Carian
Lihat Kebaikan Mandian Lumpur Ini – Bagus Untuk Kulit! 
July 22, 2019 Aida Kamalia

Lihat Kebaikan Mandian Lumpur Ini – Bagus Untuk Kulit! 

Mandi lumpur bukanlah perkara yang asing lagi pada waktu kini yang mana ternyata mempunyai pelbagai kebaikan untuk kulit badan anda. Bukan sahaja dari segi kecantikan, malah ia adalah salah satu cara terapi diri  yang dapat menghilangkan stress! 

Cakap sahaja tentang lumpur, ini mungkin menggamit kenangan lalu semasa anda kecil kan? Mandian lumpur ini bukan sebarang lumpur yang anda boleh jumpa setelah waktu hujan yang lebat. Antara mandi lumpur yang popular adalah mandian lumpur gunung berapi dimana ia terjadi dengan semulajadi. Ia mempunyai zat mineral seperti zink, sulfur, dan magnesium, dimana apabila anda berendam di dalam kolam lumpur ini sendiri, badan anda akan menyerap terus khasiat mineral-mineral ini. 

Dalam industri kecantikan juga peggunaan masker lumpur sudah digunakan secara meluas. Antara masker lumpur yang popular adalah lumpur laut mati, serta dicampur dalam bahan lain seperti masker lumpur arang dan banyak lagi. Akan tetapi, sudah pasti khasiatnya berbeza dengan lumpur yang anda dapati secara semulajadi. Nak tahu apa lagi kebaikan mandi lumpur ini? Jom lihat di bawah! 

Rawat kulit berjerawat 

Oleh kerana kandungan sulfur yang terkandung dalam mandian lumpur ini, ia sangat bagus untuk mereka yang mempunyai masalah kulit berjerawat, masalah jerawat di belakang badan serta kulit yang berminyak. Apabila anda berendam di dalam kolam lumpur, jangan lupa untuk sapu sekali pada muka kerana ia dapat membersihkan pori-pori, sekaligus dapat menjadikan kulit bebas dari pori tersumbat serta jerawat. Jangan terkejut pula apabila anda menyapu lumpur pada keseluruhan muka, mungkin anda akan kelihatan seperti hantu tanah! Itulah pengorbanan untuk kulit yang cantik tanpa jerawat kan? 

Meredakan lenguh sendi dan otot 

Selain itu, mandi lumpur juga punya kebaikan yang dapat mengurangkan kesakitan pada sendi dan otot. Lumpur mempunyai kandungan zink yang mana apabila anda berendam di dalam kolam lumpur, ia akan menenangkan badan sekaligus dapat mengurangkan lenguh pada otot dan sendi. Jika anda mempunyai hari yang memenatkan, terutamanya bagi para pelancong yang mengunjungi kolam lumpur ini,  berendam di kolam lumpur panas ini sebenarnya adalah satu terapi yang sangat bagus untuk badan dan minda anda. Tentu anda akan lebih bertenaga dan cergas untuk meneruskan percutian anda.

Detoks serta membuang sel kulit mati

Manfaat seterusnya jika anda berendam di dalam kolam lumpur gunung berapi, ia dapat mengeluarkan toksin yang ada pada badan seterusnya dapat detoks badan anda. Seperti fungsi detoks yang lain, ia akan mengeluarkan toksin yang jahat di dalam badan seterusnya membuatkan badan anda lebih bertenaga dan tidak lesu. Malah semasa anda berendam di dalam lumpur, ia dapat membuang sel kulit mati pada badan sekaligus meninggalkan kulit yang licin, lembut dan tidak bersisik.

Mengurangkan kulit bermasalah 

Mandian lumpur ini juga dapat memberi manfaat pada mereka yang menghidap penyakit ezcema iaitu sejenis penyakit kulit. Penjagaan pesakit eczema sememangnya lebih rumit daripada biasa. Ini kerana kulit pesakit eczema lebih sensitif dan tidak boleh menggunakan sebarang produk untuk mengawal dan mengubatinya. Bagi mereka yang menghidap penyakit eczema kronik, tidak ada penawar yang boleh menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya. Segala rawatan dan usaha hanya dapat mengawal agar tidak bertambah teruk serta mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan. 

Jadi tidak hairanlah para pelancong tidak akan melepaskan peluang untuk berendam di kolam lumpur apabila mereka mengunjungi negara-negara yang mempunyai kolam lumpur gunung berapi ini. Bagi anda yang ingin mencuba sendiri bagaimana pengalaman berendam di kolam lumpur, jangan risau! Di Malaysia juga terdapat kolam lumpur semula jadi yang terletak di Pulau Tiga, Sabah. Bagi anda yang masih tidak tahu, Pulau Tiga dahulu adalah kawasan gunung berapi, namun ketika ini tidak lagi aktif. Seterusnya membuatkan tarikan utama di Pulau Tiga adalah mandian lumpur! 

 

Sumber foto : Malaysia Travel 

Jika anda diberi peluang untuk mencuba berendam lumpur, adakah anda ingin lakukannya?

Komen