Aida Kamalia Diterbitkan 19 July 2019

4 Perkara Pertama Anda Harus Lakukan Selepas Putus Cinta

4 Perkara Pertama Anda Harus Lakukan Selepas Putus Cinta

Kehilangan seseorang yang kita sayang tatkala orang itu sudah menjadi dunia bahagia kita, semestinya saat perit untuk kita menerima kenyataan. Melepaskan cinta yang anda bina sejak bertahun lamanya, terpaksa menerima  bahawa ceria, bahagia anda tidak akan sama lagi selepas ini. 

Sesiapa sahaja pernah rasa ditinggalkan, malah pasti ada juga yang ditinggalkan untuk wanita lain, sakitnya rasa diganti. 

woman's face

Tidak sempurnakah aku? Apa kurangnya aku? 

Sebenarnya, tidak salah untuk kita berasa sedih apabila mengalami situasi sebegini, kerana setiap manusia punya hati dan perasaan, punya hak untuk cinta dan dicintai. Tapi anda harus ingat, putus cinta bukan penamat hidup! Bukan noktah bagi segala-galanya. Ini cuma satu fasa, fasa sangat sakit untuk dilalui, namun percayalah perkara ini akan mematangkan diri anda. 

Mungkin masih ada yang keliru apa yang sepatutnya anda lakukan apabila anda menghadapi situasi sebegini, setiap satu perkara yang anda lakukan selepas ini akan menentukan cepat atau lambat anda boleh melupakan si dia. 

Luahkan 

Pertama sekali, cari teman rapat yang anda percaya untuk anda meluahkan segalanya dan menjadi pendengar setia. Tidak semestinya kawan sahaja, jika anda rapat bersama ibu anda dan selesa untuk berkongsi masalah ini, ceritalah semuanya pada ibu anda. Ketika ini, anda  mungkin sedang patah semangat dan menangis sepanjang masa. Lebih-lebih lagi apabila hubungan ini merupakan hubungan yang anda bina bertahun lamanya. Menangislah. Dengan meluahkan apa yang terbuku dalam hati, pasti sedikit sebanyak akan membuatkan anda rasa lega dan puas. 

Elakkan media sosial

Berikan ruang dan waktu pada diri anda sendiri dan jauhi media sosial. Apabila berlaku pertelingkahan atau pun anda menghadapi masalah dalam hubungan, jangan sesekali beritahu pada media sosial. Ya, mungkin anda rasa seperti itu hak anda, namun perbuatan ini akan membuatkan anda tidak matang. Selain itu, jangan luahkan di media sosial atau lebih teruk membuatkan bekas pasangan anda nampak salah dan punca hubungan anda retak adalah kerana si dia sendiri. Untuk mengelakkan anda sendiri rasa sakit hati kerana mungkin bekas pasangan anda melakukan perkara yang sama, jauhi media sosial buat seketika. 

Bersedia untuk melepaskan 

Pesan pada diri setiap masa atau ketika anda rasa berat di dalam hati, pasti punya hikmah mengapa Allah temukan anda bersama seseorang. Sama ada untuk beri rasa bahagia, atau pun untuk mengajar dan mengubah diri anda sendiri. Pastinya Tuhan  punya rancangan yang jauh lebih baik untuk anda, percayalah. Ini masanya untuk anda terima keadaan ini dan bersedia untuk melepaskan. Bagaimana untuk terima semua ini  setelah apa yang dia lakukan pada anda sememangnya salah?Untuk melepaskan seseorang tidak bermakna anda harus lupakan dia serta merta dengan apa jua cara sekalipun. Tidak. 

Dia adalah insan yang pernah membuat anda bahagia, dia insan yang pernah korbankan pelbagai perkara semata-mata untuk anda. Fokuskan pada kebaikan yang pernah bekas pasangan anda lakukan untuk anda, untuk hubungan ini. Seburuk-buruk seseorang, pasti ada kebaikannya kan? Lama kelamaan, hati anda akan bersedia untuk melepaskan si dia, setelah tiada perasaan benci. 

Jangan berseorangan

Seterusnya, elakkan daripada anda berseorangan setiap masa. Sebaiknya, sibukkan diri anda dengan membuat pelbagai perkara supaya hati anda tidak punya rasa sedikit pun untuk teringatkan si dia. Inilah masa terbaik untuk anda kenali diri anda dengan lebih dalam, untuk anda sayangi diri anda dahulu, sebelum orang lain. Penuhkan jadual anda dengan aktiviti lain yang membolehkan diri anda bergaul dengan orang luar. Seperti membuat aktiviti sukarelawan, mengikuti sukan bersama kumpulan wanita atau apa sahaja aktiviti pilihan anda. 

Fasa perit ini hanya sebentar. Cakap pada diri setiap masa, yang anda kuat untuk menghadapi semua ini. Cepat atau lambat, hanya masa yang akan menentukan. Ia mungkin akan mengambil masa sebulan, dua bulan, malah setahun lamanya untuk anda pulih sepenuhya. Jangan paksa, berikan masa untuk diri dan hati anda. 

Tidak salah untuk anda punya rasa sayang dan kasih terhadap si dia walaupun anda sudah pun redha dengan ketentuan Ilahi. Jodoh rahsia Allah, jika benar dia jodoh anda, berpisah macam mana sekalipun jika Allah tetapkan dia jodoh anda, ia tetap milik anda.