4 Pokok Yang Sesuai Diletakkan Di Bilik Tidur Sebagai Terapi
Setelah 8 jam bekerja, pasti anda menginginkan satu masa merehatkan diri. Masing-masing mempunyai cara terapi diri yang tersendiri. Untuk saya sendiri, saya lebih gemar untuk merehatkan diri di dalam bilik sambil menonton Netflix. Baru-baru ini juga, saya turut mendekatkan diri dengan wangian aromaterapi yang mana ia membantu saya mendapatkan rehat yang berkualiti. Walaupun saya telah mencuba beberapa kaedah pengurangan tekanan yang berbeza, aromaterapi sentiasa menjadi salah satu penyelesaian kegemaran saya dan paling berkesan.
Haruman aromaterapi ini bukan sahaja mempunyai bau yang wangi dan indah, bahkan ia juga membawa sifat yang menenangkan selain dapat mengurangkan tekanan apabila menghidunya. Sejak kebelakangan ini juga, saintis turut mula menyelidik, mengetahui dan memahami lebih lanjut mengenai peranan tumbuhan aromaterapi ini terhadap tekanan dan kebimbangan meliputi fizikal, mental dan emosi.
Rosemary – Menguatkan Daya Ingatan
Para penyelidik menyatakan wangian rosemary dapat membantu merangsang memori, memperbaiki emosi selain menjadikan individu lebih peka. Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan di United Kingdom iaitu di Universiti Northumbria, ia mendapati bahawa pelajar yang melakukan aktiviti di dalam bilik yang mengandungi aroma rosemary mempunyai daya ingatan yang lebih baik.
Bukan itu sahaja, rosemary turut dikaitkan dengan kekuatan memori selama berabad-abad. Sebagai contoh, semasa zaman Yunani kuno (Greek purba), para pelajar akan memakai kalung rosemary pada leher mereka sebelum memasuki dewan peperiksaan. Walau bagaimanapun, rahsia bagaimana rosemary berfungsi dalam meningkatkan deria kognitif individu masih belum diketahui lagi.
Jasmine Atau Melati – Mengawal Emosi
Kira-kira 83 peratus kandungan minyak wangi wanita mengandungi aroma Jasmine, manakala 33 peratus hadir dalam wangian lelaki. Jasmine adalah sejenis tumbuhan yang penting yang digunakan secara meluas dalam industri aromaterapi, yang dipelopori oleh orang Yunani kuno dan Mesir purba. Ia dianggap menawarkan pelbagai kesan penyembuhan termasuk kawalan emosi, kebimbangan dan insomnia.
Berdasarkan penyelidikan oleh Hanns Hatt dari Universiti Ruhr di Bochum, Germany, beliau meletakkan haruman jasmine di sangkar tikus dan mendapati ia memberikan kesan ketenangan pada tikus. Bunga ini memberi kesan kepada emosi menerusi bahan kimia yang dikenali sebagai GABA. Selain itu, bunga ini juga memperbaiki kualiti tidur, mengimbangi hormon dan menjadikan individu lebih peka selain meningkat prestasi kognitif. Selain wangian, bunga jasmine juga sering dijadikan sebagai minuman. Mungkin anda boleh mencuba teh bunga jasmine sebagai hidangan terapi anda.
Lavender – Merawat Kebimbangan
Minyak lavender dipercayai mempunyai sifat antiseptik dan anti-radang, yang boleh membantu menyembuhkan luka bakar dan gigitan pepijat.Penyelidikan menunjukkan bahawa ia mungkin berguna untuk merawat kebimbangan, insomnia, kemurungan, dan kegelisahan.
Sesetengah kajian menunjukkan bahawa menggunakan lavender sebagai teh boleh membantu masalah pencernaan seperti muntah, mual dan sakit perut. Selain membantu masalah pencernaan, lavender digunakan untuk membantu melegakan sakit dari sakit kepala, sakit gigi dan merawat luka. Ia juga boleh digunakan untuk mencegah keguguran rambut.
Cedar Wood – Meningkatkan fokus
Haruman Cedarwood adalah sedatif yang sangat baik yang mana ia mempunyai haruman seperti kacang, kayu-kayuan dan berbau manis. KebiasaannyaSelain bertindak sebagai sedatif, ia juga mempunyai kesan yang menenangkan dan mencerdaskan pada fikiran. Bukan itu sahaja, ia berfungsi dalam meningkatkan fokus, merangsang metabolisme serta miliki manfaat yang baik untuk kesihatan luaran.
Dalam aromaterapi, aroma ini dapat membebaskan bahan serotonin yang diubah menjadi melatonin di dalam otak. Menerusi melatonin, ia membantu individu mendapatkan tidur malam yang tenang. Oleh itu, aromaterapi cedarwood disyorkan untuk individu yang mempunyai kebimbangan kronik, tekanan, dan kemurungan.
________________________________________________________________________
Tumbuhan-tumbuhan ini hadir sebagai medium dalam membantu memberikan terapi kepada mana-mana individu yang memerlukan ketenangan dan mengurangkan perasaan bimbang. Selain terapi, setiap tumbuhan mempunyai kelebihan dan kebaikan yang tersendiri. Jadi, bagi anda yang ingin mendapatkan haruman semula jadi ini, anda boleh letakkan tumbuhan ini di tepi katil atau meja kerja anda agar dapat menenangkan emosi dan minda anda.