakkan menggunakan pencuci wanita atau apa sahaja yang diletakkan pada bahagian intim untuk mengelakkan kulit bertambah rengsa semasa tempoh ini.  

Teknik membersihkan bahagian intim

Selepas anda membuang air kecil, biasakan untuk lap vagina dari bahagian depan (vagina) ke bahagian belakang (anus) . Ini dapat mengelakkan pembiakan bakteria dari luar vagina untuk masuk kedalam. 

 

Uti bukan sahaja boleh menyerag orang dewasa, namun boleh juga menyerang kanak-kanak yang masih kecil. Selain memakan ubat preskipsi doktor, anda juga boleh menggunakan cara tradisional untuk pulih dengan lebih cepat. Meminum jus cranberry dengan kerap dapat menghilangkan jangkitan kuman di saluran kencing, ada juga yang menyarankan untuk minum air barli  yang terkenal dengan pelbagai khasiat seperti menyejukkan badan, air barli juga dapat  menyelesaikan masalah kencing kotor. 

Jika anda mengambil perkara ini dengan sambil lewa, lama-kelamaan UTI akan memberi kesan pada buah pinggang, serta dapat membentuk batu karang jika tidak mendapat rawatan. Oleh itu, jika anda berasa tidak selesa dan mengalami simptom-simpton di atas, segera rujuk kepada doktor. 

 

 

Rujukan : MyHEALTH KKM