Freckles – Bagaimana Untuk Elak Bintik Hitam Pada Muka?
Jika kita lihat di Malaysia, masalah bintik hitam atau freckles ini bukan satu masalah yang besar jika dibandingkan dengan penduduk di negara Amerika Utara atau negara Asia yang lain. Kebiasaannya, freckles ini adalah disebabkan oleh genetik atau terdedah kepada cahaya matahari.
Apa itu freckles? Ia adalah bintik kecil yang hitam atau perang gelap yang terbentuk pada kulit. Di kebanyakan kes, bintik ini tidak berbahaya. Hal ini disebabkan oleh pengeluaran melanin yang kurang untuk kulit. Melanin bertanggungjawab dalam membentuk warna kulit dan warna rambut.
Terdapat dua kategori freckles iaitu ephelides dan lentigine (lentigo). Ephelides adalah jenis freckles yang sering dialami oleh kebanyakan orang. Manakala, lentigine adalah tompok-tompok pada kulit yang hadir dengan warna gelap dan kebiasaannya dihidapi golongan dewasa berumur sekitar 40 tahun ke atas. Kedua-dua jenis freckles kelihatan sama tetapi berbeza dengan cara pertumbuhan.
Adakah Freckles Membahayakan Kesihatan?
Jawapannya adalah tidak. Ia tidak membahayakan kesihatan sehingga menyebabkan kanser kulit. Walau bagaimanapun, bagi individu yang mempunyai freckles ini, anda dinasihatkan untuk melakukan penjagaan yang maksima bagi mengelakkan ia terus banyak pada kulit.
Untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya bagi mengurangkan freckles pada kulit, anda boleh menggunakan krim perlindung kulit atau sunscreen. Ia mempunyai bahan UVA dan UVB yang membantu melindungi kulit dari sinar UV yang boleh merosakkan kulit.
Apakah Faktor Wujudnya Freckles?
Terdapat dua faktor utama pertumbuhan freckles pada kulit, iaitu kulit terdedah kepada matahari dan genetik. Secara amnya, kulit akan mengeluarkan melanin extra untuk melindungi kulit daripada bahaya matahari. Untuk individu yang mempunyai melanin yang kurang dari biasa, individu tersebut adalah lebih mudah menghidapi masalah kulit serta rambut.
Bintik ini kerap muncul di kawasan yang mudah terkena sinar UV seperti di muka, lengan, leher, bahagian belakang badan dan dada. Yang membezakan freckles dan lentigo adalah, freckles boleh menjadi lebih gelap ketika musim panas atau apabila kulit terkena cahaya matahari secara terus. Manakala, lentigo pula tidak akan berubah warna dan akan kekal untuk tempoh masa yang panjang.
Selain terdedah kepada sinaran UV, faktor genetik juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan bintik hitam di kulit yang mana ia bergantung kepada jenis melanin yang dikeluarkan. Badan akan menghasilkan dua jenis melanin yang dipanggil pheomelanin dan eumelanin. Penghasilan eumelanin dapat membantu melindungi kulit dari sinar UV sementara pheomelanin tidak melindungi kulit.
Jenis melanin yang dihasilkan oleh tubuh bergantung kepada gen yang dipanggil MC1R.
- Individu yang mempunyai rambut, mata, dan kulit yang gelap biasanya menghasilkan kebanyakan eumelanin dan kurang cenderung untuk membentuk freckles.
- Individu dengan kulit yang lebih cerah dan mempunyai warna mata dan rambut selain hitam biasanya menghasilkan pheomelanin dan lebih cenderung untuk membentuk freckles.
Langkah Untuk Memudarkan Freckles Pada Kulit
Untuk merawat bintik hitam ini, anda boleh menghilangkannya menggunakan bahan-bahan semula jadi dan produk-produk kesihatan yang lain termasuk retinoid, asid azelaic, vitamin C dan rawatan laser.
Untuk Rawatan tradisional:
Lemons: Sapukan sedikit jus lemon menggunakan kapas dan lap di atas kulit. Vitamin C dalam jus lemon boleh membantu meringankan bintik-bintik gelap.
Madu: Letakkan lapisan madu pada kulit secara nipis. Biarkan selama 5 hingga 10 minit, kemudian basuh dengan air suam. Madu mempunyai sifat antioksidan, yang boleh membantu meringankan bintik-bintik dari masa ke masa.
Aloe vera: Aloe vera mengandungi asid salicylic dan aloin yang mana membantu menghilangkan bintik-bintik. Anda boleh gunakan aloe vera dari pada lidah buaya atau aloe vera yang telah diproses.
Kesimpulannya, bintik hitam atau freckles tidak memudaratkan kesihatan selain turut tidak mengakibatkan kanser kulit. Namun, untuk mengelakkan kulit anda membentuk bintik hitam, anda boleh melindunginya dengan menggunakan krim UVA atau UVB yang sesuai. Bukan itu sahaja, anda juga disarankan untuk elakkan kulit daripada terdedah kepada cahaya matahari yang melampau.
Sumber: Medical News Today dan Medicine Net